BELLA memberitahu, selepas memakai hijab, dia berasa kehidupannya lebih tenang.
PELAKON cantik Nabilah Ali Dally atau nama komersialnya Bella Dally sebelum ini cukup hangat dengan kontroversi putus cinta bersama pelakon Nazim Othman.
Walaupun diasak dengan pelbagai soalan, Bella tetap dengan pendiriannya enggan membuka mulut mengenai kisah cintanya bersama Nazim.
Kini, tumpuan beralih kepada perubahan imejnya yang telah berhijab penuh. Perubahan pelakon berusia 23 tahun ini menarik perhatian peminat apabila dia memuat naik fotonya berhijab dalam akaun Instagram miliknya baru-baru ini.
Bukan kerana fesyen atau mengikut orang, tegas pelakon drama Kalimah Jiwa itu, perubahan imej yang dilakukan atas kemahuannya sendiri tanpa dipaksa orang lain.
Ikuti temu bual ARTISMELETOP! bersama Bella yang di hubungi semalam.
ARTISMELETOP!: Sejak bilakah Bella membuat perubahan terhadap imej dengan berhijab penuh?
BELLA: Saya baru sahaja berhijab penuh sejak beberapa hari yang lalu. Sekarang dalam proses untuk membiasakan diri keluar dengan berhijab. Alhamdulillah sekarang ini saya rasa cukup tenang.
Apakah yang mendorong anda untuk berhijab?
Semuanya berlaku secara tiba-tiba, saya tidak mengalami sebarang mimpi, sebaliknya atas kemahuan sendiri dan saya lakukan kerana Allah. Sebenarnya sudah lama saya menyimpan niat untuk berhijab.
Bagaimanakah dengan fesyen hijab anda?
Saya baru sangat berhijab, buat masa sekarang saya pakai biasa sahaja asalkan selesa dan menutup rambut. Namun, status saya sebagai artis memerlukan saya untuk tampil dengan fesyen menarik tidak boleh terlalu biasa.
DARI KIRI: Uqasha, Bella dan Nelydia Senrose.
Adakah anda akan tinggalkan dunia lakonan selepas ini?
Tidak, saya akan terus berlakon kerana lakonan merupakan sumber pendapatan dan minat saya. Walaupun berlakon, saya tetap akan menutup aurat. Apabila saya ambil keputusan untuk berhijab ia keputusan muktamad dan bukan boleh dibuka sesuka hati.
Selepas berhijab pasti ada batas yang harus dijaga, adakah anda meletakkan syarat tertentu kepada pengarah dan penerbit selepas ini?
Rasanya tidak ada sebarang masalah kerana rata-rata mereka faham keperluan pelakon wanita berhijab. Saya tidaklah meletakkan sebarang syarat, selagi selesa saya tidak ada sebarang masalah. Jika adegan terlalu melampaui batas mungkin saya akan bersuara. Pihak penerbit juga memberitahu, berhijab tidak membataskan tawaran lakonan.
Apakah komen peminat anda terhadap imej baharu ini?
Alhamdulillah, saya tidak sangka mendapat sokongan begitu ramai pihak yang suka dengan perubahan ini. Selain peminat yang memberi kata sokongan, keluarga saya juga amat gembira dengan keputusan saya untuk berhijab.
Sebenarnya apakah yang berlaku antara anda dan Nazim? Adakah benar kalian sudah rasmi putus cinta?
Saya macam biasa sahaja dengan dia, itu sahaja yang saya boleh beritahu. Saya tidak mahu membuat sebarang pengesahan putus cinta atau komen kisah cinta kami. Biarlah hanya kami berdua sahaja yang tahu apa yang berlaku.