Fizo Omar Kami Tak Merancang


Fizo Omar dan isteri Mawar Abdul Karim.

Pelakon tanah air Wan Hafizol Wan Omar atau Fizo Omar menafikan dia dan isteri Mawar Abdul Karim, 24, ‘merancang’ untuk mempunyai cahaya mata bagi memberi tumpuan kepada cabang perniagaan yang semakin berkembang ketika ini.

Menurutnya, tiada istilah merancang kerana mereka sentiasa berdoa supaya dikurniakan anak secepat mungkin.


“Kami berdua menyukai kanak-kanak dan sudah tentu berharap supaya menerima ‘perkhabaran baik’ secepat mungkin.


“Oleh itu tidak mungkin kami menolak rezeki pemberian Allah. Siapa yang tidak mahu cahaya mata bagi melengkapkan kehidupan selepas ini,” katanya ketika ditemui ARTISMELETOP di sini, semalam.





Fizo sah bergelar suami kepada Mawar yang juga Pengurus Pemasaran Tudung Fareeda dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah yang diadakan di rumah pengantin perempuan di Country Heights, Kajang pada 10 November tahun lalu.


Pasangan itu dinikahkan Pegawai Tadbir Agama Daerah Hulu Langat Ustaz Mohd Arif Abdul Samad yang disiarkan secara langsung menerusi program Nasi Lemak Kopi O di TV9.


Ditanya mengenai reaksi kurang senang sesetengah pihak yang mendakwa Fizo sengaja menayangkan isterinya kepada umum, dia berkata, hanya ucapan terima kasih yang mampu diucapkan kerana ia membuatkan mereka berdua menjadi semakin positif.


“Ia suatu komen yang tidak berasas kerana saya bukan melakukan perkara tidak bermoral. “Bagi saya, mungkin dengan imej bertudung yang dibawa isteri saya itu boleh memberi kesedaran dan menarik minat orang lain untuk bertudung selain menunjukkan contoh yang baik bagi pasangan kerana tempat isteri adalah di sisi suami,” katanya.
Previous Post Next Post