Filem Pekak tonjol isu balasan karma



BARISAN karyawan Pekak sudah bersedia untuk memberi hasil terbaik bagi karya tersebut.

APAKAH yang akan anda lakukan bagi mengumpul wang pembiayaan kos pembedahan kedua-dua belah telinga untuk mengembalikan deria pendengaran?

Itulah persoalan yang cuba untuk dirungkaikan oleh sutradara Khairul Azri Md. Noor, 33, apabila dia diberi peluang untuk mengarahkan filem sulungnya berjudul Pekak.

Menerusi filem terbitan Grand Brilliance ini, Khairul Azri mahu menyampaikan mesej tentang pembalasan serta karma di sebalik kecacatan yang dialami oleh watak utamanya yang dilakonkan oleh pelakon Zahiril Adzim.




“Tidak banyak filem yang dihasilkan di Malaysia menonjolkan watak utamanya mengalami masalah kecacatan deria pendengaran.

“Pada kebiasaannya, watak-watak orang kelainan upaya (OKU) sering digambarkan sebagai individu yang baik. Sebaliknya, menerusi filem ini, watak OKU yang ingin saya tampilkan lebih menjurus ke arah sisi yang sedikit hitam.

“Watak Uda lakonan Zahiril digambarkan sebagai seorang lelaki pekak yang bekerja keras mengumpul duit untuk pembedahan telinganya. Namun, kerja yang dilakukannya tidak halal dan mampu memberi impak negatif pada masyarakat.

“Justeru, berpandukan situasi tersebut, saya mahu tunjukkan bahawa apa sahaja yang kita lakukan, pasti akan mendapat balasan. Sama ada balasan baik atau jahat, itu bergantung pada apa yang dilakukan oleh individu itu,” ujarnya ketika ditemui pada majlis bacaan skrip filem tersebut yang berlangsung di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurut Khairul Azri, watak yang bakal dikembangkan oleh Zahiril banyak bermain dengan emosi dan lenggok badan kerana tiada sebarang dialog dibekalkan kepada pelakon itu.

“Watak Uda banyak bermain dengan emosi. Justeru, sebelum memulakan penggambaran, saya ada memberikannya beberapa buah filem untuk ditonton sebagai bahan rujukan,” ujarnya.

Bapa jadi guru

Bagi Zahiril, 30, dia yang pernah bekerjasama dengan Khairul Azri bagi projek Kapsul yakin mampu menjayakan watak ini atas bantuan bapanya yang bertugas sebagai guru pendidikan khas.

“Ketika mula-mula mendapat skrip filem ini, saya fikir ia sebuah cerita biasa. Lagipun, saya tidak diberikan sebarang dialog sepanjang perjalanan filem ini.

“Namun, setelah membaca dengan lebih lanjut, barulah saya sedar bahawa saya memerlukan banyak tunjuk ajar tentang penggunaan bahasa tubuh.

“Mujur bapa saya seorang guru yang mengajar kelas pendidikan khas. Jadi, tidak payah bagi saya untuk mendalami karakter seorang OKU yang pekak,” ujarnya.

Melanjutkan perbualan, Zahiril turut berasa teruja kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon yang hebat seperti Sharifah Amani, Zaidi Omar dan Sharifah Sakinah.

“Pelakon-pelakon yang terlibat dalam filem ini hebat-hebat belaka. Walaupun kami sudah mengenali antara satu dengan lain, tetapi ini merupakan kali pertama saya bekerjasama dengan mereka. Saya berasa begitu teruja,” ujarnya lagi.

Idam watak Dara

Lain pula ceritanya dengan Sharifah Amani. Aktres yang berusia 28 tahun itu ternyata bercita-cita mahu membawakan watak Dara sebelum dia menyertai sesi uji bakat bersama Khairul Azri lagi.

“Saya, Khairul dan pelakon-pelakon yang lain merupakan kenalan rapat. Setelah mendapat tahu mereka bakal berlakon dalam filem Pekak, saya ada menyimpan niat untuk turut serta.

“Apabila diminta datang pada sesi uji bakat, saya terus pergi. Alhamdulillah, saya ditawarkan untuk memegang watak tersebut,” katanya sambil tersenyum.

Mengulas mengenai watak tersebut, Amani memberitahu, karakter yang ditonjolkan menerusi watak Dara adalah jauh berbeza dengan personaliti dirinya.

“Karakter yang akan saya lakonkan begitu berbeza dengan diri saya. Watak Dara digambarkan sebagai seorang yang lemah-lembut dan merupakan seorang anak perempuan yang rapat dengan ayahnya.

“Walaupun ia nampak mudah, tapi watak tersebut sangat berbeza dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Lebih-lebih lagi apabila pasangan saya tidak mempunyai sebarang dialog,” kata pelakon yang pernah popular menerusi filem Sepet ini sambil ketawa.

Filem ini telah pun memulakan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu.
Previous Post Next Post