Teater Dibawah LLindungan Kaabah BAJET cecah RM2JUTA



Biarpun berdepan masalah penajaan, ia tidak mematahkan semangat produksi CTRA Production dan Istana Budaya (IB) untuk mementaskan karya hebat yang juga adaptasi daripada novel ulama terkenal Indonesia, Allahyarham Profesor Dr Hamka berjudul Di Bawah Lindungan Kaabah.

Novel yang pernah diang­kat ke layar filem pada 1978 dan 2011 di Indonesia itu juga mendapat sambutan hangat di seluruh Nusantara serta masih dibaca peminat sampai hari ini.


Teater arahan Rosminah Tahir ini bakal dipentaskan di Panggung Sari, IB selama 10 hari bermula 9 hingga 18 Mei ini.

Selaku penerbitnya, Siti Rohayah Attan berharap, lebih ramai pihak korporat di luar sana tampil menjadi penaja bersama, sekali gus memberi sokongan untuk merealisasikan pementasan berkenaan.





“Saya akui cabaran besar dihadapi untuk mementaskan teater berkonsep Islam ini. Dari segi kos, pementasan ini membabitkan bajet mencecah RM2 juta termasuk promosi. Setakat ini, pihak kami menerima 30 peratus daripada jumlah ­penajaan untuk pementasan ini.


“Apapun, ia bukan penghalang untuk kami terus merealisasikan teater ini seperti direncanakan. Sesi latihan intensif untuk pementasan juga sudah dimulakan dan barisan pelakon serta kru mula berkampung di IB untuk memberikan yang terbaik pada pementasan ini,” katanya.

Mengulas lanjut ­mengenai naskhah itu, Siti Rohayah berkata, pihaknya juga ­me­ngambil masa setahun ­untuk membuat kajian sebelum mementaskannya ke teater.

“Bukan mudah untuk mengadaptasi novel hebat ke pentas teater. Justeru, pihak kami perlu membuat kajian rapi supaya plot penting dapat dimuatkan dalam teater serta membayangkan barisan pelakon yang sesuai untuk wataknya.

“Pihak produksi sudah berjumpa dengan anak Allahyarham untuk mendapat kebenaran dari segi hak cipta dan ia berjalan lancar.

“Pada masa sama, pemilihan karya penulis Indonesia juga sebagai usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menarik pelancong dari negara sekitar Nusantara seperti Singapura dan Brunei untuk menyaksikan teater berkenaan,” katanya.

Kata Siti Rohayah, selain Rosminah selaku pengarah dan penulis skripnya, pengarah muzik terkenal Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah) turut di beri kepercayaan menggubah lagu untuk pementasan ini.

“Pak Ngah sendiri menangis ketika menggubah rangkaian lagu untuk dimuatkan dalam pementasan ini,” katanya.

Siti Rohayah ditemui pada sidang media kedua pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah yang berlangsung di Istana Budaya, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Muhammad Juhari Shaarani.

Barisan artis popular mantapkan teater

Pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah turut mempertemukan pelakon popular Adi Putra (Hamid) dan Nasha Aziz (Zainab) selaku teraju utamanya. Ia dimantapkan lagi dengan penampilan barisan pelakon popular lain seperti Elfira Loy, Fizo Omar, Dafi Ismail Sabri, Zila Bakarin, Liza Abdullah, Zahid AF, Yasmin Hani, Dayana Roza (Anak Wayang).

Selain itu, Taufiq Izmer, Wafiy Irfan Ariffen, Tun Amiera Rania, Alina Hassan, Shahrul Mizad Ashari dan Mazlan Tahir serta penampilan 60 pelakon pembantu lain.

Di Bawah Lindungan Kaabah menceritakan mengenai perjuangan kehidupan pasangan muda Minang yang berasal daripada latar belakang sosial berbeza. Ia mengenai seorang pemuda, Hamid yang baik, bersopan santun, patuh kepada ibu dan tidak pernah meninggalkan suruhan Allah SWT sejak kecil.

Dia dibesarkan dalam kehidupan yang susah, menumpang kasih dan ilmu agama daripada Engku Jaafar dan Mak Asiah serta membesar bersama anak mereka, Zainab.

Selepas remaja, Hamid dan Zainab menyimpan perasaan kasih antara mereka, tetapi hanya tersimpan dalam hati.

Hamid yang cuba me­nyingkirkan perasaan itu kerana menganggap Zainab sebagai adik sendiri, membawa diri mengembara hinggalah ke Tanah Suci Makkah.

Dalam pada itu, teater Di Bawah Lindungan Kaabah turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Yayasan Amanah Perdana, Tudung Fareeda, Hot Burger dan Persatuan Penulis Wanita Malaysia.

Tiket teater ini dijual pada harga RM30 hingga RM200. Ia boleh dibeli de­ngan melayari laman www.AirAsiaRedTix.com
Previous Post Next Post