ATILAH (berdiri tiga dari kanan) dan Juhari (berdiri tiga dari kiri) di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
PERTAMA kali dalam sejarah Istana Budaya membenarkan kemasukan produksi teater dari luar negara untuk beraksi di pentas berprestij Panggung Sari.
Produksi Matah Ati yang mencuri hati penggemar budaya dan sejarah Kesultanan Jawa itu bakal menggegar Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 22 hingga 25 Mei depan.
BACA: Matah Ati di Istana Budaya Mei ini
Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, teater itu dipersembahkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 dan memberikan peluang kepada pencinta budaya tempatan menyaksikan naskhah hebat itu.
“Banyak produksi luar negara yang berhasrat untuk membuat persembahan di Istana Budaya tapi peluang diberikan kepada Matah Ati sebagai satu pendedahan kepada peminat di Malaysia.
“Sama seperti mana-mana produksi tempatan atau luar negara yang mahu membuat persembahan di Istana Budaya, mereka perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
“Antaranya, skrip yang digunakan tidak boleh menyentuh isu sensitiviti seperti perkauman dan agama, tiada perkara sensasi serta menjaga kesopanan dari segi berpakaian,” katanya pada sidang akhbar Matah Ati di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama pada sidang akhbar itu, dua pelakon utama teater tersebut, Fajar Satriadi dan Rambat Yulianingsih yang turut mempersembahkan sedikit sedutan daripada pementasan itu.
Tentera wanita
Matah Ati pernah dipentaskan di Esplanade, Singapura (2010), Teater Jakarta, Taman Ismail Marzuki, Jakarta (2011, 2012) dan Pamedan Solo (2010).
Teater muzikal itu menceritakan kisah perjuangan dan percintaan seorang gadis kampung bernama Rubiyah yang menyertai pasukan tentera wanita untuk menentang penaklukan Belanda di Jawa.
Bersama kekasihnya, Putera Raden Mas Said yang turut dikenali sebagai Pangeran Sambernyowo, mereka membentuk satu batalion yang kuat sehingga menjadi sebahagian daripada sejarah Istana Mangkunegaran.
Lokasi yang sama juga menjadi saksi Rubiyah dan Raden Mas Said disatukan serta nama Rubiyah ditukarkan kepada Bandoro Raden Ayu Kusuma Matah Ati.
Sementara itu, menurut pengarah dan penerbit teater itu, Atilah Soeryadjaya, Matah Ati diinspirasikan daripada persembahan tarian klasik Langendriyan yang berasal dari Istana Mangkunegaran ketika pemerintahan Mangkunegoro IV.
“Selama dua tahun setengah tempoh masa diambil untuk membuat penyelidikan dan menulis skrip teater ini sebelum betul-betul bersedia untuk dipentaskan.
“Naskhah ini unik kerana menceritakan perjuangan dan percintaan ketika Tanah Jawa sedang bergolak. Ia sebuah karya klasikal yang diterjemahkan ke pentas moden,” ujarnya.
Prop mega
Tambah Atilah, produksinya akan dikecilkan daripada 350 kepada 100 orang penari yang akan beraksi di pentas pada satu-satu masa.
“Sepanjang pementasan berdurasi 90 minit itu, tidak akan ada waktu rehat sepertimana persembahan teater biasa. Sudah pasti kami akan menyelitkan gimik khusus kepada penonton di Malaysia.
“Produksi kami akan menerbangkan semua props gergasi seperti yang digunakan dalam pementasan terdahulu ke Istana Budaya nanti dan sesi latihan khusus untuk pementasan ini sudah dimulakan hingga ke tarikh pementasan,” katanya.
Matah Ati akan turut dipentaskan di beberapa buah negara Asia lain seperti China, Taiwan dan Jepun pada ini selain merancang untuk terbang ke negara Eropah pada 2016.
Tiket dijual dengan harga RM70, RM120, RM160, RM220 dan RM280. Untuk maklumat lanjut sila layari laman sesawang www.ezitix.net.