Lia Natalia impi watak cacat



LIA mahu kehadirannya dalam industri hiburan dikenali atas dasar bakat yang dimilikinya.

DIA bak sebidang kain putih yang sudah dilakar, namun masih tidak berwarna. Mungkin itu analogi diri yang boleh dikaitkan dengan si empunya nama, Lia Natalia.

Lakaran karier seninya masih boleh dianggap belum ada warna walaupun sudah menceburkan diri dalam bidang lakonan sejak empat tahun lalu.

Sungguhpun namanya bukan yang sering meniti di bibir peminat industri hiburan tanah air, anak kelahiran Tawau, Sabah itu masih ada sisi yang boleh dibanggakannya.

Melihat sahaja kepada jumlah angka kelibatnya di kaca televisyen, dia sudah ada deretan naskhah tertulis kemas dalam porfolionya. Bukan satu, bukan dua, tapi lebih daripada itu. Cuma bintangnya tidak begitu terang berbanding pelakon lain yang sezaman dengannya.

Katanya, biar malap, yang penting masih ada cahaya, bukan terus terpadam.




"Saya sebenarnya banyak berlakon dalam drama dan ditawarkan watak pembantu. Saya akui saya tidak popular seperti artis lain. Syukurlah, rezeki itu sentiasa ada.

"Lagipun, sasaran saya dalam industri bukan kejar populariti tetapi saya berlakon atas dasar minat dan bakat yang ingin saya ketengahkan," tutur Lia yang merupakan bekas peserta Pilih Kasih musim kedua.

Berkongsi kisah diri, kata Lia, dia sendiri sedar perjalanannya untuk bergelar anak seni bukan mudah. Ada ranjau yang perlu ditempuhinya. Apatah lagi mengenangkan usianya yang masih hijau, banyak yang perlu dipelajarinya.

"Saya bergerak sendiri. Tak ada orang yang uruskan. Kalau ingin dikenangkan waktu awal-awal dahulu, saya sendiri pernah kena tipu apabila produksi tak bayar gaji.

"Tapi, itu semua jadi pengalaman yang banyak mengajar saya untuk terus dalam industri ini," tutur si pemilik nama sebenar Alia Afiqah Abden itu.

Biarpun begitu, pelakon berusia 22 tahun itu merasakan timbangan rezekinya semakin berisi pada tahun ini.

"Banyak juga tayangan drama lakonan saya ditayangkan dalam jangka masa yang serentak.

"Contohnya sekarang ini, drama yang sedang dimainkan ialah Perempuan Dalam Pasungan dan Aku Isterinya," kongsi pelakon filem yang terlibat dalam filem Azura itu.

Bercerita mengenai watak lakonannya, ujar Lia, dia kerap ditawarkan watak-watak yang mempamerkan sisi baik.

"Selalunya saya pegang watak perempuan yang sopan santun dan lemah lembut. Karakter wanita baik seperti watak ustazah.

"Tetapi, sebenarnya karakter saya jauh berbeza. Di luar tabir, saya seorang kasar," ceritanya.

Tambah Lia, apa pun watak yang diberikan, dia akan menerimanya jika difikirkan bersesuaian dan mampu dilakukan.

"Apa yang penting, saya pastikan setiap watak itu dijayakan dengan terbaik agar mesej yang nak diberikan itu sampai," katanya.

Kongsi Lia lagi, dia sendiri pernah mengalami kecederaan sewaktu ingin melakonkan sesuatu babak yang melibatkan aksi kekerasan.

"Pernah sekali tengkuk saya lebam semasa melakonkan adegan dipukul dalam drama Perempuan Dalam Pasungan.

"Itu belum lagi watak ditampar. Memang betul-betul saya ditampar. Tapi saya tak kisah, saya anggap itu satu cabaran. Bagi saya apabila buat secara betul lakonan nampak lebih semula jadi. Setakat ini tidaklah sampai saya sakit teruk kerana berlakon," ujarnya.

Kongsi pelakon drama Jin dan Sudin itu juga, jika diberi peluang, dia mengimpikan untuk memegang watak sebagai wanita cacat.

"Mungkin kalau ada rezeki saya teringin nak bawa watak yang lebih mencabar seperti menjadi orang cacat.

"Bagi saya, bukan mudah untuk membawakan watak seperti itu sebab secara fizikal kita tidak seperti mereka. Jadi untuk menghayati watak itu pasti sukar.

"Perkara yang mencabar itulah yang saya ingin lakukan untuk tengok dan nilai kemampuan diri," tutup pelakon yang pernah membintangi drama Kitab Cinta itu.
Previous Post Next Post