ABU HASSAN (dua dari kanan) bersama Naib Canselor UMK, Datuk Dr. Raduan Che Rose (dua dari kiri), Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Mat Piah dan Pengarah Pembangunan Industri Finas, Zulkifli Ab. Wahab pada majlis Pelancaran Monsun Produksi dan Monsun Band FTKW di Finas, baru-baru ini.
TEKA-TEKI siapa yang bakal menduduki 'kerusi panas' di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi menggantikan Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah yang bakal bersara sebagai Ketua Pengarah (KP) penghujung Mei nanti, terus menjadi tanda tanya.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia dipercayai tidak akan menyambung kontrak Raja Rozaimie bagi memberi peluang kepada muka baharu.
Beberapa minggu lalu, nama-nama seperti Prof. Dr. Azad Khan dan Prof. Dr. Abu Hassan Hasbullah disebut-sebut sebagai pengganti Raja Rozaimie.
Selain itu, Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal Finas sendiri, Dr. Megat Al Imran dan Dekan Fakulti Filem Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara, Prof. Madya A. Razak Mohaideen turut dicadangkan bakal mengambil alih jawatan tersebut.
Raja Rozaimie telah berkhidmat di Finas sejak 1 Januari 2013 menggantikan Mohd. Naguib Razak yang tamat kontrak pada 31 Disember 2012. Sebelum itu, Rozaimie bertanggungjawab menerajui operasi Filem Negara yang kini kedua-dua agensi itu digabungkan.
"Tawaran itu memang ada tetapi saya kata tak mungkin. Finas tak perlukan orang akademik sebagai KP sebaliknya Finas memerlukan pertolongan orang akademik sebagai penasihat khas. Perlu ada orang akademik sebagai penasihat kerana mereka yang buat kajian berterusan," jelas Abu Hassan yang juga Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (FTKW).
Menolak dakwaan bahawa Finas gagal menggerakkan operasi seperti yang dituntut oleh industri, Abu Hassan menyifatkan masalah Finas bermula apabila orang industri dilantik memegang pucuk pimpinan.
"Finas masih berada di tahap orang kata begitu-begini. Finas bukan tak bergerak. Logiknya, masalah Finas berlaku kerana melantik orang industri sebagai KP (sebelum Raja Rozaimie).
"Finas perlu dikembalikan kepada orang dalam institusi itu sendiri, orang yang telah kenal industri itu agak lama. Finas sendiri sudah ada tokoh yang perlu diangkat dan diberi peluang," ujar Abu menggesa agar Finas segera menjadi badan induk kepada seluruh karyawan.
"Filem tempatan tidak hanya digerakkan oleh golongan industri sebaliknya daripada penggiat filem atau karyawan individual yang bertaburan di luar sana. Mereka juga perlu diberi perhatian," tegasnya yang ditemui pada majlis pelancaran syarikat Monsun Produksi dan pelancaran kumpulan Monsun yang digerakkan pelajar-pelajar UMK di Finas, minggu lalu.
Sejajar dengan misinya mendekatkan jurang golongan akademi dengan industri, Abu Hassan menjelaskan, aktiviti merayakan karya universiti di Finas sangat penting untuk membina jaringan golongan akademik dengan pengurusan dan industri filem.
"Saya rasa semua sarjana filem dan pensyarah filem di seluruh negara ada tanggungjawab untuk membantu Finas tetapi mereka merasa jauh, sentimen pemilikan bersama itu kurang," katanya.
Ditanya mengenai situasi penjualan tiket filem tempatan yang merudum serta kejayaan besar yang diraih oleh filem The Journey, Abu Hassan menyifatkan kejayaan The Journey bukan penanda aras filem tempatan.
"Filem ini persaingannya luar biasa, kalau kita boleh hasilkan filem sehebat Frozen, kita juga tidak boleh berbangga dengan dengan The Journey kerana itu bukan kejayaan industri sebaliknya kejayaan peribadi.
"Masyarakat kita sudah letih dan menjadi nyanyuk dengan filem-filem tempatan yang tidak mencapai standard pemikiran sebuah filem negara maju.
"Masyarakat perlukan energi baharu dan energi itu yang ditawarkan oleh The Journey yang menawarkan sebuah cerita tanpa lara," katanya.