KARYA Teater Kompilasi Namron milik Namron telah tercalon dalam sembilan kategori Boh Cameronian Award ke-11.
ANUGERAH teater Boh Cameronian Award kali ini mula membuka tirainya untuk tahun ke-11 apabila mengumumkan senarai pencalonannya bertempat di Alexis Bistro@The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebanyak 36 pencalonan telah disenaraipendekkan. Ia termasuk tujuh kategori untuk teknikal muzikal teater, lima tarian, enam teater muzikal dan empat lagi pilihan penonton Kaki Seni.
Keputusan pencalonan itu ternyata mengejutkan seorang pengarah dan penulis skrip teater yang tidak asing lagi, Shahili Abdan atau lebih mesra dengan panggilan Nam Ron.
Dalam anugerah tersebut, Nam Ron telah dicalonkan bagi sembilan kategori termasuk Pengarah Terbaik melalui Teater Kompilasi Namron, Skrip Asal Terbaik dan Reka Bentuk Set Terbaik.
Bercerita mengenai perasaannya apabila tercalon dalam seluruh sembilan anugerah teater yang dipertandingkan, Nam Ron berkata, tidak terlintas langsung di hatinya untuk tercalon dan ia merupakan penghargaan besar kepadanya.
"Saya tidak pernah terfikir untuk dicalonkan memandangkan jika dilihat dari segi karya saya sebelum ini, ia biasa-biasa sahaja. Mungkin disebabkan tahun ini agak kurang persaingan seperti dahulu.
"Bagaimanapun, saya tetap mempersembahkan karya saya dengan sebaik mungkin dan saya harap tuah berpihak kepada saya kali ini," ujarnya yang memenangi Anugerah Pengarah Terbaik pada tahun 2003 menerusi anugerah yang sama.
Tambah Nam Ron, dua teater yang dicalonkan melalui produksi Rumah Anak Teater, Laut Lebih Dari Bulan dan Aku Nak Jadi Bintang akan turut dipentaskan di Singapura pada 17 dan 18 Mei depan.
Dalam pada itu, turut berkongsi keterujaan yang sama ialah seorang produser muda, Mohd. Amer Syafiq Khalip atau lebih mesra dipanggil Shawn Amir.
Walaupun boleh dikatakan masih 'hijau' dalam bidang seni teater, kehebatan pengarah muda itu tidak boleh dipertikaikan.
"Usia produksi saya iaitu Mask Team hanya tiga tahun dan ia masih terlalu mentah. Bagaimanapun dengan pencapaian sebegini rupa, saya rasa sangat teruja apabila turut tercalon dalam semua kategori teater yang dipertandingkan.
DEBARAN... Sebahagian pencalon yang akan berentap dalam Boh Cameronian Award ke-11 pada 27 April ini bergambar bersama pada majlis pencalonan baru-baru ini.
"Anugerah ini juga boleh dikatakan sebagai batu loncatan kepada kami untuk terus melebarkan saya dalam bidang teater.
"Pencalonan ini juga merupakan hadiah kepada beberapa rakan saya yang lain termasuk penulis skrip, Fasyali Fadzly Saipul Bahri yang kini sedang menyambung pengajiannya di Kanada," ujarnya yang kini sibuk dengan persiapan teater Projek Kahwin yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 6 hingga 14 Jun depan.
Produksi Shawn Amir, Mask Team melalui teater Teater Juta-Juta dan Madu Ku Kalut turut tercalon dalam kategori Skrip Asal Terbaik dan Anugerah Kumpulan Terbaik.
Pada majlis sama, pelakon yang baru sahaja hendak berjinak-jinak dengan bidang pementasan teater, Aqasha tidak meletakkan sebarang harapan untuk memenangi anugerah pelakon pembantu terbaik.
"Saya masih baharu dalam bidang ini, dicalonkan pun sudah membuatkan saya gembira dan bersemangat untuk terus berkecimpung dalam bidang ini.
"Di samping itu, saya juga bersyukur kerana setelah menceburi bidang ini, saya dapat memperbaiki mutu lakonan dari segi teknikal dan dimensi. Nam Ron juga merupakan seorang mentor yang baik sepanjang pementasan Teater Kompilasi Nam Ron berlangsung," ujarnya
Sementara itu, Presiden Kaki Seni, Low Ngai Yuen berkata, selain daripada memberi pengiktirafan kepada penggiat seni teater pada masa kini, anugerah ini juga ingin mengenang jasa penggiat seni terdahulu termasuk legenda P. Ramlee, Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang dan Dekan teater, mendiang Krisnen Jit.
"Kaki Seni selaku penganjur bersama ingin mengangkat martabat penggiat seni tanah air yang selama ini bersusah payah memperjuangkan seni. kami juga terpanggil untuk mengembalikan era kegemilangan seni," katanya.
Boh Cameronian Award ke-11 akan diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 27 April ini.