Ziana Zain 'Bercintalah Selepas Kahwin!'



DENGAN vokal mantap yang tidak boleh disangkal dan memiliki ‘kelas’ yang tersendiri, sememangnya Ziana Zain seorang diva sebenar dalam dunia nyanyian.

Apatah lagi penyanyi bersuara lantang ini jarang dipalit kontroversi dan nyata berdiri di atas bakatnya sendiri untuk bertahan dalam arena seni sehingga kini.

Walau fenomena penceraian di kemuncak kerjaya sering mengancam rumahtangga selebriti terkenal, namun Ziana berjaya mempertahankan perkahwinannya yang menginjak ke usia 16 tahun, malah semakin bahagia bersama suami dan anak-anaknya.




Ketika ditanya mengenai reaksinya tentang Engku Emran yang kelihatan cuba untuk memikat semula rakan artis lamanya, Erra Fazira, Ziana cuma mengangguk dan sempat berkongsi tentang rahsia kebahagiaan perkahwinannya dengan suami tercinta, Amrin Zaharin.

“Saya kenal abang Amrin sebagai kawan, bukan sebagai teman lelaki. Kami bercinta dan mengenali hati budi masing-masing selepas kahwin. Saya tak tahu orang lain, tapi bagi saya bercinta selepas berkahwin InsyaALLAH bahagia dan berkekalan.

"Tempoh tiga hingga lima tahun memang waktu yang mencabar dalam perkahwinan, tapi masa akan mematangkan kita. Kuncinya, iman kena kuat, kena banyak sabar dan kawal diri sebab kita pun tak sentiasa betul,” jelas Ziana.\

Mengulas tentang cinta selepas kahwin yang menurutnya menjadi kunci sesebuah perkahwinan itu bahagia dan berkekalan, Ziana yakin rasa sayang dan hormat pasangan suami isteri lebih kuat jika melayari alam rumahtangga dengan cara itu.

“Kalau bercinta lepas kahwin, masa tu baharu dia kenal siapa kita, baharu tahu tentang diri kita. Kalau pasangan kekasih, awal-awal lagi dia dah tahu jadi kuranglah benda yang istimewa tu.

“Rasa hormat makin tinggi bila kita bercinta lepas kahwin dan kita sentiasa ada benda baharu untuk ambil tahu berkenaan pasangan kita,” katanya.

Rakan beri amaran

Dalam pertemuan di The Royale Chulan Damansara Isnin lalu, Ziana mengimbas kembali tentang ‘amaran’ yang diberi oleh rakan sekerja ketika dia mahu mengahwini Amrin dahulu.

“Ada kawan tanya betul ke saya nak kahwin dengan Amrin Zaharin. Dia kata saya masih belum terlambat untuk tukar fikiran sebab abang Amrin tu garang!

“Tapi Alhamdulillah, saya yakin dengan pilihan saya. Sampai sekarang saya bahagia dengan abang Amrin walaupun rakan sekerja kami ramai kata dia panas baran!” ujar Ziana sambil ketawa.

Ziana juga sempat bercerita tentang peribadinya yang disifatkan jauh panggang dari api dengan Amrin.

“Saya banyak cakap, abang Amrin pula pendiam. Tapi perbezaan tu yang jadikan rumahtangga kami ceria dan menerima satu sama lain seadanya.

“Cara kami dibesarkan pun berbeza, saya membesar dalam keluarga yang rapat dan united, abang Amrin pula dibesarkan oleh neneknya. Jadi cara kami mendidik anak pun ada kelainan sebab saya lebih cepat risau fasal anak tapi abang Amrin lebih ajar anak untuk berani dan berdikari,” katanya.

Turut diadakan kejutan sambutan awal hari lahir Ziana Zain dalam majlis sidang media Konsert I Am Ziana Zain di The Royale Chulan Damansara, kelmarin. Terharu dengan kejutan tersebut, duta Safi Rania Diamond yang menginjak ke usia 46 tahun pada 2 Mei depan ini berkongsi rahsia kecantikan dan awet muda yang dimilikinya.

“Saya tak pernah rasa diri saya cantik. Ada orang kata saya macam Jeniffer Lopez (JLO), tapi saya tak rasa macam tu sebab ada ramai orang lagi cantik.

“Saya memang dah tak suntik kolagen pada wajah. Selain pakai Safi Rania Diamond, saya amalkan pemakanan sihat dan buat senaman fizikal. Saya memang ada personal trainer untuk bantu kekalkan bentuk badan dan kecergasan, " katanya.

Ziana menyatakan rasa syukurnya dengan anugerah kecantikan yang dikurniakan oleh ALLAH dan cuba sedaya upaya untuk menjaga dan mengekalkannya.

“Saya amalkan detox untuk nyahkan toksin dalam badan. Setiap pagi saya akan detox hati dan sistem perkumuhan saya.

Bagi saya kesihatan dalaman yang akan serlahkan kecantikan luaran kita,” jelas Ziana yang amat menitikberatkan soal penjagaan dirinya.

Akui vokal ketika berusia 40-an tidak sehebat zaman awal kemunculannya, Ziana turut mempunyai jurulatih vokal bagi memastikan mutu nyanyiannya masih di tahap berkualiti dan memuaskan.

