Digosip cerai, Dynas akui hubungan dengan Hafizy baik



DYNAS enggan memberi pengesahan tentang berita perceraiannya. Dia juga bersikap agak dingin apabila isu perceraian tersebut diajukan kepadanya.

SELEPAS isu penceraian nama besar dalam industri hiburan, Erra Fazira dan Engku Imran pada Februari lalu menjadi bualan seluruh peminat hiburan tanah air, dunia seni sekali lagi dikejutkan dengan gosip penceraian melibatkan pelakon dan pengacara terkenal, Wan Intan Edrinaz Datuk Wan Mokhtar, 31, atau lebih mesra disapa Dynas Mokhtar.

Khabar angin yang mengatakan bekas pelakon yang pernah membintangi filem Bisikan Syaitan itu dan suaminya, Hafizy Hafiz telah bercerai sejak 25 Februari lalu masih lagi menjadi tanda tanya.

Dynas yang kelihatan mesra bersama anak sulung kesayangannya, Khyra Khalyssa, 4, pada majlis pelancaran pertandingan bayi tahunan anjuran Johnson’s Baby di One Utama, Bandar Damansara, Kuala Lumpur mengambil keputusan untuk enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut.




Namun, pada riak muka pelakon tersebut ia menjelaskan ada sesuatu yang disembunyikannya.

Kosmo! meminta penjelasan daripada Dynas berhubung isu itu. Ikuti temu bual bersama duta produk rangkaian baharu Johnson Baby Milk and Rice itu.

Kosmo!: Boleh anda ceritakan sedikit situasi sebenar hubungan anda bersama suami, Hafizy Hafiz?

DYNAS: Saya enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut kerana hal ini melibatkan seluruh keluarga besar kami. Bagaimanapun, apa yang boleh saya jelaskan di sini ialah hubungan saya dan dia masih lagi dalam keadaan baik. Kami juga masih lagi berhubung antara satu sama lain.

Adakah isu ini sedikit sebanyak menjejaskan hubungan anak anda serta suami?

Alhamdulillah, buat masa sekarang semuanya baik sahaja. Biarlah orang ingin menyebarkan khabar angin, yang penting hubungan saya dan anak-anak tidak terjejas. Saya ingin melihat anak saya membesar dengan baik dan saya mahu sentiasa ada bersama mereka.

Melihat penglibatan anak-anak anda dalam dunia komersial sejak kecil lagi, adakah anda selesa dengan keadaan ini?

Saya menyokong setiap apa yang diminati oleh anak-anak saya. Anak sulung saya, Khyra Khalyssa, 4, sudah menunjukkan minat dalam bidang peragaan. Saya juga melalui perkara yang sama, sejak kecil lagi saya sudah terlibat dalam dunia pengiklanan.

Ia juga mendapat persetujuan daripada ayah mereka. Saya fikir ia tidak menjadi masalah memandangkan mereka juga dapat wang atas usaha mereka ini.


DYNAS dan Hafizy berkahwin pada tahun 2008. Desas-desus perceraian mereka tersebar sekitar Februari lalu.

Apakah perasaan anda apabila dilantik sebagai salah seorang juri dalam pertandingan bayi tahunan ini?

Saya sangat teruja sekali kerana ia merupakan kali pertama kali dilantik untuk menjadi juri. Berbanding tahun sebelumnya, pertandingan ini menjanjikan kelainan apabila bayi yang memasuki pertandingan akan dinilai daripada segala aspek, bukan sahaja dari segi fizikal, malah perkembangan bayi dan ikatan erat bersama kedua ibu bapanya.

Apakah kriteria yang ada pada diri anda sehingga menyebabkan pihak Johnson’s Baby melantik anda sebagai salah seorang juri pertandingan tersebut?

Mungkin disebabkan sebelum ini saya banyak berkecimpung dalam bidang pengacaraan yang melibatkan program perkembangan bayi dan juga mempunyai perniagaan pakaian ibu mengandung iaitu Dynas Nursing Attire’ (DNA).

Bagaimanakah perkembangan perniagaan Dynas Nursing Attire (DNA) anda?

Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Kini saya mempunyai dua cawangan iaitu di The Curve, Damansara dan Setia City Mall. Saya juga bercadang untuk membuka satu lagi cawangan di Sabah.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya kini baru sahaja selesai daripada penggambaran utuk drama, Silir Kasih Bella terbitan RTM. Drama ini memberi kelainan kepada saya kerana watak yang dilakonkan merupakan watak protagonis berbanding watak antagonis yang selalu diberikan kepada saya.
Previous Post Next Post