Pencetus Ummah kembali berdakwah


Pencetus Ummah

KEBIASAANYA, dalam sesebuah program realiti TV, setelah peserta terkeluar, maka terkuburlah nama atau bakat mereka kerana ketiadaan platform yang akan mengekalkan nama.

Bahkan, sang juara juga sering dilihat masih terkontang-kanting dalam mencari platform bagi mempersembahkan bakat.

Justeru, bagi mengelakkan perkara itu berlaku, stesen TV Astro memperkenalkan kesinambungan program realiti pencarian pendakwah generasi baharu, Pencetus Ummah (PU) menerusi Dunia Pencetus Ummah (Dunia PU).

Pengurus Saluran Astro Oasis, Namanzee Harris berkata, Dunia PU adalah sebagai langkah dalam menaikkan semula nama-nama pendakwah PU musim pertama yang pernah menjadi fenomena buat penonton.

"PU akan kembali kepada masyarakat dalam menyumbang kepakaran mereka dalam membangunkan Islam.

"Kami ingin menjadikan barisan peserta musim lalu terus relevan dan dinamik buat penonton agar mereka lebih dikenali.

"Program ini pula konsepnya sama seperti PU lalu, cuma dakwah yang disampaikan lebih santai tanpa juri di hadapan," katanya pada majlis pelancaran program tersebut, kelmarin.

Tambahnya lagi, Dunia PU juga bakal memberi peluang kepada masyarakat dalam 'menikmati' dakwah secara kreatif
dengan lebih dekat.

"Antara topik yang bakal dibawa adalah Bencana Alam, Ibu, Faraid, Munakahat dan sebagainya," katanya.

KELAINAN pendekatan dakwah yang dibawakan menerusi program Pencetus Ummah (PU) ternyata berjaya mencuri perhatian dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Maka tidak hairanlah apabila episod akhir rancangan itu berjaya mencatat rating sehingga 5.5 juta penonton.

Tidak cukup dengan itu, di lokasi pertandingan pula, sesak dengan lambakan peminat PU dari seluruh negara. Ekoran sambutan di luar jangkaan itu, Astro menerusi Astro Oasis membawakan Dunia PU sebagai tanda terima kasih dan penghargaan terhadap program itu, musim lalu.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Namanzee Harris berkata, Dunia PU diwujudkan setelah pelbagai kajian daripada setiap episod PU dilakukan.

"Kami banyak melakukan kajian dan mengimbas balik setiap episod.

"Daripada situ, kami merumuskannya dan membuat kajian semula apa yang penonton suka dan tidak suka.

"Kami tidak mahu membuatnya sekadar mendengar sebaliknya kami melihat pada fakta," katanya.

Bicaranya lagi, Dunia PU juga akan membawa kesemua peserta PU musim lalu menjelajah ke tujuh buah negeri bagi menyampaikan dakwah masing-masing.

"Antara negeri yang akan dijelajah termasuklah Negeri sembilan, Melaka, Terengganu, Pahang, Kelantan, Johor dan Kedah.

"Ia bertujuan mendekati masyarakat khususnya golongan belia dan remaja bagi menyebarkan dakwah dan berkongsi ilmu serta pengetahuan dalam agama," katanya.

Katanya lagi, pihaknya sudah menemui formula dalam mendekati penonton-penonton agar lebih dekat dengan program keagamaan,

"Sasaran kami adalah golongan belia masa kini terutamanya kepada golongan yang atas pagar ini.

"Justeru, kami akan menggunakan pendekatan yang menggabungkan elemen berdakwah dengan semasa seperti penggunaan alatan muzik, penglibatan penyanyi, pencahayaan pentas, audio visual dan juga sesi soal jawab secara langsung.

Tambahnya, Dunia PU bukan saja melibatkan semua peserta PU tetapi juga akan menjemput barisan ustaz terkenal seperti Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Haslin Baharim selain diselangi dengan persembahan istimewa oleh barisan artis terkenal seperti Shahir, Sabhi Saddi, dan kumpulan In-Team.





Uji bakat musim kedua

Pada masa sama, sebagai persiapan untuk musim akan datang, Namanzee memberitahu, sesi uji bakat PU musim kedua akan diadakan secara serentak di setiap lokasi Dunia PU.

Berkata, sesi uji bakat ini juga akan diadakan selama dua hari bermula 9 pagi hingga 5 petang.

"Berakhirnya program PU pada Januari lalu yang telah menobatkan PU Muhammad Hafi z Mohd Haneefa sebagai juara, tidak bermakna kami akan terhenti setakat itu saja.

"Malah, kami terus merancang program PU untuk musim kedua," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai kebolehan sebagai pendakwah, menghadiri uji bakat ini.

"Sesi uji bakat ini terbuka kepada semua lelaki Muslim yang fasih berbahasa Melayu dan berusia di antara 18-40 tahun serta sihat tubuh badan.

"Bakal peserta juga perlu membaca surah al-Fatihah dan beberapa surah lazim selain bersedia dengan salah satu topik tazkirah seperti Bencana Alam, Poligami, Keruntuhan Akhlak, Hiburan dalam Islam dan Ekonomi Islam, " katanya.


Fahrin pengacara bersama

Masih lagi mengekalkan penceramah bebas terkenal, Dr Ridhuan Tee Abdullah sebagai pengacara Dunia PU. Begitu pun, Dr, Ridhuan Tee tidak akan keseorangan sebaliknya bakal digandingkan bersama-sama aktor terkenal, Fahrin Ahmad.

Ketika ditebak mengenai gandingan tersebut, Namanzee ternyata punya pendapatnya tersendiri.

"Kesinambungan dari musim lalu, kami melihat sokongan dan maklum balas daripada penonton. "Apa yang boleh kami simpulkan, penonton suka akan gabungan Fahrin dan Dr Ridhuan Tee.

"Lebih-lebih lagi, tazkirah Dr Ridhuan Tee mengenai ibunya di episod akhir PU sangat-sangat meninggalkan kesan emosi kepada penonton, selain latar belakang Fahrin yang membuatkan dia adalah calon yang sesuai untuk menjadi pengacara bersama," katanya lagi.

Rakaman Dunia PU akan bermula 19 April ini dan akan disiarkan secara serentak menerusi saluran Astro Oasis dan Mustika HD, setiap Khamis, jam 9 malam, bermula 1 Mei.
Previous Post Next Post