Jackie Chan wasiat harta buat anak


JACKIE CHAN merancang menyerahkan empayar bisnes dan sebahagian hartanya buat anaknya, Jaycee (kanan) apabila tiba masanya kelak.

DIKETAHUI mempunyai hubungan yang tidak harmoni dengan bekas isteri dan anaknya, Jaycee Chan, bintang tersohor dunia, Jackie Chan baru-baru ini mengumumkan bahawa dia akan menyerahkan separuh hartanya kepada anak lelakinya itu manakala sebahagian lagi diagihkan untuk badan kebajikan.

Pengumuman tersebut dibuat sewaktu beliau ditemui pada majlis pelancaran Muzium Jackie Chan di Shanghai, China baru-baru ini.

Ujarnya: "Saya akan mengosongkan akaun bank saya dengan sebahagian aset diberikan kepada Jaycee, dan selebihnya untuk badan kebajikan bila tiba masanya."

Beliau yang baru menyambut ulang tahun ke-60 juga memberitahu bahawa legasi seni yang dibinanya, termasuk empayar perniagaan JCE Movies Limited akan diserahkan kepada Jaycee.




"Saya sudah bersedia untuk menyerahkan takhta empayar saya kepadanya. Dia telah bekerja keras dengan cukup baik selama ini.

"Maka dengan itu saya tidak teragak-agak untuk menyerahkan jawatan Pengarah Urusan (CEO) JCE Movies Limited kepadanya kelak," ujar Jackie yang merasakan anaknya itu paling layak menggantikan tempatnya.

Jackie bagaimanapun memberitahu, dia akan melakukan tempoh percubaan buat anaknya mengendalikan syarikat besar tersebut.

"Jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, saya sendiri akan meminta rakan baik saya iaitu Nicholas Tse untuk membantunya," ujarnya lagi.

Mneyentuh mengenai hubungan dengan anaknya pula, Jackie mengakui bahawa sejak dahulu lagi, dia mendidik anaknya itu dengan tegas dan pernah memarahi pelakon muda itu sehingga hubungan mereka renggang.

Jackie juga dikatakan sering memarahi anaknya itu sehingga anaknya, Jaycee menjauhkan diri daripadanya.

"Namun sekarang, segalanya telah berubah. Kami kini semakin rapat dan saling membantu antara satu sama lain, terutamanya melibatkan hal kebajikan. Saya juga bergurau dengannya supaya melupakan kisah dahulu," ujarnya berseloroh.
Previous Post Next Post