KELUARGA besar Liyana turut tumpang gembira dengan bakal kelahiran dua cahaya mata sekali gus daripada pelakon itu dan kakaknya.
SUDAH menjadi suatu kebiasaan atau trend buat sebilangan pasangan artis menganjurkan majlis baby shower sempena menantikan kelahiran cahaya mata.
Bagaimanapun pelakon popular, Liyana Jasmay mengambil pendekatan yang agak berbeza apabila menganjurkan sebuah majlis doa selamat yang berlangsung di kediaman keluarganya di Kemensah Heights, Selangor.
Selain dihadiri saudara-mara terdekat, sahabat handai dan rakan-rakan media, turut kelihatan ialah pasangan Awal Ashaari dan isterinya, Scha Alyahya yang juga kini sedang sarat mengandung.
Liyana berkata, majlis doa selamat yang dianjurkan itu bukan sekadar meraikan dirinya seorang sahaja, malah turut dirai ialah kakaknya, Adriana yang sedang menunggu masa bersalin.
"Kalau diikutkan saya berkemungkinan besar akan melahirkan cahaya mata sulung pada bulan hadapan dan diikuti pula dengan kakak saya yang bakal bersalin pada Jun nanti.
"Jadi, kami telah sepakat untuk menganjurkan majlis ini bersama-sama dan pada kesempatan ini saya turut mengumumkan jantina anak saya," ujar isteri kepada Fathuddin Mazlan itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Sudah merancang untuk melahirkan cahaya mata di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pelakon berusia 26 itu mendedahkan bahawa melalui pemeriksaan yang dilakukan, dia dan suami bakal dikurniakan cahaya mata perempuan.
Biarpun kini dia dan Fathuddin sudah mengetahui jantina bakal anak yang akan dilahirkannya itu, Liyana menyatakan, setakat ini mereka masih belum lagi memilih nama anak.
"Setakat ini segala persiapan telah siap dilakukan sepenuhnya, termasuk menyediakan sebuah bilik khas untuk anak saya nanti.
"Kalau diikutkan, segala kelengkapan barangan bayi yang lain semuanya sudah dibeli dan kini saya cuma menghitung hari sahaja untuk bersalin. Tidak dinafikan saya memang berada dalam keadaan yang sangat teruja," luahnya dengan nada gembira.
Bercerita lebih lanjut tentang keadaan dirinya sepanjang proses kehamilan, pelakon itu menjelaskan bahawa keadaan kesihatannya cukup baik, kecuali pada peringkat awal kehamilan.
Ujarnya, dalam tempoh tiga bulan pertama dia mengalami alahan yang agak teruk tetapi selepas tempoh tersebut semuanya kembali seperti biasa hinggalah sekarang.
"Pada mulanya agak teruk juga alahan yang saya lalui, namun itu adalah situasi yang biasa dilalui oleh seseorang wanita hamil. Selepas alahan saya beransur pulih, saya kembali meneruskan kerja-kerja saya dalam bidang seni," jelasnya.
SUAMI Liyana, Fathuddin sentiasa menyokong dirinya dalam bidang seni walaupun selepas bergelar ibu.
Terus aktif
Memandangkan Liyana bakal bergelar seorang ibu tidak lama lagi, dia turut ditanya sama ada akan terus aktif dalam bidang lakonan atau menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga.
Jelas Liyana, biarpun sudah memiliki anak nanti, dia akan meneruskan kerjaya dalam bidang yang diceburinya itu dan yakin dapat membahagikan masa antara pekerjaan dan keluarga.
"Setelah tamat tempoh berpantang, saya akan kembali semula berlakon dan bakal menjalani penggambaran sebuah telemovie selepas Hari Raya Aidilfitri nanti serta terbabit dengan beberapa buah projek lain.
"Jadi, selepas mendapat cahaya mata saya akan meneruskan karier lakonan seperti biasa, cuma tidaklah terlalu kerap sangat berlakon. Lagipun projek yang membabitkan saya nanti kebanyakannya di bawah syarikat produksi saya sendiri iaitu Mermaid Studios," ujarnya.
Dalam pada itu, Liyana juga memberitahu, suaminya pula langsung tidak menghalang dirinya meneruskan kerjaya lakonan dan sentiasa memberikan sepenuh sokongan.
"Saya bersyukur kerana memiliki seorang suami yang cukup memahami diri saya sebagai seorang pelakon, malah saya berasa sangat gembira kerana tidak dihalang untuk melakukan pekerjaan yang saya suka.
"Berkenaan dengan tawaran berlakon pula, ia bergantung kepada skrip yang sesuai dan jalan cerita yang mampu membuatkan saya teruja. Selain itu, watak pula haruslah bersesuaian dengan status saya sebagai seorang ibu," jelasnya.
Semakin berkembang
Selain aktif dalam bidang lakonan, umum sudah mengetahui tentang Liya- na yang turut memiliki sebuah syarikat produksi, Mermaid Studios yang diusahakan bersama kakaknya, Adriana.
Cerita Liyana, dia bersyukur kerana syarikat produksi yang ditubuhkan bersama kakaknya itu sejak tahun 2010 kini semakin berkembang dan banyak menerbitkan program televisyen.
"Sudah tentu saya dan kakak sangat gembira kerana semakin mendapat kepercayaan daripada stesen-stesen televisyen dan sejujurnya ia bukanlah suatu usaha yang mudah.
"Bermula dengan sebuah produksi secara kecil-kecilan, kini semakin banyak projek yang diterima. Namun begitu, saya dan kakak tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan buat masa ini kerana masing-masing sedang hamil," ujarnya yang akan kembali fokus sepenuhnya terhadap syarikatnya itu selepas bersalin.
Mengenai perkembangan karier seninya pula, Liyana memberitahu, dia juga merancang untuk menghasilkan sebuah single baharu dan kini sedang mencari komposer yang sesuai untuk menghasilkan lagu buat dirinya.