Misha Omar Lupakan Yang Lalu


MISHA Omar dan tunang Firoz Ezzwan Rossly bersedia melangkah ke alam rumah tangga.

Akhirnya, selepas meniti badai dalam percintaan, tarikh 2 Mei telah dipilih oleh pelantun lagu Angin Syurga, Misha Omar untuk disatukan menjadi pasangan suami isteri bersama dengan Firos Ezzwan Rossly.

Misha mengumumkan tarikh pernikahannya itu dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Shah Alam baru-baru ini.

Bukan senang sebenarnya hendak menuju ke hari bahagia untuk bakal raja sehari ini. Pelbagai dugaan dan tuduhan yang dilemparkan kepada Misha dihadapinya dengan tenang.

Bagi Misha, perkara yang sudah berlalu tidak perlu untuk dikenang kembali apatah lagi jika ia sesuatu yang mengaibkan diri seseorang itu.

“Benda yang dah lepas, rasanya tidak perlu untuk diceritakan lagi. Biarlah ia menjadi antara dugaan yang perlu ditempuhi oleh saya," jelas Misha dengan senyuman.

Tatkala diuji dengan tohmahan dan kontroversi, Misha juga kini nampak lebih kuat selepas kehilangan arwah bapanya.

“Saya reda dengan ketentuan tuhan. Kita doakan yang terbaik sahaja untuk arwah walaupun saya sedih sebab arwah tidak dapat melihat saya bersanding," ujarnya.

Mengulas mengenai tarikh perkahwinan tanggal 2 Mei itu, jelas Misha, tarikh itu sebenarnya dipilih kerana ibunya yang mahukan dia berkahwin pada bulan Rejab.

“Sebelum ini, ibu memang ada memberitahu yang dia mahu kami memilih bulan Rejab sebagai tarikh untuk kami melangsungkan perkahwinan.

“Selepas melihat kalendar dan kebetulan, tarikh 2 Mei yang dipilih itu memang jatuh pada bulan Rejab dan pada hari Jumaat.

“Jadi, kami pun setuju untuk menetapkan 2 Mei itu sebagai mengambil berkat penghulu hari, Jumaat dan bulan Rejab," kata Misha yang akan mengadakan majlis resepsi di Hotel Renaissance Kota Bharu, Kelantan.

Majlis pernikahan pasangan ini akan berlangsung di sebelah pagi manakala resepsi perkahwinan pula akan diadakan di sebelah malam pada hari yang sama.

Walaupun dugaan demi dugaan yang diterima dan mengambil keputusan untuk berkahwin dalam masa hanya tinggal tiga bulan sahaja lagi, Misha bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar.

“Bila kita dah tetapkan tarikh itu, saya risau sebenarnya sebab tarikh itu sangat dekat dan tempoh untuk persiapan juga singkat.

“Tetapi, Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan dengan lancar dan segala persiapan sedang berjalan," jelasnya syukur.

Sepanjang bergelar seorang penyanyi, insan yang paling rapat dengan kerjayanya ialah kakaknya, Mimie yang selama ini menguruskan kerjaya Misha.

Mengakui ia sesuatu yang sukar, jelas Misha, keputusan untuk berjauhan dengan kakaknya adalah satu yang sangat berat untuk dilakukan.

“Selama ini, kakak saya adalah orang yang paling rapat dengan saya. Malah, tiada rahsia antara kami berdua. Semuanya dia tahu.

“Saya sebenarnya rapat sangat dengan kakak saya. Boleh dikatakan, saya di mata kakak saya adalah seperti seorang kanak-kanak kecil," jelasnya.




Sangat manja

Tambah Misha, dia memang seorang yang sangat manja dengan kakaknya, malah kerja-kerja rumah juga dilakukan sendiri oleh kakaknya.

“Selepas berkahwin takkanlah saya hendak mengharapkan kakak saya lagi. Jadi secara perlahan-perlahan, saya sedang belajar untuk menguruskan rumah tangga daripada kakak.

“Selepas ini saya akan hidup berdikari dalam menguruskan hal rumah tangga. Semuanya satu proses pembelajaran buat saya setiap hari," ujarnya.

Tambah Misha, selepas berkahwin, dia akan berpindah ke kediaman yang baharu di Cheras dan turut membawa sekali anak angkatnya Muhammad Adam Emir, 8.

“Tentang anak ini adalah satu perkara yang buat saya risau lagi kerana anak angkat saya, Adam dan anak angkat kakak, Arissa seakan tidak dapat menerima kenyataan yang mereka akan berpisah.

“Memang nampaklah bila kita beritahu yang mereka akan hidup berasingan, kedua-duanya akan menunjukkan reaksi muka sedih," jelasnya.

Tambah Misha, perkara itu sangat berbeza dengan apa yang terjadi sebelum ini kerana kedua-duanya pasti akan bergaduh dan berasa tidak puas hati antara satu sama lain.

“Tetapi kini, bila saya beritahu dah nak kahwin, mereka berdua banyak meluangkan masa bersama seakan-akan tahu yang selepas ini mereka akan jarang berjumpa.

“Melihat gelagat mereka itu yang sebenarnya membuatkan saya berasa sedih," katanya.
Previous Post Next Post