Krisdayanti berhenti cari bahagia



KRISDAYANTI kini bersedia sepenuhnya untuk kembali mengambil hati peminat di Malaysia dan Indonesia yang lama ditinggalkannya sebaik bernikah dan mempunyai anak bersama Raul Lemos.

KEBAHAGIAAN selepas kesakitan itu nikmat. Nikmat itulah yang tidak habis-habis terungkap daripada bibir diva seberang, Krisdayanti pada satu pertemuan yang diaturkan sempena kunjungannya di Kuala Lumpur, hujung Mac lalu.

Merendahkan diri namun aura bintangnya masih terbalut indah, wanita yang dibahasakan KD itu mudah mengagak. Butiran hati tentang kisah masa lalunya masih didambakan. Sementelah kehadiran Krisdayanti itu menjadi detik pertama kemunculan di Malaysia usai 'tsunami' rumah tangga bersama Anang pada hujung 2009 dan pernikahan keduanya bersama Raul Lemos pada 2011.

Dalam tempoh itu KD bagai berumah di anjung gunung berapi. Bila-bila masa sahaja debu hitam yang melingkari atmosferanya bisa jadi racun.

Krisdayanti kelihatan cukup tenang. Persiapan berpentas di Malaysia kali ini ternyata disusun rapi. Ditemani beberapa kakitangan, lengkap dengan jurusolek serta penjaga kostum, Kris membuktikan keseriusannya untuk kembali bertamu di hati peminatnya yang telah lama ditinggalkan.

Kesediaannya mendepani segala persoalan juga cukup disenangi.

"Saya tidak setuju untuk terus terperuk daripada dunia seni. Ini karier saya," getus KD saat ditanya tentang keseriusan untuk kembali aktif dalam bidang muzik setelah kariernya mendap selama empat tahun kebelakangan ini.

Tambah KD lagi: "Saya tahu semuanya, bukan saya tidak ambil tahu apa yang orang katakan tentang saya."

Bicara Krisdayanti jauh melencong daripada tujuan asal kedatangannya. Tahun ini, Krisdayanti diundang menjadi penghibur utama untuk makan tengah hari eksklusif sempena sambutan Minggu Setiausaha anjuran Perbadanan Putrajaya.

Dia tahu, masih ada khalayak yang terus-menerus membenci dirinya. Dia cukup sedar setiap kecaman yang diterima selama ini berpunca daripada kesilapan dan dosa sendiri. Namun sebagai manusia yang masih mempunyai Tuhan, Krisdayanti yakin, Tuhan sentiasa mendengar setiap doanya.


KRISDAYANTI (tiga dari kiri) bersama Noryn Aziz (kiri sekali) dan Awi Rafael (dua dari kanan) ketika melancarkan program Minggu Setiausaha di Putrajaya baru-baru ini.

Suami, anak ubat mujarab

"Saya seperti lahir semula sebagaimana 10 tahun lalu. Saya tidak bisa mengelak daripada penghakiman orang lain. Ubat paling mujarab bagi saya ialah suami dan anak-anak. Ketika saya mundur diri, ketika saya dibenci, orang menganggap saya bersedih tetapi sebenarnya saya tidak sempat untuk merasa sedih."

"Saya berkahwin, menjaga suami, saya hamil, bersalin, hamil lagi dan bersalin lagi. Menjaga anak-anak yang masih kecil ternyata banyak cabaran tapi besar bahagianya," ulas Krisdayanti yang kini sudah mengembalikan tautan kasih bersama dua zuriatnya bersama Anang, Aurel, 15, dan Azriel, 13.

Di sisi Raul, Krisdayanti mempunyai dua cahaya mata iaitu Ariannha Amora Lemos, 3, dan Kellen Alexander Lemos, 1.

"Saya mulai faham tentang takdir. Takdir bahawa saya akan bernikah dengan Raul dan takdir bahawa saya akan punyai dua orang anak lagi, Amora dan Kellen. Cuma cara dan bagaimana mereka lahir itu yang sedang saya tempuhi sekarang," katanya mengakui menjadi wanita yang berbeza dan bertambah matang selepas kelahiran Kellen.

"Tidak pernah ada sekatan untuk menjadi matang, walaupun sudah berumur 40 tahun juga kita masih bisa beroleh kematangan," tambahnya.

