MELIHAT anak membesar di depan mata merupakan pengalaman tidak ternilai buat wanita ini. Kalau boleh setiap hari dia mahu memeluk erat permata hatinya itu kuat-kuat sebagai tanda kasih sayang yang tak berbelah bahagi.
Bagi Bunga Citra Lestari, walaupun sering kali dihimpit kekangan masa dek tuntutan pekerjaannya, dia tidak rela meninggalkan Noah Sinclair, 4, pada jangka waktu yang panjang biar untuk apa alasan sekalipun.
"Saya banyak berubah sejak melahirkan Noah. Kalau dulu mahu bangun pagi pun susah tetapi sekarang segala-galanya perlu dipersiapkan dahulu untuknya.
"Paling tidak sekarang semuanya untuk Noah. Setiap pagi harus mempersiapkan dia terlebih dahulu untuk ke sekolah. Kemudian saya sambung kerja-kerja lain," jelas Bunga Citra Lestari atau lebih mesra disapa dengan panggilan BCL.
Bagi wanita ini, dia tidak pernah meminggirkan anak tunggalnya walau sibuk dengan tugasan lain. Soal menjaga anak dilakukan bersama-sama suaminya Ashraf Sinclair yang begitu teruja melihat Noah membesar.
Namun begitu ada beberapa perkara yang kurang disenangi oleh BCL sejak mereka mendirikan rumah tangga. Kata-kata kurang manis yang bertebaran selama ini benar-benar membuatkan dirinya terfikir apa salah mereka.
Paling terkesan apabila ada yang beranggapakan BCL dominan dalam rumah tangga. Dia dikatakan lebih banyak menentukan hala tuju dan membuat keputusan berbanding dengan Ashraf.
Menafikan sekeras-kerasnya perkara itu, BCL menegaskan dia sudah mendengar kata-kata tersebut sejak mula mengikat hubungan suami isteri lagi.
"Saya tak tahu mengapa orang sering menyasarkan rumah tangga kami dengan tohmahan begitu. Saya memang lebih dominan dalam beberapa hal tetapi Ashraf yang banyak membuat keputusan memandangkan dia ketua keluarga.
"Dalam beberapa perkara saya membuat keputusan yang saya fikir tidak perlu melibatkan suami. Jika ada soal yang memerlukan keputusan bersama barulah kami berbincang.
"Apa masalah menjadi lebih dominan? Ada apa yang kurang atau terlebih? Saya bukan queen control kepada sesiapa tetapi saya queen control kepada diri sendiri.
"Apabila melibatkan soal rumah tangga orang tidak tahu apa yang berlaku. Mana mungkin mereka tahu Ashraf lebih dominan berbanding dengan saya di rumah," katanya tertawa.
Enggan melayan kata-kata kurang enak yang dileparkan itu, BCL menegaskan mereka berdua lebih arif menentukan apa yang perlu dilakukan dan sebaliknya berbanding dengan orang luar.
Paling tidak mereka tahu peraturan yang diguna pakai di rumah dipersetujui bersama saat kali pertama sah bergelar suami isteri dulu termasuk soal menjaga anak dan mencari nafkah untuk keluarga.
Bagi BCL yang paling penting adalah toleransi dan bagaimana cara untuk menguruskan keluarga berbanding mendengar cakap-cakap orang luar yang sentiasa kurang senang dengan mereka.
"Untungnya saya bersuamikan lelaki yang benar-benar memahami siapa diri saya yang sebenar. Saya tak kekok untuk mengatakan yang sikap sebenar saya lebih lantang bersuara.
"Ashraf pula lebih santai dan boleh mengendalikan apa sahaja badai yang melanda rumah tangga kami. Itu sudah cukup untuk menutup mulut mereka yang bercakap buruk tentang rumah tangga saya," jelas BCL lagi.
Terbaru pasangan ini telah membuka restoran TGI Fridays di beberapa cawangan sekitar Jakarta, Indonesia.
KOMITED SENI
Tidak dinafikan BCL antara pelakon yang begitu komited setiap kali terlibat dengan filem. Berilah apa sahaja watak kepadanya, pasti akan dilunaskan sebaik mungkin untuk membuktikan kemampuannya.
Pernah membintangi beberapa buah filem seperti Cinta Pertama (2006), Kangen (2007), Ada Kamu, Aku Ada (2008), Saus Kacang (2008) dan terakhir Habibie & Ainun yang begitu meladak sekitar tahun lalu.
BCL membawakan watak Ainun yang merupakan isteri kepada bekas Presiden Indonesian, BJ Habibie dengan penuh tanggungjawab memandangkan itu merupakan filem berdasarkan kisah benar bergandingan bersama pelakon Reza Rahadian.
Filem Habibie & Ainun diangkat daripada buku yang ditulis oleh Habibie untuk mengenang Allayarhamah isterinya, Ainun Besari.
Mengikut sasaran BCL, filem tersebut berkemungkinan ditonton hanya 500,000 orang namun sasarannya meleset apabila lebih 4 juta penonton hadir ke panggung semata-mata mahu melihat dengan lebih dekat kisah yang terjadi antara Habibie dan Ainun di dalam filem.
"Sejak filem itu meledak di panggung memang saya berasa cukup dekat dengan watak Ainun. Segala tingkah laku, perbuatan dan apa sahaja pastinya seperti watak Ainun yang begitu baik.
"Sampai satu tahap orang memanggil saya dengan panggilan Ainun. Apabila ke pusat membeli belah atau keluar makan, kebanyakan peminat akan menjerit nama Ainun bukannya BCL lagi.
"Mungkin watak Ainun terlalu dekat di hati peminat sehingga mereka 'memaksa' saya menyanyikan lagu Cinta Sejati yang menjadi lagu tema filem berkenaan," kata BCL ketika ditemui di Jakarta baru-baru ini.
Rentetan itu, BCL membuat keputusan untuk memotong pendek rambutnya untuk mengikis sedikit demi sedikit aura Ainun yang sudah melekat dalam dirinya.
Baginya cukup jika peminat menghargai lakonannya di dalam filem berkenaan dan pada masa yang sama masih tidak melupakan imej dirinya yang sebenar.
Dalam pada itu BCL telahpun mengeluarkan album The Best Of BCL yang mengandungi 10 lagu lama dan 2 lagu baru berjudul Jangan Gila dan 3 Salahmu.
Baginya bidang nyanyian tidak akan ditinggalkan terus memandangkan bidang itlulah yang banyak menaikkan namanya.