Rafiena Ezanee fokus bidang penerbitan


Rafiena Ezanee

SATU ketika dahulu, dia sering kali dilihat membawakan watak-watak pembantu dalam setiap drama lakonannya.

Bagaimanapun, kehadiran Datuk Rafiena Ezanee Ramli seakan-akan tidak dipedulikan.

Bahkan, namanya juga tidak segah jika hendak dibandingkan dengan barisan pelakon seangkatan dengannya.

Tidak menjadikan hal itu sebagai satu masalah besar, Rafiena sebaliknya punya percaturannya tersendiri.

Masakan tidak, dalam diam, pelakon berusia 31 tahun ini, sudah pun bergelar penerbit sejak membangunkan syarikat produksi miliknya, Darkwave Pictures Sdn Bhd pada 2008.

Berbanding kerjaya lakonannya, rumah produksi miliknya itu dilihat lebih terkedepan, apatah lagi dalam tempoh lima tahun, lebih 40 telefilem dan drama bersiri diterbitkan untuk pelbagai stesen TV di negara ini.

Terbaharu, drama terbitannya berjudul Perempuan Dalam Pasungan juga sedang bersiaran secara serentak di Astro Prima (saluran 105) dan Astro Maya HD (saluran 135), setiap Isnin hingga Khamis, jam 5 petang, mulai 17 Mac lalu.

Malah, tidak cukup dengan itu, Rafiena turut memegang watak heroin dalam drama bersiri 28 episod bergandingan dengan Zul Huzaimy, Datuk Eizlan Yusof, Lia Natalia, Faradhiya, Safura dan lain-lain.

Ikuti temu bual Zass bersama-sama ibu kepada dua cahaya mata ini berkenaan karier lakonan, syarikat produksi dan perancangannya di masa hadapan.




Walaupun anda banyak berlakon drama, tetapi nama anda kurang dikenali. Komen anda?

Saya tidak pernah bercita-cita untuk bergelar pelakon sebaliknya saya mahu menjadi usahawan. Cita-cita saya adalah ingin melibatkan diri dalam perniagaan berkaitan bidang penerbitan. Bidang lakonan hanyalah batu loncatan bagi mencapai cita-cita saya itu. Ini kerana saya sedar, satu-satunya cara untuk mendalami bidang lakonan itu adalah dengan terlibat secara langsung dengannya. Saya berlakon pula bukanlah untuk mengejar nama atau pun populariti semata-mata. Saya hanya mahu mengumpul pengalaman mengenai selok-belok dunia lakonan sebelum mula membuka produksi sendiri pada 2008.

Boleh ceritakan sedikit mengenai produksi anda itu?

Alhamdulillah, berkat kesabaran dan tunjuk ajar daripada pelbagai individu dalam industri ini, saya memberanikan diri membuka syarikat Darkwave Pictures Sdn Bhd pada 2008. Syarikat kami lebih berkisarkan pada naskhah yang mempunyai genre berat kerana permintaan daripada masyarakat sendiri yang sangat suka akan genre ini. Sehingga kini, lebih 40 telefilem dan drama bersiri telah diterbitkan untuk pelbagai stesen TV di negara ini. Antara kejayaan terbesar kami adalah menerbitkan telefilem Pondok Plastik Tepi Kubur lakonan mantap Wan Maimunah dan Sharolnizam yang mendapat rating tertinggi di Astro.

Anda katakan tadi ada mendapat tunjuk ajar daripada orang industri sendiri? Siapakah dia?

Saya banyak mendapat tunjuk ajar dan nasihat dari Datuk Yusof Haslam. Dia banyak memberikan galakan kepada saya. Walaupun saya ada bertanya kepada rakan-rakan artis yang lain, namun nasihat yang diberikan olehnya yang paling ikhlas. Lagipun, saya bermula sebagai pelakon dengan Skop Production, justeru tidak salah jika saya bertanya pendapat dengannya.

Justeru, adakah anda akan melupakan bidang lakonan?

Sebelum ini, saya memang jarang berlakon dalam drama terbitan sendiri dan jika ada pun sekadar kemunculan istimewa atau watak sampingan kerana bimbang akan disalah erti. Saya juga sudah lama tidak berlakon dan boleh dikatakan drama terbaharu itu sebagai kemunculan semula saya.

Difahamkan, rakan artis, Eizlan Yusof turut menjawat jawatan sebagai penerbit eksekutif di syarikat anda. Mengapa anda memilih beliau?

Saya mengenali Eizlan sudah agak lama. Jawatan itu pernah ditawarkan kepadanya beberapa kali tetapi dia menolak. Dia takut jika bekerja di bawah satu bumbung, kami akan bertelagah. Namun, setelah beberapa kali berbincang, akhirnya dia bersetuju menyertai syarikat saya pada tahun lalu.

Kebanyakan drama terbitan anda menggunakan khidmat pelakon lama, adakah anda tidak mempercayai bakat-bakat yang ada pada pelakon baharu?

Saya masih mempercayai kebolehan pelakon baharu, cuma buat masa ini, watak yang diketengahkan sesuai dengan barisan pelakon sedia ada. Lagipun, menerusi drama Perempuan Dalam Pasungan, saya juga menampilkan seorang pelakon baharu iaitu Lia Natalia.

Drama terbitan anda lebih pada genre berat dan air mata, tidakkah anda mahu mencuba genre lain?

Genre berat dan air mata adalah pengenalan diri buat Darkwave Pictures. Tetapi, kami juga ada mencuba genre komedi dan buat masa ini saya akan menerbitkan empat drama komedi.

Dalam drama bersiri Perempuan Dalam Pasungan, anda juga adalah penerbit, tetapi anda juga memegang watak utama. Tidakkah ia seperti 'syok sendiri'?

Sejujurnya, saya enggan menerima tawaran tersebut. Namun, setelah beberapa kali dipujuk oleh Eizlan, saya akhirnya akur. Saya tahu, orang di luar pasti akan bercakap saya syok sendiri tetapi apa yang boleh saya pastikan ialah hasilnya mampu untuk memuaskan hati penonton.

Anda menggunakan khidmat pelakon, Zul Huzaimy sebagai pengarah. Mengapakah anda memilih dia?

Saya suka cara dia mengarah. Lebih-lebih lagi naskhah yang pernah diarahkan olehnya sebelum ini sangat bagus. Jadi, tidak salah rasanya saya meminta khidmatnya untuk mengarahkan Perempuan Dalam Pasungan.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Beberapa buah drama terbitan saya iaitu Racun Menantu, Lai Katong dan Penunggu Bayang akan menemui penonton tidak lama lagi. Buat masa ini, produksi saya juga sedang menyiapkan hampir 10 judul drama dan bercadang menerbitkan sebuah filem pada tahun ini.
Previous Post Next Post