FILEM Oculus barangkali tidak terkenal berbanding dengan beberapa filem seram lain, namun sebenarnya filem ini pernah memenangi enam anugerah di beberapa festival filem sekitar 2006.
Itu pun pada asalnya ia hanya sebuah filem pendek yang mempertaruhkan seorang pelakon dan berlatarkan bilik berwarna putih dengan bajet yang kecil.
Namun disebabkan beberapa kali mendapat anugerah, Mike Flanagan mendapat idea untuk memanjangkan jalan cerita filem ini dan masih mengekalkan judul sama.
Dengan kerjasama bersama penulis Jeff Howard, Flanagan menghasilkan filem berdurasi 105 minit yang mengisahkan tragedi malang yang menimpa keluarga Russell di pinggir bandar dipercayai angkara kuasa jahat daripada cermin antik berusia 300 tahun.
Kejahatan mula menguasai pasangan suami isteri Russell dan mereka membiarkan anak mereka, Kaylie serta Tim bersendirian untuk berdepan dengan masalah itu.
Pada satu malam, Tim menembak bapanya selepas menyaksikan lelaki itu membunuh isterinya. Berikutan itu, Tim dihantar ke hospital mental kerana mendakwa kejadian itu disebabkan pengaruh kuasa jahat daripada sebuah cermin antik.
Selepas 10 tahun, Tim dibenarkan pulang ke rumah dan ingin memulakan kehidupan baharu, namun kakaknya, Kaylie masih mempercayai cermin itu dirasuk hantu.
Gadis itu nekad membuktikan cermin berkenaan bertanggungjawab terhadap kematian ibu bapanya selepas mengetahui tragedi yang menimpa beberapa pemilikcermin sebelum ini.
Pemilik cermin itu dirasuk sehingga menjadi gila dan mati dalam keadaan ngeri seperti di renjat elektrik, mati kehausan, memukul diri sendiri dengan penukul serta terbakar.
Antara psikologi & mistik
Mempertaruhkan barisanpelakon seperti Karen Gillan,Brenton Thwaites, Rory Cochrane, dan Katee Sackhoff, filem Oculus sudah menemui penonton semenjak Khamis lalu.
Yang menariknya mengenai filem ini pada pandangan penulis adalah percubaan Howard dan Flanagan memasukkan unsur mistik bersama logik dan psikologi yang mungkin menjadi andaian sesetengah pihak yang tidak mempercayai unsur mistik selama ini.
Contohnya adalah penjelasan Kaylie mengenai kematian semua yang terlibat dengan cermin terbabit di bantah adiknya dengan hujah mengenai logik akal dan psikologi setiap mangsa-mangsa.
Namun akhirnya kuasa cermin itu mula terasa apabila Kaylie dan Tim tanpa sedar mengalihkan segala susun atur kamera.
Bermula dari situlah unsur seram mula terasa apatah lagi, babak Kaylie dan Tim ketika kecil mula diselang-selikan dengan masa sebenar bagi memberi penonton penjelasan mengenai apa yang berlaku.
Walaupun kelibat hantu hanya diselitkan untuk beberapa babak, namun setiap kali mereka bergerak, rasa ngeri dan seram itu akan terasa dan pelbagai telahan akan dibuat oleh penonton sendiri.
Trailer Oculus 2014
Permainan emosi
Bukan itu sahaja, permainan emosi Kaylie dan Tim yang diselang-selikan itu akan menambahkan perasaan ingin tahu apakah yang terjadi seterusnya dan seterusnya.
Namun apa yang pasti, sehingga kesudahan filem ini, anda pasti akan tertanya, bagaimana untuk menewaskan cermin tersebut, apatah lagi, cermin antik tersebut berjaya mengaburi fikiran dan membuatkan anda nampak perkara yang tidak berlaku sebenarnya.
Bagaimanapun secara keseluruhannya, Oculus adalah sebuah filem yang menarik untuk ditonton kerana setiap babak menambah rasa keterujaan anda untuk memahami apa yang berlaku kepada semua mangsa terbabit.