“Saya masih boleh menyanyi dengan nada tinggi, tapi sudah tentu tak sama macam zaman muda-mudI dulu. Bagi saya, susunan muzik yang bagus boleh selarikan kemampuan vokal seseorang artis itu dalam menyampaikan lagu.

“Tengok saja Salamiah Hassan, dalam usia dia sekarang orang masih pandang dia sebagai penyanyi hebat. Sebenarnya orang nak dengar sesebuah lagu tu sebab ada memori, jadi sebagai penyanyi saya akan cuba sampaikan sepenuh hati dengan penyampaian yang bertenaga,” katanya.

Tunggu 15 tahun konsert solo

Penantiannya untuk sekali lagi mengadakan persembahan solo bakal berakhir apabila mendapat peluang untuk beraksi dalam konsert mega I Am Ziana Zain yang akan berlangsung pada 27 September depan.

Terdahulu, Ziana pernah tampil dengan konsert Ziana Zain In The Park di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada 2001.

Sejak itu, impian penyanyi yang terkenal dengan trademark kening lentik ini tidak pernah padam untuk menjayakan sebuah lagi konsert solo demi menghargai peminat yang setia menyokongnya dari dulu.

Biarpun mempunyai kehebatan vokal yang tidak boleh disangkal, Ziana terpaksa akur dengan kenyataan kesukaran mendapatkan penaja bagi konsert solo artis tempatan.

“Saya selalu bercerita di surat khabar dan majalah tentang impian saya untuk mengadakan konsert solo. Tapi macam biasalah, di Malaysia ni artis tempatan susah nak ditaja untuk buat konsert. Kalau artis luar negara tu, berjuta-juta pun sanggup keluarkan.

“Alhamdulillah, hajat saya tercapai walaupun penantian saya agak lama. Saya rasa ini berkat doa daripada peminat. Mereka sendiri kata pada saya mereka doakan saya dapat buat konsert solo tak kira besar atau kecil skalanya,” luah Ziana yang baru-baru ini menjayakan Konsert Teaterikal Suara Kita bersama Erra Fazira dan Awie.

Konsert yang dibawakan oleh Gold Earth Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama ZianaZain Ventures itu sepatutnya berlangsung pada 14 Jun depan namun, ditangguhkan pada September depan atas beberapa sebab seperti menghormati tragedi kehilangan pesawat MH370 yang lalu.

Sebagai bekas pramugari Malaysia Airlines (MAS), Ziana lebih empati dan merasakan kesedihan tragedi tersebut, apatah lagi suaminya masih berkhidmat dengan MAS sehingga kini.

Oleh itu, tidak hairanlah dia mengambil masa yang panjang untuk meneruskan kembali aktiviti seninya walaupun telah menunggu 15 tahun untuk mendapat peluang mengadakan konsert solo.

“Selain menghormati keadaan, jadual kerja saya juga padat pada Mei dan Jun. Jadi saya rasa tak adil kalau saya adakan konsert dalam keadaan tergesa-gesa.

“Bila orang bayar untuk konsert kita, maknanya orang dah letakkan kepercayaan pada kita. Jadi saya tak nak hampakan mereka, saya ingin buat persediaan yang cukup untuk beri persembahan yang terbaik,” katanya.

Pilih negeri kelahiran

Menyentuh tentang pemilihan lokasi konsert I Am Ziana yang bakal diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ziana menjelaskan Melaka merupakan negeri kelahirannya dan dia berasa sangat teruja untuk mengadakan konsert di situ.

“Kebetulan saya dan pengarah muzik untuk konsert ini, Aubrey Suwito dua-dua orang Melaka. Jadi sudah tentu kami seronok untuk buat konsert di tempat sendiri.

“Ramai orang tanya kenapa tak buat di Kuala Lumpur. Sebenarnya peminat saya dari luar KL ramai yang teringin nak datang konsert saya tapi tak berkesempatan sebab jauh. Jadi konsert ini khas buat mereka, yang susah payah sokong saya daripada dulu sampai sekarang,” katanya.

Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, pelakon filem Sembilu, Maria Mariana dan Magika ini meletakkan seratus peratus fokus pada konsert I Am Ziana yang dijangka bakal menjanjikan 22 buah lagu popular Ziana Zain dari album-album terawalnya.

“Saya akan nyanyi semua lagu-lagu saya sendiri. Lagu lama-lama saya yang saya teringin nak nyanyi depan orang.

“Saya juga mengalu-alukan semua pereka fesyen yang ingin menaja busana konsert ini. Tak kira ada nama atau tak, kalau rekaannya cantik dan sesuai, saya akan pakai baju mereka,” kata Ziana yang selesa memilih fesyen ringkas untuk digayakan kebelakangan ini.

Tiket Konsert I Am Ziana Zain dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Platinum berharga RM325, Diamond (RM255), Gold (RM155) dan silver (RM95) serta boleh didapati menerusi www.TicketPro.com.my atau beli terus di pejabat urusan Golden Earth
Pictures dan Melaka International Bowling Center (MIBC), Melaka.
Previous Post Next Post