Lagu untuk #MH370



DARI kiri: Encik Mimpi, Aepul Drama Band, Ronnie HyperAct dan Nomad bergabung suara dalam lagu berjudul Hikmah Atas Segalanya.

SELURUH rakyat Malaysia masih meletakkan harapan agar kehilangan penerbangan MH370 milik syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu berjaya ditemui.

Dalam kesedihan mengenangkan nasib yang menimpa penumpang dan ahli keluarga, apa yang hanya mampu dititipkan ialah doa dan harapan.

Bagi penggiat seni hiburan, mereka juga memiliki cara tersendiri untuk melahirkan rasa sedih dan simpati dengan tragedi yang berlaku lebih sebulan lalu.

Seperti pelantun lagu Rindukanlah, Encik Mimpi, perasaan yang menyelubungi diri masyarakat di negara ini diterjemah menerusi penghasilan sebuah lagu khas yang ditujukan untuk insiden MH370.

Naskhah yang diberi judul Hikmah Atas Segalanya itu turut dialunkan dengan gabungan tiga suara lain iaitu, Nomad, Aepul Drama Band dan Ronnie HyperAct.




Menyentuh mengenai karya asal berkenaan, ujar penyanyi berumur 26 tahun itu, lagu tersebut sebenarnya dihasilkan beberapa tahun yang lalu.

"Melodi lagu itu saya hasilkan pada 2011 lagi. Cuma liriknya belum ada. Jadi, apabila kebetulan berlaku insiden MH370 itu, saya terus buat liriknya pula," jelas penyanyi yang memperkenalkan dirinya sebagai Encik Mimpi.

Bermula daripada situ, dia kemudian memuat naik lagu tersebut ke laman sosial YouTube kira-kira tiga minggu yang lalu.

Bagaimanapun, ujarnya, idea untuk berkolaborasi dengan tiga penyanyi lain itu tercetus selepas dia memaklumkan kepada pihak pengurusannya, Indigital Sdn. Bhd. mengenai sambutan awal yang diterima di laman sosial.

"Mereka (pihak pengurusan) kemudian mencadangkan kepada saya untuk menyanyi bersama tiga rakan artis yang dicadangkannya iaitu Nomad, Aepul dan Ronnie," katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan penampilan muka bertopeng itu memberitahu, secara dasarnya, lagu tersebut lebih bersifat umum kerana berkonsepkan lagu ketuhanan.

"Lagu ini memang khas ditujukan untuk MH370, tetapi kalau kita hayati lirik lagunya, ia boleh dimainkan pada bila-bila masa.

"Ia berkisahkan pengharapan, pengorbanan dan kasih sayang yang banyak berkait rapat dengan isu-isu lain seperti pergolakan di Palestin," ujarnya yang memberitahu, lagu tersebut berentak pop balada.

Dalam pada itu, kata Encik Mimpi, penghasilan naskhah tersebut juga secara tidak langsung merupakan sebahagian daripada tanda keprihatinan yang mampu dilakukannya sebagai rakyat Malaysia.

"Jika ingin memberikan bantuan dari segi fizikal untuk pergi mencari ke laut sana memang tidak mampu. Jadi, sebagai penyanyi, ini sahaja yang mampu saya sumbangkan menerusi lagu.

"Sekurang-kurangnya ia menjadi tanda peringatan dan kenangan buat kita semua yang masih lagi bersedih dengan apa yang berlaku," tuturnya yang memberitahu lagu tersebut berdurasi kira-kira empat minit.

Sebelum ini, komposer terkenal LY dan Baiduri antara individu terawal yang mengambil inisiatif untuk menciptakan sebuah lagu khas yang didedikasikan buat insiden kehilangan pesawat MH370.

Lagu berjudul Singkapkan Doa Kami itu dinyanyikan oleh bintang Akademi Fantasia 6, Riz Zaizizi.

Selain itu, penyanyi Awi Rafael juga ada menghasilkan sebuah lagu berjudul Jangan Takut yang mengisahkan tentang kesedihan dan pengharapan agar segala dugaan yang mendatang dapat dihadapi dengan tabah.

ARTISMELETOP: Dah kenapa pakai topeng ni dah zaman 2014 bukannya zaman 2012. Siapa tahu identiti Encik Mimpi sila email kan kepada kami ayul@ymail.com
Previous Post Next Post