Rozita Che Wan Terpaksa Buat Semula Semua Persalinannya Di Primadona



Kerana hamil tiga bulan dan berat badannya yang kini mencecah 54 kilogram, pelakon sensasi Rozita Che Wan atau Che Ta terpaksa membuat semula semua persalinannya untuk rancangan bual bicara Primadona.

Langkah itu dibuat kerana bentuk badannya kini semakin membesar dan kebanyakan pakaian yang disediakan oleh produksi untuk rancangan berkenaan sudah tidak lagi muat seperti sebelum dia berbadan dua.

Bercakap kepada portal ARTISMELETOP baru-baru ini, Che Ta berkata dia telah mendapat khidmat pereka fesyen kegemarannya, Qudyn untuk menyiapkan kesemua persalinan untuk 25 episod rancangan popular berkenaan.

“Memang semua pakaian saya di Primadona sudah tidak boleh dipakai lagi terutama potongan baju di bahagian perut semuanya sudah sempit.

“Jadi saya telah mendapatkan khidmat Qudyn untuk menyiapkan kesemua pakaian saya dengan menggunakan fabrik daripada Jakel yang telah menaja saya,” katanya yang ringkas dengan persalinan renda hitam singkat juga rekaan Qudyn.




Che Ta menambah, dia sememangnya menggemari sentuhan Qudyn yang sudah sekian lama berkhidmat dengannya dan kepakaran pereka fesyen berkenaan yang berjaya menghasilkan rekaan menarik mengikut citarasanya.

Katanya lagi, Qudyn adalah salah seorang pereka fesyen yang sangat memahami bentuk badannya dan oleh kerana itu setiap rekaannya telah berjaya memberikan potongan paling selesa meskipun kini dia sedang berbadan dua.

“Seboleh-bolehnya saya tidak akan menyarungkan pakaian yang terlalu sempit atau ketat terutama di bahagian perut sebaliknya saya telah menasihati Qudyn untuk melahirkan rekaan yang ringkas, selesa dan longgar.

“Saya tahu berat badan saya akan naik setiap bulan oleh kerana itu saya mempunyai Qudyn untuk menghasilkan rekaan yang sesuai untuk saya yang berbadan dua ini,” katanya.

Tidak mengalami sebarang alahan dari awal sehingga proses kehamilan kini, Che Ta bagaimanapun tidak dapat menafikan bahawa selera makannya kini bertambah.
Previous Post Next Post