Encik Mimpi guna duit sendiri terbit lagu



BUKAN penyanyi sepenuh masa, Encik Mimpi mempunyai kerjaya tetap sebagai eksekutif IT.

KEPUTUSANNYA untuk bergerak secara berdikari dalam industri hiburan tanah air merupakan antara sebab Encik Mimpi (EM) terpaksa mengeluarkan wang kocek sendiri untuk menerbitkan lagu.

Biar terpaksa mengeluarkan wang sendiri, namun ia kini mula membuahkan hasil apabila single Rindukanlah nyanyiannya menjadi siulan pada masa kini. Sudah mula sibuk memenuhi undangan nyanyian, EM bagaimanapun masih mahu sayang untuk melepaskan pekerjaan tetapnya.

Bekerja sebagai seorang eksekutif teknologi maklumat (IT) di salah sebuah syarikat di Sepang, Selangor, EM berkata, dia tidak bercadang untuk meninggalkan kerjayanya dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang nyanyian.




“Bukan kerana saya tidak yakin dalam bidang nyanyian tetapi buat masa sekarang saya perlu untuk bekerja untuk membiayai hobi sebagai seorang penyanyi.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak sebarang kemungkinan sekiranya tuntutan terhadap bidang nyanyian tinggi. Suatu hari nanti mungkin saya berfikir untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang nyanyian,” ujarnya yang mengakui suatu hari nanti dia terpaksa menumpukan perhatian kepada satu bidang sahaja.

Tambah EM, buat masa sekarang keputusannya untuk mempunyai dua karier serentak adalah tidak membebankan disebabkan kerjanya sebagai eksekutif IT sangat fleksibel.

“Saya hanya perlu cukupkan sembilan jam masa bekerja saya. Selebihnya saya akan menggunakan sepenuh masa untuk menumpukan perhatian dalam bidang nyanyian dan menulis lirik,” ujarnya ketika ditemui pada majlis anjuran Kosmo! di Dewan Besar Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, EM menolak untuk bernaung bawah mana-mana syarikat rakaman memandangkan dia ingin terus bebas berkarya dan tidak mahu terikat dengan syarat yang mungkin dikenakan.

“Sebelum ini saya ada dirisik oleh beberapa syarikat rakaman, namun saya menolaknya disebabkan saya tidak mahu terikat sehingga menimbulkan perbalahan antara mana-mana pihak.

“Berada bawah naungan syarikat pengurusan Indigital Sdn. Bhd. sudah cukup untuk saya bagi membantu dalam mempromosikan lagu dan menguruskan jadual jemputan nyanyian saya,” katanya.

Bercerita mengenai idea yang diperolehnya ketika menghasilkan lirik, EM berkata, dia menulis berdasarkan kehidupan sebenar dan pengalaman yang dilaluinya sebelum ini.

“Dahulu, saya banyak melakukan karya nyanyian dan penulisan lirik saya dalam blog. Saya tidak sangka lama-kelamaan ia mendapat sambutan sehingga saya mempunyai pengikut setia.

“Hal tersebut menyebabkan saya bersemangat untuk meneruskan hobi nyanyian dan penulisan lirik ke persada seni hiburan komersial,” ujarnya yang menjadikan Aizat sebagai idolanya.

Mengulas perkembangan terbaharunya, EM berkata, dia kini sibuk mempromosikan single keduanya Ayuh Tinggalkan Dia dan lagu kolaborasinya bersama kumpulan AT-RI Band menerusi lagu Menu Cintaku.

“Alhamdulillah, kedua-dua lagu tersebut kini sedang hangat diputarkan di corong-corong radio termasuk Hot FM.

“Bagaimanapun saya akui, buat masa ini sambutannya tidak sehebat Rindukanlah, lagu yang pernah menjadi OST drama popular, Playboy Itu Suamiku. Namun, saya percaya ia tetap akan mendapat tempat yang baik pada suatu hari nanti,” ujarnya optimis.
Previous Post Next Post