Pertemuan dengan selebriti Indonesia popular, Bunga Citra Lestari atau BCL baru-baru ini membuka peluang kepada ARTISMELETOP dan beberapa rakan media lain untuk berkongsi cerita pelbagai cerita. Selain bercerita tentang perkembangan kerjaya nyanyian dan lakonannya, BCL juga bersikap terbuka apabila diminta mengulas tentang perkahwinannya dengan Ashraf Sinclair.
Tanpa teragak-agak BCL mengakui dia seorang queen control sehingga ramai mengganggap dia mendominasi alam perkahwinannya. Bagaimanapun, BCL punya penjelasan tentang perkara ini dan dia menjelaskan tidak berasa tertekan dengan pendapat itu.
“Sebenarnya saya tidak kisah kalau ada pihak yang menganggap saya dominan atau queen control dalam perkahwinan. Ini kerana saya dan Ashraf tahu kedudukan kami yang sebenar. Ashraf juga seorang yang dominan, tetapi mungkin sifatnya itu tidak kelihatan di mata orang lain. Tetapi sebagai seorang isteri kepada Ashraf, saya dapat melihatnya. Masing-masing punya peranan sendiri. Bukan hanya saya seorang yang membuat keputusan atau memikirkan tentang keluarga. Tetapi kami berdua. Memang benar saya seorang queen control, tetapi just for myself,” ujar BCL mengakui sudah sering kali diajukan soalan yang sama.
Biarpun tidak terlalu ambil kisah dengan pendapat orang di sekeliling, namun penyanyi yang popular dengan lagu ‘Ingkar’ ini tetap bersimpati dengan suaminya.
“Saya sangat berbangga dapat menjadi isteri kepada Ashraf. Walaupun dia tidak berasa tertekan dengan pandangan itu, tetapi saya juga bersimpati dengan dia. Sedikit sebanyak, pasti kata-kata orang di sekeliling itu terkesan di hatinya. Apa yang boleh saya katakan ialah, mereka tidak mengenali siapa Ashraf,” ujar BCL lagi.
Pilih nyanyian daripada lakonan
Ketika ditanya tentang perkembangan karier seninya pula, BCL memberitahu dia kini menumpukan perhatian terhadap bidang nyanyian berbanding lakonan. Ini kerana dia ingin punya lebih banyak masa bersama keluarga.
“Berlakon komitmennya terlalu tinggi. Kalau sinetron, jadual penggambarannya mengambil masa yang sangat lama. Jadi, buat masa ini saya memang lebih enjoy dengan nyanyian. Mungkin kerana saya kini sudah menjadi ibu. Jadi, saya banyak memikirkan soal keluarga. Saya tidak mahu meninggalkan anak saya terlalu lama,” ujar BCL.
Ketika ini BCL sudah menjadi penyanyi ternama di Indonesia. Setiap singlenya selalu menjadi hits, dimulai dengan Sunny, Aku Tak Mau Sendiri, Pernah Muda, Kecewa, Jangan Salahkan Dia, Aku Dan Dirimu dan terkini Cinta Sejati yang menjadi runut bunyi filem pecah panggung di Indonesia, Habibie-Ainun.
“Saya sudah agak lama tidak muncul dengan album terbaru. Kali terakhir saya terlibat dengan rakaman album ialah pada tahun 2008. Kalau ikut perancangan, saya mahu lancarkan album pada 2010 lalu, tetapi semuanya tertangguh apabila saya berkahwin dan hamil. Sementara menunggu waktu yang sesuai, label saya mengambil keputusan dengan melancarkan album ‘The Best Of’ yang memuatkan lagu-lagu popular saya termasuk single Cinta Sejati yang menjadi soundtrack filem Habibie-Ainun,” ujar BCL.