Ajai jadi pengacara

Nama Ajai lebih dikenali sebagai komposer kemudian penyanyi dan kini sudah 20 tahun bertapak dalam dunia seni.

Bermula sebagai pemain keyboard kumpulan Exists, Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 40, turut mencuba cabang seni lain seperti berlakon dan sebagai pengkritik program realiti.
Kini Ajai yang baru saja muncul dengan single Aduh mencuba satu lagi cabang seni apabila mengacara program Jemput Masuk Chef yang menggabungkan elemen hiburan dan masakan.

Dalam program disiarkan TV3 bermula 12 Februari dan berakhir minggu lalu, Ajai membuktikan kemampuannya sebagai pengacara.



Bersama Chef Kamarul, Ajai turut mengundang selebriti popular seperti Fasha Sandha, Ning Baizura dan Farawahida sebagai tetamu.

Persoalannya, mengapa apabila usia menjengah 40 tahun, baru Ajai bersetuju menerima tawaran jadi pengacara dan tidak ketika nama­nya popular sebagai penyanyi?

“Saya berkeyakinan menceburi bidang pengacaraan selepas didorong isteri, Norliza Ilyas yang juga menguruskan kerjaya saya. Sebagai pengurus, Liza melihat keupayaan saya mengendalikan program ini.




“Sebelum menerima tawaran itu, saya berbincang dengan TV3 dan meminta mereka menjelaskan konsep program itu. Mereka katakan, saya tidak perlu terlalu formal dan terikat dengan skrip atau protokol.

“Ia santai dan saya bebas menjadi diri sendiri. Itulah perkara utama yang menyebabkan saya bersetuju menjadi pengacara Jemput Masuk Chef. Alhamdulillah, saya menambah pengalaman baru dalam hidup,” katanya.

Sebagai orang seni yang berada dalam liga tersendiri, Ajai tidak pernah risau dengan maklum balas negatif daripada penonton. Baginya, setiap manusia ada hak untuk meluahkan pendapat mereka dalam apa juga cara.

“Saya tidak pernah membalas balik cercaan yang dilemparkan kepada saya. Saya percaya semakin ramai orang bercakap, mereka sebenarnya hanya menunjukkan kebodohan sendiri.

“Saya juga bukan jenis mudah diubah. Selama ini saya hanya tahu mencipta lagu dan bukan mengacara, tetapi Liza menyedarkan saya ‘Ajai’ adalah jenama yang kuat. Tidak salah kalau saya mencuba. Saya sedia dikritik penonton,” katanya.

Bagai Ajai, cacian, tohmahan serta pujian menjadi makanannya sejak menceburi bidang seni pada 1991. Katanya, dia lebih suka mendiamkan diri tanpa membalas kenyataan mereka walaupun ia menyakitkan hati.

“Seperti ungkapan masyarakat Barat, ‘silence is golden’ (diam lebih baik). Apabila kita diam, lama-kelamaan mereka juga akan diam.

“Dalam hal seperti ini, lebih banyak seseorang itu bercakap mengenai keburukan orang lain, kecetekan pengetahuannya juga terserlah.

“Walaupun diam, tidak bermakna saya abaikan pendapat mereka. Semua yang mereka katakan itu ada betulnya. Cuma cara mereka sampaikan yang salah. Saya akan menilai dan memperbaiki perkara yang diperkatakan,” katanya.

Kata Ajai, Jemput Masuk Chef bukan saja penampilan pertamanya sebagai pengacara, malah hanya mengenali Chef Kamarul apabila digandingkan dalam program itu.

“Ini kali pertama saya berjumpa Chef Kamarul dan tiada masalah bekerja dengannya. Saya tidak perlu risau dengan keupayaannya sebagai pengacara kerana banyak program dikendalikannya.

“Dia sangat cekap memasak sambil menerangkan bahan atau cara penyediaan sesuatu menu. Tetamu yang diundang datang ke rumah juga antara teman rapat saya.

“Bukan mudah mendapatkan persetujuan Jejai untuk muncul dalam program ini bersama Fasha, namun atas dasar persahabatan, dia memenuhi permintaan saya. Terima kasih kepada semua artis yang meluangkan masa hadir dalam Jemput Masuk Chef.

“Secara peribadi, walaupun program ini nampak sama dengan temu bual lain, sebenarnya ia mencungkil cerita yang selama ini tidak pernah diketahui peminat mereka. Mereka akan menceritakan kisah kehidupan yang tidak pernah dikongsi dengan sesiapa,” kata­nya.

Ajai bersama jurumasak serba boleh itu mengendalikan dua segmen berbeza mengikut kepakaran masing-masing. Sementara menunggu makanan disediakan Chef Kamarul, Ajai berbual dengan tetamu undangan mengenai kehidupan mereka untuk dikongsi bersama penonton.
Previous Post Next Post