Keith Foo Nafi Demand RM20,000


KEITH FOO menganggap dakwaan dirinya demand sebagai satu berita tidak benar.

BARU-BARU ini menerusi sebuah akhbar tempatan, pelakon yang namanya melonjak naik menerusi drama rantaian Ariana Rose, Keith Foo didakwa meminta RM20,000 untuk berlakon dalam telefilem terbitan dan arahan seorang penerbit drama yang cukup aktif, Shahrul Ezad.

Akhbar tersebut melaporkan, Shahrul berang apabila pelakon yang terlebih dahulu membina nama dalam pasaran filem Indonesia itu meminta bayaran yang tidak masuk akal.

Apa yang membuatkan penerbit itu lebih sakit hati apabila ada pula penerbit lain yang membalas kenyataan dan berkata mampu membayar Keith seperti yang diminta.




Artikel itu juga menyebut, selama tiga tahun Keith berlakon di Malaysia, dia seharusnya sudah cukup arif bagaimana industri penerbitan filem dan drama tempatan bergerak. Bajet untuk sebuah telefilem yang diterima penerbit untuk sesebuah karya mereka pula hanya RM120,000. Bajet tersebut hanya diberi oleh stesen televisyen RTM.

Stesen televisyen lain, sama ada swasta atau berbayar, hanya memperuntukkan bayaran untuk satu telefilem sebanyak RM80,000. Malah, harga paling tinggi untuk pelakon gred A memegang watak utama seperti Fasha Sandha tidak lebih RM12,000.

Justeru, tindakan Keith meminta bayaran sehingga RM20,000 disifatkan sebagai tidak wajar.

Kosmo! menghubungi pelakon yang berasal dari Negeri Sembilan itu bagi menjelaskan mengenai kontroversi dirinya sebagai sudah mula bersifat demand.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Keith.

Kosmo!: Adakah benar dakwaan bahawa Keith meminta bayaran sebanyak RM20,000 untuk berlakon dalam sebuah telefilem terbitan Shahrul Ezad?

KEITH: Tidak benar. Saya tidak pernah demand harga seperti itu. Siapa yang pernah bekerjasama dengan saya tahu sama ada saya jenis yang demand atau tidak.

Adakah anda terkejut mengenai kenyataan yang disiarkan pada hujung minggu lalu itu?

Saya tidak terkejut. Benda seperti ini akan terjadi kepada semua artis.

Sejujurnya, adakah anda mengenali dan pernah berjumpa dengan dia (Shahrul)?

Saya tidak mengenalinya dan tidak pernah berjumpa dengan dia.

Adakah anda pernah membuat dia berasa kecil hati?

Tidak.

Shahrul juga mendakwa ada penerbit yang sanggup membayar anda jumlah sebesar RM20,000 itu. Bolehkah anda memberi penjelasan?

Kalau boleh saya tidak mahu perkara ini diperbesar-besarkan. Saya bukan jenis orang yang suka cari kontroversi. Banyak penerbit yang ingin bekerjasama dengan saya. Mereka tahu siapa saya sebenarnya.

Adakah anda akan mengambil tindakan mengenai dakwaannya itu?

Saya tidak akan ambil tindakan. Dia (Shahrul) sendiri tahu perkara itu betul atau tidak.

Apabila perkara seperti ini ditimbulkan, adakah ia menjejaskan perjalanan karier anda yang baru ingin berkembang dengan baik di dalam industri?

(Tiada jawapan).

Apakah projek terbaharu anda dalam bidang lakonan?

Saya akan menjalani penggambaran filem Puteri Kelip-Kelip terbitan Grand Brilliance. Pada masa yang sama, saya juga terbabit dengan drama Kasih Berbisik gabungan tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Previous Post Next Post