'Kotarayaku' Bukti Cinta Altimet Dalam Bidang Muzik



Bertempat di SMK (L) Bukit Bintang, Petaling Jaya, Selangor, penyanyi Hip Hop terkenal, Altimet telah melancarkan album terbarunya yang berjudul 'Kotarayaku'. Menggunakan tema 'kembali ke sekolah', Altimet jelas teruja apabila pihak sekolah memberi kebenaran untuknya merealisasikan impian bagi mengimbau kembali nostalgia ketika di bangku sekolah.

"Alhamdulillah, hari ini saya telah melancarkan album terbaru saya di sekolah lama saya. Tema ini dipilih kerana ianya bersesuaian dengan konsep kulit album ini yang dibuat seperti buku latihan sekolah. Saya rasa bersyukur kerana penat lelah selama ini akhirnya membuahkan hasil. Di kesempatan ini juga saya memohon maaf kerana lambat melancarkan album ini kerana terlalu sibuk dengan projek lain," ujar Altimet ketika ditemui di majlis itu.




Bernaung di bawah label Kartel Records, 'Kotarayaku' memuatkan 11 buah lagu yang menampilkan kolaborasi hebat bersama beberapa nama besar dalam industri muzik seperti Noh Salleh, Salam Musik, Aman RA, Tomok, Awi Rafael, Imran Ajmain, Mirwana dan The Trisno Trio.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai kisah peribadinya yang jarang diketahui umum, Altimet menjelaskan dirinya lebih selesa membicarakan tentang muzik dan karier berbanding hal-hal lain yang dirasakan tidak berkaitan dalam bidang muzik.

“Saya lebih selesa peminat meminati saya kerana bakat dan muzik yang saya bawakan. Dari dulu lagi saya senang begini dan merasakan tidak semua benda perlu dikongsi. Artis juga manusia biasa yang memerlukan ruang untuk diri sendiri dan keluarga," tambah Altimet.

Sempena pelancaran album ini juga, satu showcase istimewa telah diadakan sejurus selepas pelancaran dengan dihadiri oleh peminat setia serta rakan artis. Dalam showcase ini, Altimet telah menyanyikan rangkaian lagu yang dipetik daripada album terbarunya seperti 'Syukur', 'Kotarayaku', 'Kalau aku Kaya', 'I Am', 'Kotarayaku II', 'Belantara Konkrit' dan banyak lagi.

Berikut ARTISMELETOP sertakan klip video untuk single terbaru Altimet yang berjudul 'Hello' dengan menampilkan duet bersama The Trisno Trio. Semoga terhibur!

Previous Post Next Post