Jamal Abdillah
KONSERT Eksklusif Datuk Jamal Abdillah yang sepatutnya berlangsung 11 April ini, di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang, terpaksa ditunda setelah menerima arahan dari Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
Penganjur konsert tersebut, pengurus Budak Zapin Production, Mohd Arifin Ikhsan berkata, pihaknya tetap menerima keputusan itu demi menghormati insiden kehilangan pesawat MAS Airlines (MH370).
Bagaimanapun pihaknya akan tetap menunggu arahan terbaru dan tarikh yang sesuai untuk melaksanakan konsert tersebut, memandangkan ia sudah menjalani persiapan rapi.
“Selain menghormati MH370, saya yakin keputusan ini ada kaitannya dengan konsert 'Future Music Festival Asia' yang masih lagi dalam siasatan.
“Jadi pihak kerajaan mahu segala bentuk hiburan yang berkaitan dengan konsert ditangguhkan dahulu buat sementara untuk mengelakkan kejadian buruk berlaku,” katanya.
Sebelum ini Datuk Jamal Abdillah sudah membuat persiapan vokal bagi menjayakan tiga konsert dalam jangka masa terdekat, termasuk ‘The Moments With Datuk Jamal Abdillah’ sempena minggu setiausaha pada 24 April, di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya serta majlis makan malam Raikan Hari Ibu pada 11 Mei depan.