Rafiena bukan syok sendiri


SELEPAS kurang aktif berlakon, Rafiena lebih selesa bekerja di belakang tabir.

NAMA Datuk Rafiena Ezanee Ramli mungkin tidak segah jika mahu dibandingkan dengan pelakon-pelakon yang seangkatan dengannya. Walaupun banyak membintangi drama tidak lama dahulu, kehadirannya di dalam industri seperti tidak diendahkan.

Namun, aktres berusia 31 tahun ini bijak dalam menyusun langkah bagi meneruskan hayatnya dalam industri lakonan. Membangunkan rumah produksi Darkwave Pictures sekitar tahun 2008, Rafiena mula menempa nama sebagai penerbit kepada beberapa buah drama bersiri dan juga telemovie.

Namun, apabila dia dilihat berlakon dalam drama terbaharu terbitannya, Perempuan Dalam Pasungan, banyak pihak mempersoalkan tentang pemilihan itu. Ada yang mengatakan dia enggan memberi peluang kepada pelakon lain dan kurang mempercayai kredibiliti mereka untuk menerajui watak utama dalam drama bersiri 28 episod tersebut.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama tersebut di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur kelmarin, ibu kepada dua orang cahaya mata itu mengakui, pada mulanya dia enggan untuk menerima tawaran tersebut. Namun, setelah didesak oleh Datuk Eizlan Yusof selaku produser eksekutif syarikatnya, dia akhirnya bersetuju untuk membawakan watak Fariena.

Dalam temu bual berikut, Rafiena turut berkongsi mengenai satu nama besar yang turut memberikan sokongan kepadanya sewaktu mahu membuka rumah produksinya suatu ketika dahulu.




ARTISMELETOP!: Sebagai seorang penerbit, adakah anda tidak berasa janggal berlakon dalam drama terbitan anda sendiri?

RAFIENA: Sejujurnya, saya enggan menerima tawaran tersebut. Namun, setelah beberapa kali dipujuk oleh Eizlan, saya akhirnya akur.

Saya tahu, orang di luar pasti akan bercakap saya syok sendiri tetapi apa yang boleh saya pastikan ialah hasilnya mampu untuk memuaskan hati penonton.

Apakah fungsi Eizlan di dalam syarikat anda?

Dia menjawat jawatan sebagai produser eksekutif.

Mengapa anda memilih rakan artis untuk menjawat jawatan tersebut?

Saya mengenali Eizlan sudah agak lama. Jawatan tersebut pernah ditawarkan kepadanya beberapa kali tetapi dia menolak. Dia takut jika bekerja di bawah satu bumbung, kami akan bertelagah. Namun, setelah beberapa kali berbincang, akhirnya dia bersetuju untuk menyertai syarikat saya pada tahun lepas.

Siapakah yang banyak memberikan sokongan kepada anda sewaktu mula-mula membabitkan diri sebagai seorang produser?

Datuk Yusof Haslam banyak memberikan galakan kepada saya. Walaupun saya ada bertanya kepada rakan-rakan artis yang lain, namun nasihat yang diberikan olehnya yang paling ikhlas. Lagipun, saya bermula sebagai pelakon dengan Skop Production, justeru tidak salah saya bertanya pendapat dengan beliau.


RAFIENA dan Eizlan bekerjasama dalam membangunkan syarikat produksi Darkwave Pictures.

Jadi, adakah anda tidak mahu berlakon lagi selepas ini?

Sejak aktif menerbitkan drama, saya sudah jarang berlakon. Ini merupakan drama pertama saya setelah berehat panjang. Saya akan berlakon tetapi perlulah mengikut keadaan. Namun, saya tidak akan berlakon selain di bawah syarikat saya sendiri.

Mengapakah sidang akhbar ini dilakukan setelah drama ini disiarkan?

Kami merancang untuk melakukan sidang akhbar lebih awal. Namun, akibat kekangan masa yang dihadapi oleh pelakon dan pengarah, acara ini terpaksa ditunda. Zulhuzaimy selaku pengarah juga tidak dapat hadir pada hari ini.

Apakah kelebihan Zulhuzaimy berbanding dengan pengarah yang lain?

Saya suka cara dia mengarah. Lebih-lebih lagi naskhah yang pernah diarahkan olehnya sebelum ini sungguh bagus. Jadi, tidak salah rasanya saya meminta khidmatnya untuk mengarahkan Perempuan Dalam Pasungan.

Pelakon-pelakon yang membintangi drama ini terdiri daripada pelakon lama. Adakah anda tidak mempercayai bakat-bakat yang ada pada pelakon baharu?

Saya masih mempercayai kebolehan pelakon baharu, cuma buat masa ini, watak yang diketengahkan sesuai dengan barisan pelakon sedia ada. Lagipun, saya juga menampilkan seorang pelakon baharu iaitu Lia Natalia.

Apakah keistimewaan drama Perempuan Dalam Pasungan?

Cerita ini merupakan idea asal saya sendiri dan pemilihan pelakon turut dilakukan menerusi perbincangan bersama. Alhamdulillah, sejak ditayangkan kira-kira dua minggu lalu, rating bagi drama ini mula menunjukkan peningkatan.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Beberapa buah drama terbitan saya iaitu Racun Menantu, Lai Katong dan Penunggu Bayang akan menemui penonton tidak lama lagi.
Previous Post Next Post