Hafiz dan Adira Dahulu berkasih sekarang berkawan



LAGU Ombak Rindu nyanyian Hafiz dan Adira ternyata memberi penangan sebagaimana sambutan peminat terhadap keunggulan naskhah filem Ombak Rindu.

HAFIZ SUIP dan Adira pernah melewati saat manis bersama. Sama-sama lahir dari kampus Akademi Fantasia, populariti serta pesona kedua-dua bintang muda itu bersulam kontroversi apabila terjebak cinta sesama artis.

Fenomena filem Ombak Rindu yang membiakkan demam lagu duet dengan judul yang sama juga menjadikan Hafiz dan Adira pasangan paling ideal. Namun cinta segera yang hadir atas dasar tanpa komitmen itu pantas berakhir.

Biarpun Ombak Rindu Hafiz dan Adira dilanda tsunami, namun penangan lagu ciptaan Nurzaidi Abd. Rahman itu terus menjadi penyambung kepada ikatan cinta mereka. Pasangan itu tetap menjadi rakan duet, diundang sebagai kekasih dalam lagu dan mampu berkongsi pentas tanpa canggung.

Setelah dua tahun kisah cinta tidak kesampaian itu dilupakan, keintiman Hafiz dan Adira dikatakan kembali bersemi. Desas-desus bahawa Adira sudah memutuskan cinta bersama kekasihnya menguatkan spekulasi percintaan Adira dan Hafiz.

Perkara itu dinafikan, namun pertemuan bersama Adira dan Hafiz yang bakal disatukan dalam persembahan Minggu Setiausaha di Dewan Megah Matrade Hall, Matrade Exhibition & Convention, Kuala Lumpur menerbitkan peluang untuk kisah itu diulas semula.

Dalam suasana tenang dan damai, Hafiz dan Adira tidak kekok untuk bercerita. Persahabatan daripada percintaan yang terkandas itu nampaknya lebih memberi keserasian buat mereka berdua.

Ketika mereka sedang fokus kepada persembahan yang dijadualkan pada 22 April nanti, Hafiz dan Adira sekali lagi mengukuhkan kenyataan. Benar mereka rapat tetapi hubungan itu hanyalah persahabatan sesama artis sementelah masing-masing sudah mempunyai kekasih hati.

Seiring dengan tema persembahan mereka, A Golden Moment With Hafiz, momen kemesraan Hafiz dan Adira terakam istimewa di Sembunyi Spa, Cyberview Resort & Spa di Cyberjaya.


PASANGAN ini mengakui bahawa hubungan mereka hanyalah persahabatan sesama artis sementelah masing-masing sudah mempunyai kekasih hati.

Bagaimana kalian meneruskan perhubungan kini?

HAFIZ SUIP (H): Sehingga kini kami masih rapat. Saya akui memang kami pernah ada cerita lama tetapi saya sentiasa berpegang kepada prinsip kerja biarlah profesional. Apabila berjumpa kami tidak pernah mengungkit kisah silam. Saya sejujurnya tidak gemar mencampurkan urusan kerja dengan kisah cinta kerana kami berdua bekerja dalam satu bumbung yang sama.

ADIRA SUHAIMI (A): Kami mempunyai lagu duet popular, Ombak Rindu. Disebabkan itu, kami selalu mendapat undangan menyanyi bersama. Sebenarnya kami berdua tiada sebarang masalah untuk bekerjasama kerana kami menyanyi atas dasar kerja. Malah, jika mahu bercakap soal peribadi perkara itu sudah lama berlalu dan Hafiz banyak membantu dalam memberikan tunjuk ajar bagaimana hendak menyanyi dengan baik.

Bagaimana penerimaan kekasih baharu apabila melihat kalian sering digandingkan dalam sebuah persembahan?

H: Dia sangat terbuka dan memahami segala aktiviti kerja saya yang padat. Bagi saya dalam perhubungan ini perlu mempunyai sikap percaya antara satu sama lain barulah hubungan itu akan berkekalan.

A: Dia seorang teman lelaki yang begitu memahami kerjaya saya. Lagipun dia juga terlibat dengan beberapa aktiviti seni tanah air. Walaupun dia tidak pernah meletakkan syarat itu ini tetapi sebagai wanita saya dididik agar tidak keterlaluan kerana ada perasaan yang harus dijaga.

Sewaktu penghasilan lagu Ombak Rindu kalian sedang hangat bercinta. Tetapi kini masing-masing sudah mempunyai pasangan hati. Adakah penghayatan lagu yang dibawakan itu sudah berbeza?

H: Tidak. Meskipun lagu itu dicipta sewaktu kami bercinta tetapi sehingga kini lagu yang kami dinyanyikan itu masih ramai yang menyukainya. Ini jelas membuktikan bahawa lagu yang kami bawakan ini masih ada penghayatan yang sama.

A: Sama macam Hafiz. Jawapannya tidak. Sejak lagu ini dihasilkan saya akan memberi sepenuh penghayatan terhadap lirik yang dihasilkan. Sehingga kini tiada apa yang berbeza dari segi penghayatan ketikamenyanyikan lagu itu. Saya lebih memfokuskan kepada lirik dan melodi sewaktu membuat persembahan.

Bagaimana hubungan kalian selepas putus cinta?

H: Hubungan kami baik-baik sahaja. Dunia hiburan tempatan ini kecil. Kalau bermusuh pun tidak ke mana kerana kami pasti bertemu.

A: Kami hanya berkawan. Rasanya kami lebih selesa begini kerana banyak ilmu yang saya timba daripada Hafiz. Dia seorang penyanyi yang berbakat besar rugi rasanya jika saya tidak mempelajari rahsia kejayaannya.


HAFIZ dan Adira bakal disatukan dalam persembahan Minggu Setiausaha pada 22 April ini.

Ceritakan persiapan kalian menjelang sambutan Minggu Setiausaha pada 22 April ini?

H: Sejujurnya saya berasa gementar kerana ini merupakan kali pertama saya terlibat dengan persembahan sempena Minggu Setiausaha. Saya akui masih baharu dalam industri ini dan banyak perkara yang harus saya belajar. Saya kini sedang mencari idea supaya majlis tersebut akan menjadi sebuah acara yang akan terus diingati oleh penonton yang hadir.

A: Setakat ini saya sedang membuat persediaan dari segi mental dan fizikal. Sebanyak empat buah lagu akan dinyanyikan termasuk dua buah lagu duet bersama Hafiz. Berkemungkinan lagu tersebut ialah Ombak Rindu dan Salahkah yang dinyanyikan oleh Rossa. Ini merupakan cabaran yang besar untuk saya kerana lagu itu dinyanyikan oleh seorang penyanyi yang hebat dan terkenal. Saya berharap pada majlis itu nanti semuanya akan berjalan dengan lancar.
Previous Post Next Post