Kehidupan lama penyanyi berumur 39 tahun itu sudah dihafal ramai orang. Bermula dengan kisah perceraiannya dengan komposer Anang akibat ditikam gosip kecurangan. Dia kemudian bercinta dengan Raul yang masih berstatus suami. KD sekali lagi dicerca setelah mengakui hamil benih Raul tatkala mereka masih tiada ikatan.




"Tuhan sahaja yang tahu betapa hebatnya kecaman yang saya terima. Bukan hanya saya, Raul juga berdepan tekanan dan ketakutan. Kalau bukan kerana pengalaman selama 20 tahun dalam bidang seni, saya mungkin tidak sekuat hari ini. Semasa tempoh itu, kami saling 'berpeluk' untuk sama-sama meneruskan hari-hari. Saya yang harus lebih tenang dan memastikan Raul lebih rileks dengan tumpuan luar biasa daripada pihak media," ceritanya tentang zaman gelap yang dilalui.

Krisdayanti bersyukur kerana selama berdiam menguruskan keluarga, dia juga memperoleh keyakinan daripada Raul tentang kesediaannya untuk kembali aktif dalam nyanyian.

"Raul sudah melihat kesungguhan saya meneladani semua ini. Di matanya saya lulus sebagai pendamping, ibu dan isteri. Lantas dia juga sudah tidak teragak-agak melepaskan saya untuk bekerja semula. Mulanya Raul bimbang dunia hiburan akan merampas orang yang dicintainya. Dia takut saya akan meninggalkan keluarga," ujar Krisdayanti yang dihadiahkan Raul sebuah syarikat atas jenama Raya Music.

Bersandarkan syarikat itu juga, Krisdayanti mempunyai matlamat untuk meneruskan karier dan sama-sama menjadi penggerak industri muzik di Indonesia.

"Realiti menjadi sekolah buat saya. Sampai ke saat ini, saya sedar untuk berhenti mengejar kebahagiaan kerana kebahagiaan itu sudah datang kepada saya," katanya melewati terlalu banyak suka-duka selama memulakan karier seni sejak berusia 12 tahun.


KULIT album kompilasi Krisdayanti yang mengandungi single terbaharunya, baharu Bertubi Tubi ciptaan Melly Goeslaw.

Bahagia bertubi-tubi

Bercakap tentang undangan untuk mengadakan Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 17 April nanti, Krisdayanti yang kini bernaung bawah Warner Music turut diserikan oleh Awi Rafael sebagai penyanyi undangan.

Ini merupakan kunjungan secara 'rasmi' penyanyi ini setelah kembali aktif selepas melahirkan anak keempat tahun lalu.

Kesempatan ini tidak harus dipersia-siakan memandangkan Malaysia sudah dianggap sebagai rumah kedua sejak lagu Menghitung Hari memuncakkan namanya di hati peminat Malaysia kira-kira 14 tahun yang lalu.

Pada persembahan itu nanti KD bakal mendendangkan lebih 12 buah lagu termasuk sebuah lagu baharu berjudul Bertubi-Tubi ciptaan Melly Goeslow yang menceritakan tentang jatuh bangun dirinya selama ini.

"Lagu Bertubi-tubi itu terlalu dekat dengan saya. Ketika saya jatuh, bertubi-tubi saya hina dan dicerca, namun pada masa yang sama, bahagia yang datang juga juga bertubi-tubi.

"Anak-anak saya, Aurel dan Ariel kini sudah remaja, mereka makin faham dan saya sudah tidak berasa kehilangan mereka sebagaimana mula-mula dahulu. Anang dan isterinya Ashanti sedang bahagia, saya juga mempunyai suami yang sama-sama menutupi kekurangan saya, anak-anak yang sedang membesar serta karier yang sedang diteruskan," ungkap Krisdayanti lembut.

Krisdayanti juga bakal melancarkan album kompilasinya yang berjudul Persembahan Ratu Cinta, kata Krisdayanti dia tidak berasa ralat menjadi penyanyi yang baru kali pertama menerbitkan sebuah album kompilasi.

Persembahan Minggu Setiausaha @ PICC juga akan menampilkan Afgan dan Noryn Aziz sehari sebelum Krisdayanti dan Awi. Tiket untuk menyaksikan Minggu Setiausaha @ PICC dijual pada harga serendah RM5,880 hingga RM8,880 untuk sebuah meja yang memuatkan 10 tetamu.
Previous Post Next Post