ANJI teruja dapat peluang bekerjasama dengan Ella.
Meskipun dirinya seorang penghibur berpengalaman dan memiliki ramai peminat, namun Ella masih mahu memberi kelainan dalam setiap kemunculannya dan kali ini dia memilih tampil dengan single duet.
Berpengalaman berduet dengan nama besar antaranya Datuk Ramli Sarip, Amy Search, Awie dan penyanyi Indonesia Deddy Dores, kali ini Ella memilih seorang lagi penyanyi Indonesia, Anji menerusi dua single iaitu Pilu dan Risalah Hati.
Bersua dengan Ella dan Anji, baru-baru ini, Ella yang juga dilabel sebagai Ratu Rock itu mengakui amat teruja dengan kemunculan dua single duet ciptaan penyanyi 6ixth Sense, Adi Priyo itu.
Ella berkata, dia sudah lama tidak muncul dengan single baru dan yakin peminatnya mahukan kelainan. Dia memilih untuk berduet dengan Anji. Tambahan pula, Anji cukup dikenali peminat di Indonesia.
“Gandingan kami serasi. Selepas mendengar vokalnya, saya sukakan alunan suara Anji. Jadi, ia terus membuatkan saya terfikir Anji calon tepat untuk duet bersama.
“Ditambah dengan kejayaan Anji di negaranya sebagai penyanyi solo berjaya menyebabkan saya tak ragu dengan keputusan dibuat. Selain itu, yang pasti Anji pada kaca mata saya adalah pasangan duet paling sesuai dan syukur kami serasi.
“Apatah lagi, saya juga selesa dengan sikap Anji. Sebagai penghibur profesional, kami saling menghormati serta memiliki harapan sama pada dua single, Pilu dan Risalah Hati ini cukup istimewa untuk peminat,” katanya.
Tidak pernah merajuk atau sudah melupakan nyanyian sejak mendirikan rumah tangga, Ella berkata, dia masih aktif sebagai penyanyi.
Namun, katanya dia tidak suka terburu-buru dan apa yang dibuat mengikut perancangan.
Katanya, dia juga kini dalam proses pembikinan album baru dan masih mencari lagu sesuai.
Apapun, Ella mengharapkan dua single duet itu akan dimuatkan juga dalam album barunya.
Mengulas mengenai misteri kehilangan pesawat MH370 yang hingga kini belum ditemui, Ella berkata, dia amat sedih dan simpati. Apatah lagi, katanya, ia amat dirasai kerana suaminya, Azhar Ghazali juga seorang juruterbang.
Ella berkata, sebagai isteri apa yang boleh dilakukan dia tetap menyokong karier suaminya.
Katanya, itu adalah dugaan Allah SWT dan dia hanya mampu memandang secara positif dan enggan mempercayai spekulasi.
Anji enggan lepas peluang duet dengan Ella
Sebaik mendapat tahu Ella bersedia untuk duet bersamanya, Anji cukup teruja dan gembira.
Apatah lagi Ella bukan calang-calang penyanyi dan turut dikenali di Indonesia. Jadi, Anji enggan melepaskan peluang dimilikinya.
Berusia 34 tahun dan pernah menjadi vokalis kumpulan Drive yang popular dengan lagu Bersama Bintang, Anji berkata, dia kini aktif secara solo.
Katanya, dia melepaskan Drive kerana mahu bergerak sendiri.
Kata pemilik nama sebenar, Erdian Aji Prihartanto ini, bergerak secara solo cukup memudahkan dia mengurus masa.
Katanya, jadual seni yang padat kerana dia juga sibuk dalam penciptaan lagu membuatkan dia akur.
“Saya masih sayangkan Drive, namun pada masa sama saya juga mampu bergerak secara solo. Jadi, tidak mahu menyusahkan anggota Drive yang lain, maka mengundur diri adalah keputusan tepat. Apatah lagi, mereka juga memahami.
“Kini, yang pasti peluang saya lebih besar. Persetujuan Ella menjalin kerjasama dengan saya untuk menyanyikan dua single Pilu dan Risalah Hati ini diterima dengan hati terbuka. Saya amat bersedia dengan kerjasama ini.
“Dua single ini juga akan dimuatkan dalam album terbaru saya. Apapun, saya gembira peminat menerima dengan hati terbuka. Sebaik dapat tahu akan kerjasama dengan Ella, saya memuat naik status dalam laman sosial peribadi.
“Ternyata sama ada di Facebook, Twitter dan juga Instagram saya, peminat menerima dan mereka memberikan sokongan. Malah, ada di antara peminat saya mengenali Ella dan suka juga pada lagu-lagu rock dinyanyikan,” katanya.
Yakin dirinya diterima baik di negara ini, Anji yang baru pertama kali menjejak kaki ke Malaysia mengakui dia amat selesa.
Katanya dengan maklum balas positif diterima, dia yakin keputusan dibuat tidak sia-sia.
Mengharapkan peluang diberikan kepadanya, Anji berkata, dia juga bersedia meneruskan kerjasama dengan Ella pada masa akan datang.
Katanya, sikap Ella yang mudah mesra dan pengalamannya membuatkan dia seronok dan selesa.