Afiq memberitahu hubungan dengan ibunya Hasliza Mohd kembali jernih.
Pelakon Afiq Muiz memberitahu hubungan dia dengan ibunya, Hasliza Mohd kembali jernih selepas insiden pergaduhan anak-beranak apabila Hasliza mendakwa aktor itu berubah sikap dan melabelkannya sebagai anak durhaka.
Afiq, 21, berkata, dia insaf dan menyesal atas semua perbuatannya sebelum ini dan telah memohon ampun kepada ibunya selain kembali sedar wanita berkenaan banyak berkorban demi membesarkannya selama ini.
"Saya mengaku semua kesalahan saya sebelum ini terhadap ibu dan syukurlah hubungan kami kembali pulih. Saya telah memohon ampun kepadanya dan ibu memaafkan saya. Ibu menerima saya kembali.
"Alhamdulillah segala-galanya telah pun selesai dan saya berjanji tidak akan mengulangi semua kesilapan yang dilakukan sebelum ini," katanya.
Afiq ditemui pada majlis pelancaran wajah baharu mStar Online yang diadakan di Alexis The Gardens, Mid Valley, Bangsar di sini pada Khamis.
Afiq tidak mahu mengulangi kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini.
Dalam pada itu, Afiq berkata, dia kini kembali menetap bersama ibunya sejak Januari lalu dan mengakui kontroversi melandanya adalah satu pengajaran yang mematangkannya sebagai seorang lelaki.
Namun Afiq tidak menafikan kejadian itu telah menyebabkan dia dipandang serong oleh sesetengah pihak dan mereka sering menyindirnya dengan perkataan 'anak durhaka'.
"Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku kerana ia adalah pengajaran paling besar dalam hidup dan ia sekali gus mematangkan saya sebagai seorang lelaki.
"Sindiran sesetengah pihak tidak melemahkan semangat saya sebaliknya ia menyedarkan saya siapa sebenar kawan dan lawan selama ini," jelasnya.
Sementara itu, Afiq berkata, dia berhasrat untuk mengerjakan ibadah Umrah bersama ibunya pada Januari depan dan dia kini sedang mengumpul wang untuk tujuan tersebut.
Tambah Afiq lagi, bersempena Hari Ibu pada Mei ini, dia juga bercadang untuk meraikan wanita itu dengan menghabiskan masa bersama-sama.
"Ibu adalah girlfriend saya sekarang dan saya akan cuba membahagiakan dia. Saya juga ingin melupakan semua kisah lalu yang pernah berlaku diantara kami," ujarnya.
Pelakon berusia 21 tahun itu sempat meluangkan masa pada majlis pelancaran wajah baharu mStar Online.
Ditanya mengenai hubungannya dengan aktres Eina Azman, Afiq berkata; "Jangan kaitkan nama saya dengan dia lagi".
Dalam perkembangan lain, Afiq bersyukur disebalik kontroversi yang pernah melanda, rezekinya dalam bidang lakonan masih tidak putus.
Jelas Afiq, jadualnya padat dengan pelbagai penggambaran selain akan ke New Zealand untuk penggambaran sebuah drama di negara itu.
"Alhamdulillah masih banyak produksi percayakan bakat lakonan saya dan saya juga tidak memilih tawaran diberikan asalkan ia sesuai dengan saya," katanya yang bakal muncul dengan drama seperti Gerimis Salju Demi Ana dan Dingin Sahara.
Malah kata Afiq, kontraknya sebagai artis residen syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd yang tersekat sebelum ini telah disambung dan dia akan terlibat dengan beberapa projek bermula Jun ini.