BIARPUN kerjayanya bermula selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia, namun, selepas kontroversi demi kontroversi meletakkan nama Marsha Milan sebagai antara artis yang memiliki kelas tersendiri, baik dalam lakonan atau nyanyian.
Terpilih untuk menjayakan filem animasi popular, Frozen merupakan antara pencapaian terbesar wanita dari Tamparuli, Sabah ini.
Malah sehingga kini, lagu dendangannya, Bebaskan yang dialih bahasa menerusi lagu tema filem tersebut, Let It Go, mendapat sambutan yang sangat baik.
Turut muncul bersama muzik video yang dilancarkan sejak dua minggu lalu, Marsha berkata, sehingga kini dia masih terlibat menjayakan promosi lagu tersebut.
“Lagu ini mempunyai 25 versi bahasa dari seluruh dunia. Siri promosi ini melibatkan ramai artis yang terlibat. Malah video klip lagu ini juga berjaya menduduki tempat 10 teratas dalam carta di seluruh dunia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Marsha turut terlibat sama dalam projek khas single terbaharu bersama Caprice berjudul Langit Biru di samping penyanyi Atilia.
Malah pada Mei depan, Marsha bakal melancarkan duet bersama Zarul Umbrella. Berpadu suara menerusi lagu Satu Rasa.
Beralih mengenai lakonannya, kali ini Masrha tampil sisi berbeza menerusi watak sebagai Cikgu Sally. Menurut Marsha, telemovie arahan Jack Ad-Din itu bakal ditayangkan sempena Hari Guru nanti.
“Sayateruja sebab ni pertama kali membawa watak sebegini.
“Ia memberi pengalaman baharu kepada saya. Saya melihat sendiri betapa besar menggalas tugas seorang guru,” katanya.
Pilih lelaki Melayu
Tinggalkan mengenai karier seninya, Marsha kini lebih terbuka untuk berkongsi cerita peribadi. Sebelum ini, Marsha mengakui bercinta dengan jejaka Melayu berusia dua tahun lebih muda daripadanya dan mengenali lelaki itu lebih kurang tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun atas pengalaman lalu, dia tidak mahu mendedahkan identiti kekasihnya sehingga hubungan mereka melangkah ke fasa perkahwinan.
"Kalau dah tiba masanya, saya akan perkenalkan dia kepada semua. Tapi buat masa ini, kami masih mengenali hati budi. Kalau ada jodoh, mungkin kami akan kahwin," katanya.
Enggan bercerita panjang mengenai kisah peribadinya, Marsha mendedahkan dia kini dalam perancangan memulakan bidang perniagaan pula.
“Saya sedang berkecimpung dalam bidang perniagaan. Ia lebih kepada penjenamaan saya sendiri iaitu MarshaMilan Fashion akan dikeluarkan tak lama lagi.
“Pakaian itu akan menampilkan variasi fesyen yang menarik dan terkini. Sudah tentu ia juga fesyen yang selalu saya gayakan dan menjadi trend kepada golongan muda,” katanya.