Liza Abdullah Anak ketiga, keempat tidak tahu Liza bercerai


LIZA mengakui hubungan dengan bekas suaminya masih baik.

PADA 24 Februari lalu, sebelum talak dilafazkan, pelakon popular era 80-an, Liza Abdullah dan suaminya (kini bekas suami), seorang ahli perniagaan, Zolkefli Abdul Rahman, berpelukan dan menangis teresak-esak.

Akhirnya, setelah 26 tahun mendirikan rumah tangga, pelakon filem Ali Setan itu dan Zolkefli sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur.

Hakim Syarie Saiful Azli Jamaludin mengklasifikasikan perceraian pasangan tersebut sebagai wujud Shikok atau konflik perkahwinan bagi tempoh yang berpanjangan antara kedua-dua belah pihak.




Pasangan itu berkahwin pada tahun 1988 dan telah dikurniakan empat orang anak iaitu Zulhaffiz Zarriq, 25, Nurwaffiz Syahiddah, 21, Zulsyahmi Naqib, 12, dan Zulsyahmi Afiq, 10.

Setelah sebulan lebih bercerai, Kosmo! bersua dengan Liza pada majlis resepsi pelakon Puteri Sarah dan suaminya, Syamsul Yusof di N'Dah Catering & Wedding Planner, Shah Alam, pada Sabtu lalu.

Pelakon berusia 50 tahun itu berkongsi perasaan dan kehidupannya selepas bercerai. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Liza.

ARTISMELETOP!: Bagaimanakah kehidupan Liza sekarang selepas bercerai?

LIZA: Kehidupan kena diteruskan. Kalau dari segi sebagai seorang ibu, saya tetap ibu kepada anak-anak saya. Kalau dari segi kehidupan, bekerja masih lagi terus menerus menerima tawaran berlakon. Tiada masalah.

Jauh di sudut hati, adakah anda berasa sunyi selepas bercerai?

Alhamdulillah, saya dikelilingi dengan rakan-rakan dan peminat-peminat yang sentiasa menyokong dan memberi galakan kepada saya. Kepada yang mungkin tidak memahami dan tidak tahu, kehidupan saya selepas bercerai sama sahaja. Soal rumah tangga saya tidak pernah bincangkan atau ceritakan kepada sesiapa sejak dari dahulu lagi.

Sebenarnya, sudah berbelas-belas tahun saya hidup di Kuala Lumpur bersendirian manakala suami dan anak-anak duduk di Johor. Tetapi tidak perlulah saya bercerita lanjut kenapa. Sekarang, selepas bercerai kehidupan macam itu juga tetapi saya juga tidak nafikan kehidupan berpuluh tahun menjadi isteri dengan kehidupan setelah tidak menjadi isteri memang ada perbezaan.

Adakah anda masih berasa sedih, selepas apa yang berlaku ini?

Ada beberapa orang cakap kenapa perlu berasa sedih dan menangis di mahkamah sedangkan saya yang memfailkan perceraian itu. Untuk pengetahuan semua, sudah tentu kita akan berasa tersentuh setelah kehidupan yang kita kita lalui lebih daripada 20 tahun berakhir dengan perceraian. Tetapi bukan itu kemahuan kita. Sesiapapun baik lelaki atau perempuan bila kita kahwin kita tidak mahu perkara macam itu (perceraian) terjadi.

Kehidupan bersuami dan berkawan sama sahaja. Kalau kita berkawan tetapi kita berasakan ada sesuatu yang tidak kena pada hubungan itu sudah tentu kita akan menjarakkan hubungan. Apa yang terjadi pada saya 24 Februari lalu, sebagai isteri, saya tidak pernah menjangkakannya.

Bagaimanakah perasaan anda sekarang?

Kadang-kadang mungkin terlalu sibuk dengan kerja kita tidak terasa. Bagaimanapun, hubungan saya dengan bekas suami masih baik. Saya tetap akan ke Johor sebab anak ketiga, Zulsyahmi Naqib, 12, dan dan keempat saya, Zulsyahmi Afiq, 10, tinggal dengan bekas suami.

Kenapakah anak ketiga dan keempat tinggal bersama suami?

Kami memang buat perjanjian, anak-anak tidak menjadi rebutan. Lagipun, dua orang anak saya itu memang bersekolah di Johor.

Bagaimanakah perasaan anak-anak mengenai perceraian ibu bapa mereka?

Sehingga kini kedua-dua anak tersebut tidak tahu yang ibu bapa mereka sudah berpisah. Sebab budak-budak mungkin tidak faham. Anak sulung saya, Zulhaffiz, pada awalnya tidak boleh terima perpisahan kedua ibu bapanya. Anak perempuan, saya rasa dia faham. Dalam kehidupan ini ada sebab yang kita tidak boleh ceritakan kepada mereka. Kita doa sahaja yang terbaik. Kita tidak tahu untuk akan datang saya dan bekas suami akan berbaik semula.

Sampai bilakah anda ingin berahsia dengan anak-anak?

Kalau boleh sampai bila-bila. Sampai mereka faham sendiri.

Adakah anda sudah bertemu dengan anak-anak selepas berpisah?

Sejak berpisah, saya belum lagi balik berjumpa anak-anak dan bekas suami.

Adakah sebab sibuk atau sebab lain anda tidak berjumpa mereka?

Selalunya, cuti sekolah saya akan ambil mereka duduk di Kuala Lumpur. Tetapi cuti sekolah kali ini pendek, jadi saya tidak ambil mereka. Lagipun, saya terlalu sibuk bekerja. Kalau ada masa memang saya akan meluangkan masa untuk anak-anak.

Ada orang beranggapan apabila meraih status janda, macam-macam dugaan dan cabaran akan mereka lalui. Adakah anda sudah bersedia melaluinya?

Sebenarnya gelaran apa sahaja sekalipun sama sahaja. Saya tidak pernah fikir atau ambil tahu apa yang orang katakan. Saya juga tidak berasa malu melalui kehidupan ini.

Ada juga yang berkata, pada peringkat usia anda sekarang kenapa berlaku perceraian? Komen anda?

Memang ada blog menulis dan ada sebahagian orang-orang yang komen dalam blog itu yang mereka dan menokok tambah cerita. Mereka cakap kenapa bercerai pada umur sekarang?

Saya ingin bertanya, adakah kehidupan manusia apabila umur mereka 60 atau 70 tahun tidak boleh bahagia?

Kehidupan dalam berkawan atau berumah tangga, kalau tidak ada kebahagiaan, tiada kesefahaman, jalan yang baik adalah berpisah. Itu sahaja yang saya boleh cakap.

Ada lelaki yang cuba mendekati anda setelah bercerai?

Sensitif soalan ini. Biasalah kehidupan ini kalau kita masih isteri orangpun kalau kita tidak pandai jaga diri orang akan pandang rendah. Kalau anak dara sekalipun kalau kita bersikap tidak elok orang akan memandang rendah. Apa-apapun, berbalik pada diri kita sendiri.
Previous Post Next Post