Alvin bakal muncul dengan sebuah filem berbahasa Malaysia berjudul Rentap disamping Elfira Loy dan Zahiril Adzim.
Pelakon Alvin Wong yang banyak berlakon dalam drama-drama Melayu memberitahu bayaran tinggi yang dikenakannya menjadi punca syarikat produksi tempatan takut menawarkannya berlakon.
Alvin, 40, berkata, dia tidak meletakkan bayaran sesuka hati sebaliknya melihat kepada keupayaannya berlakon bersesuaian dengan pengalamannya hampir 20 tahun dalam dunia seni.
Memang benar saya jarang muncul dalam drama berbahasa Melayu kerana suda tiada tawaran dan produksi mungkin takut hendak ambil saya kerana bayaran dikenakan agak tinggi.
"Tetapi jumlah yang saya kenakan bersesuaian dengan pengalaman hampir 20 tahun sebagai pelakon," katanya kepada ARTISMELETOP.
Alvin ditemui pada majlis sidang media pengumuman pencalonan 10 terbaik acara Golden Awards 2014 yang diadakan di Hotel Royale Chulan Damansara di sini pada Rabu.
Pelakon itu dicalonkan menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonannya dalam drama bersiri Love Compulsory.
Tambah Alvin, kekurangan watak berbangsa Cina dalam drama Melayu turut menyebabkan dia jarang muncul dalam karya berkenaan.
Bagaimanapun Alvin mendedahkan dia bakal muncul dengan sebuah filem di samping Zahiril Adzim dan Elfira Loy berjudul Rentap yang dijadualkan untuk tayangan pada Ogos depan.
"Rindu sebenarnya hendak berlakon kembali dengan syarikat produksi tempatan tetapi bukan rezeki saya buat masa ini dan itu tidak bererti saya sudah lupakan peminat-peminat berbangsa Melayu," katanya.
Sementara itu, Alvin berkata, dia kini sibuk memberikan tumpuan kepada projek drama Cina.
Jelas Alvin, industri hiburan Cina tempatan semakin rancak dengan pelbagai produk dihasilkan dan sebagai anak seni dia berbangga dengan perkembangan tersebut.
"Dulu mungkin industri agak perlahan tetapi sekarang ia sudah berkembang maju dengan pelbagai program diterbitkan terutamanya untuk siaran televisyen.
"Kini kita tidak perlu lagi terlalu bergantung harap dengan program-program luar kerana rancangan yang diterbitkan oleh anak tempatan sangat berkualiti," jelasnya.
Untuk rekod, nama Alvin mula dikenali peminat sejak muncul dalam drama bersiri Each Other di samping Cheryl Samad selain Table For Two, Kopitiam, Agensi Melor dan Tangkal Besi.