Diana Danielle selesa diurus adik ipar


DIANA masih belum mampu memberi komitmen untuk kembali bekerja dalam tempoh yang lama.

SEBELUM ini, timbul banyak cerita kurang senang yang membabitkan pelakon cantik Diana Danielle dengan adik iparnya, Fadzil Zahari (adik kepada Farid Kamil). Ini kerana Fadzil dilihat sentiasa menemani Diana ke majlis-majlis hiburan.

Lantas, ada yang mendakwa Farid mengarahkan Fadzil untuk menjaga keselamatan Diana. Malah, ada juga yang berasa kurang senang melihat Fadzil sentiasa bersama Diana tanpa Farid di sisi dan menganggap perbuatan itu kurang manis pada pandangan mata.

Namun, semua kata-kata tersebut lenyap apabila mengetahui Diana sebenarnya merupakan artis di bawah pengurusan syarikat milik Fadzil iaitu Prokuya Studio Sdn. Bhd.

Mengulas mengenai perkara itu, kata Fadzil, sejak bulan Januari lalu, kerjaya Diana sepenuhnya telah diuruskan oleh syarikat miliknya.

Selain Diana, jelas Fadzil, syarikat Prokuya turut menguruskan pelakon Yana Samsudin, Syatilla Melvin, Shahrul Ridzuan dan Mya Ahmad. Namun pengurusan kerjaya artis-artis tersebut bergantung kepada permintaan daripada klien mereka.

“Artis pengurusan Prokuya setakat ini hanya Diana sahaja. Tetapi, pada masa yang sama kami turut mempromosikan artis-artis lain mengikut permintaan dan projek. Sebab syarikat Prokuya lebih kepada pengurusan pengiklanan,” ungkap Fadzil yang mengakui bersikap profesional biarpun menguruskan kakak ipar sendiri.




Selesa

Cantik mengenakan gaun merah hati pada majlis memperkenalkan Diana dan Farid sebagai jurucakap kepada haruman baharu produk Downy di The Apartment, KLCC, Diana turut mengulas mengenai perasaannya diuruskan adik ipar sendiri.

“Sangat penting apabila kerjaya kita diuruskan oleh ahli keluarga sendiri supaya tiada penyelewengan. Hubungan antara saya dengan Fadzil juga lebih telus.

“Kalau saya ambil orang luar lebih-lebih lagi lelaki, mungkin Farid tidak berasa selesa. Bersama Fadzil, saya rasa lebih yakin dan selesa,” akui Diana dan berharap pengakuannya dapat merungkai segala persoalan kenapa dia kerap bersama Fadzil.


FARID dan Diana tidak merancang untuk segera mempunyai anak lagi, sebaliknya mahu memberi fokus terhadap anak sulung mereka, Muhammad.

Sementara itu, menurut Farid pula, walaupun Prokuya Studio itu merupakan syarikat milik adiknya, dia terpaksa campur tangan dalam urusan kerjaya Diana.

Katanya: “Saya meminta agar Diana lebih fokus kepada keluarga. Sudah tentu saya harapkan Prokuya Studio merencana program atau perjalanan seni Diana yang bersesuaian dengan statusnya”.

Fokus Muhammad

Mengulas lanjut, ujar Farid, dia juga tidak akan membenarkan Diana terbabit dalam kerja-kerja seni yang mempunyai durasi panjang.

Malah, dia menganggap kesesuaian Diana terbabit dengan projek drama dalam keadaan sekarang ini amat terbatas kerana statusnya sebagai seorang ibu.

“Saya tidak pernah menghalang atau menyekat dia dalam kerjaya seni. Cuma, saya sering kali mengingatkan dia untuk lebih memberi fokus kepada Muhammad yang mana itu menjadi keutamaan kepada saya,” jelasnya.

Faham statusnya sebagai seorang isteri dan ibu, Diana juga mengakui tidak bekerja pada hari Sabtu dan Ahad.

Luahnya, hari tersebut hanya diperuntukkan untuknya bersama Farid dan Muhammad.

Diana juga mengakui sukar untuk meletakkan sasaran bila dia boleh kembali aktif dalam dunia seni.

“Sangat sukar untuk saya meletakkan sasaran pada waktu bila saya boleh kembali aktif dalam bidang seni. Tetapi, saya akan mengikut naluri jika ia mengatakan Muhammad sudah bersedia untuk saya tinggalkan lebih lama kerana terikat dengan komitmen lakonan,” ulasnya yang turut mengacarakan program MyEG Extra Time.

Di soal mengenai perkembangan Muhammad ketika ini, kata Farid pula, dia bersyukur kerana anak lelakinya itu cepat belajar dan berharap dirinya dan Diana mampu menjadi ibu bapa yang baik kepada anaknya itu.

Mengakui apa yang dituturkan Farid, Diana turut memberitahu, tiada sebarang perancangan pada masa terdekat ini untuk menambah anak. Apa yang penting baginya adalah untuk memberi keutamaan kepada Muhammad dulu.

ARTISMELETOP: Selamat Berhujung Minggu
Previous Post Next Post