NAMA Jep Sepahtu tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai pelawak berbakat dan serba boleh.
Populariti yang diraih setelah memenangi Raja Lawak 3 dan Maharaja Lawak bersama kumpulannya, Sepah semakin melonjak apabila merangkul Anugerah Lawak Warna 2013 dan Super Spontan 2013.
Namun, lumrah menjadi orang terkenal dalam bidang seni, Jep juga tidak terkecuali dipalit kontroversi yang membabitkan dirinya dengan ahli kumpulan Shiro, Shahrol.
Desas-desus konflik dan perang dingin yang tercetus di antara mereka sejak awal tahun ini dikatakan masih berlarutan sehingga kini.
“Saya tak ada jawapan untuk isu tu sebab memang tak ada apa-apa yang berlaku. Benda tu pun dah lama, tak ada pergaduhan, masam muka atau konflik untuk dijelaskan sebab memang tak ada apa-apa yang berlaku.
“Sesiapa pun boleh mendakwa kami ada konflik, tapi yang didakwa pun tak tahu nak jawab apa sebab tak tahu dakwaan tu berasaskan apa,” katanya.
Terkilan dengan khabar angin yang disebarkan di Internet, Jep kesal dengan situasi yang dianggap tidak ada kena-mengena dengan dirinya itu.
“Zaman sekarang orang berhak menulis apa sahaja, tapi dari segi logik akal dan pemikiran manusia, adakah anda terus percaya bulat-bulat dengan sesuatu yang diutarakan?” luah Jep dengan serius.
Kurang selesa diajukan soalan berkenaan konflik dengan Shahrol, Jep menafikan kontroversi ini dan tidak mahu isu sebegini terus mengganggu perjalanan karier seninya.
“Kita hidup jangan menyusahkan dan memporak-perandakan orang lain. Kita dicipta di muka bumi ini untuk mengamankan dunia, bukan untuk mengucar-ngacirkan dan memecahbelahkan antara satu sama lain.
“Saya cuma bekerja dan bukan mencari publisiti dengan cerita-cerita sebegini. Alhamdulillah apa yang saya buat Allah izinkan, bukan kerana bakat yang bagus saya ada di sini tetapi kerana izin Allah dan doa orang ramai,” ujar Jep yang tidak mahu perkara ini dipanjangkan.
Sisi tegas Jep
Ketika ditemui di sebuah acara sempena Drive M7 Gallery bersama syarikat-syarikat permotoran lain di Plaza Alam Sentral, Jumaat lalu, duta Drive M7 Energy Drink ini sempat bercerita perihal dirinya yang merupakan seorang yang serius dalam kehidupan sebenar.
“Sebenarnya saya sorang yang sangat tegas dan akan berlawak dengan orang-orang yang rapat dan selesa. Sebab kalau kita 24 jam nak buat lawak pun nanti orang kata kita tak tahu ikut situasi majlis. Bukan semua orang boleh terima lawak kita.
“Bidang lawak ni ibarat meniti sehelai rambut. Kalau berjaya orang akan sanjung, kalau tak jadi orang kata ini lawak bodoh. Bagi saya tak ada istilah lawak bodoh sebab lawak tu terlalu besar skopnya.
“Buat masa sekarang Alhamdulillah saya ada plan B kalau orang tak gelak dengan lawak saya. Saya akan cuba jadikan sesuatu itu bahan jenaka asalkan ia tidak melanggar batas atau menyentuh isu sensitif,” jelas pelawak yang meminati Allayarham AR Tompel ini.
Dalam perkembangan lain, Jep terlibat dengan program School of Lawak, projek daripada Exco Malaysian Book of Record berkenaan bidang komedi, Karoot Media musim terbaharu dan penggambaran dua telefilem raya yang bakal menyusul.