MENURUT Raja Azmi, dia mahu memperbetul dan melengkapkan soal lima waktu dahulu, berbanding memakai tudung.
HUJUNG minggu lalu, penerbit Raja Azmi sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan berbunyi: “Kalau betul tak pakai tudung satu dosa yang amat besar sampai orang kata kalau orang perempuan tak tutup rambut akan masuk neraka, Kak Mi tak boleh terima semua itu.”
Kenyataan yang dikeluarkan pada satu temu bual dalam sebuah program hiburan mengenai kesediaannya bertudung selepas menunaikan umrah baru-baru ini telah menerima pelbagai reaksi negatif.
Ada yang beranggapan, kenyataan Raja Azmi yang juga selesa dipanggil Kak Mi itu sebagai kurang waras dan cetek ilmu agama.
Sementelah memakai tudung atau menutup aurat itu merupakan suatu kewajipan yang nyata untuk setiap wanita beragama Islam.
Perintah memakai tudung sememangnya jelas seperti yang dinyatakan dalam suruh An-Nur ayat 31 yang menyatakan setiap wanita beragama Islam mestilah bertudung meliputi dada dan kedua telapak tangan.
Ulama juga telah bersepakat bahawa isu pemakaian tudung merupakan perkara wajib seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis.
Namun, wanita berusia 55 tahun itu tetap dengan pendirian dan menegakkan kenyataannya sebagai tidak bersifat semborono.
Dia dengan tegas juga memberitahu lebih menitik beratkan soal solat lima waktu, berbanding memakai tudung atau menutup aurat.
Raja Azmi bercakap kepada ARTISMELETOP! tentang isu tersebut. Bagi penerbit filem ...Dalam Botol itu, dia mempunyai alasan dan prinsip sendiri untuk tidak memakai tudung walaupun dikecam hebat oleh orang ramai.
ARTISMELETOP!: Bagaimanakah pandangan Raja Azmi berhubung kecaman orang ramai mengenai kenyataan anda yang mengatakan isu pemakaian tudung itu tidak wajib?
RAJA AZMI: Saya tetap dengan pendirian saya, mungkin orang ramai salah faham berhubung isu tersebut.
Pemakaian tudung merupakan pilihan masing-masing tetapi hal ini melibatkan keikhlasan hati, kita perlu betulkan perkara asas seperti solat lima waktu dahulu.
Adakah anda tidak bersedia untuk memakai tudung?
Saya telah bersedia pada bila-bila masa untuk memakai tudung. Namun, buat masa ini saya akan bertudung pada masa tertentu sahaja. Insya-Allah, saya berusaha untuk melakukan perubahan sedikit demi sedikit demi kebaikan saya.
Apakah tindakan yang diambil untuk kebaikan diri anda pada masa akan datang?
Bagi saya, apa yang perlu ditekankan buat masa sekarang adalah perkara asas dahulu. Saya perlu tunaikan solat lima waktu dengan teratur terlebih dahulu. Kalau solat lima waktu pun compang-camping, macam mana hendak melakukan kebaikan lain.
RAJA Azmi berpendapat bahawa menutup aurat tidak boleh dipaksa, sebaliknya ia akan berlaku pada saat dia ikhlas melakukan perubahan itu.
Jadi sebenarnya apakah pendirian anda mengenai isu bertudung?
Ia merupakan pilihan masing-masing. Jika hanya memakai tudung pada luaran tapi hakikatnya berperangai tidak baik, saya kira itu tidak menjadi juga. Apa yang penting adalah keikhlasan hati dan kebersihan hati itu sendiri. Mungkin disebabkan saya seorang yang dikenali, perkara ini diperbesarkan.
Apakah nasihat anda kepada orang ramai yang mengecam pendirian anda itu?
Ya, saya akui isu tersebut merupakan isu yang sensitif. Cuma saya ingin katakan di sini ialah perbaiki dahulu perkara asas agama dan saya percaya, kemudian segalanya akan beransur ke arah kebaikan.
Adakah anda terkesan dengan kecaman daripada orang ramai mengenai isu tersebut?
Tidak, saya sedikit pun tidak terkesan dengan kecaman orang ramai. Mungkin mereka salah faham dengan kenyataan tersebut. Saya ingin membetulkan diri saya dahulu tapi mungkin ia memakan sedikit masa.
Adakah suami anda memarahi anda jika tidak bertudung?
Tidak, suami saya tidak pernah memarahi saya jika saya tidak bertudung. Dia merupakan seorang yang memahami diri saya.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Kini saya sedang dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah program televisyen yang berbentuk realiti televisyen iaitu Main Masak-Masak. Saya juga ingin berehat daripada menerbit dan mengarahkan filem memandangkan industri filem sekarang dipenuhi dengan filem yang tidak berkualiti.