RTM bantu penerbit tempatan pasarkan karya


RTM

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) tidak pernah menghalang atau menyekat mana-mana syarikat penerbitan yang menyediakan bahan kandungan kepadanya untuk memasarkan produk mereka kepada pihak lain, malah sedia membantu pihak terbabit berbuat demikian.

Ketua Pemasaran Antarabangsa RTM Suhana Suratman berkata stesen penyiaran itu sedar bahawa terdapat kekangan terutama daripada segi kewangan dalam kalangan syarikat penerbitan tempatan untuk memasarkan karya mereka ke peringkat antarabangsa.

Menyedari hakikat itu, RTM memainkan peranan serampang dua mata dalam program televisyen terbesar dunia 'Marche International de Programmes de Television' (MIPTV) 2014 di sini apabila memasarkan produk keluarannya dan pada masa sama mempromosi karya syarikat penerbitan lain di bawah satu bumbung di Pavilion Malaysia.

"RTM merupakan satu jenama yang kukuh, maka bila ia bantu syarikat yang bekalkan kandungan kepadanya orang akan yakin bahawa produk yang cuba dipasarkan itu amat berkualiti memandangkan piawaian untuk mendapat siaran di TV1, TV2 dan TVi amat tinggi.




"Selain itu, RTM sudah tentu mempromosi beberapa terbitannya seperti dokumentari dan majalah, drama dan telemovie serta tribute," katanya kepada Bernama sempena MIPTV 2014 yang berlangsung selama empat hari mulai Isnin di Palaes de Festival di French Rivieria.

Suhana berkata dalam MIPTV 2014 antara produk dokumentari dan majalah yang cuba dipasarkan kepada syarikat penerbitan atau stesen televisyen asing termasuk Xplorasi sebanyak 13 episod; Simfoni Alam dan Syahadah yang sememangnya mendapat sambutan menggalakkan terutama di Asia Barat.

Turut dipromosikan beberapa karya animasi seperti Bayu, Kacang, Di Mana Joe Jambul, Arnab dan Kura-Kura, Raihan Rangers dan Man Min Mon serta drama bertajuk Cinta, Mahligai Kaca, Jiwang Karat dan Ms Cinta.

Menurut Suhana setakat ini 100 syarikat dilihat sebagai berpotensi untuk membeli karya yang ditawarkan oleh RTM dan syarikat penerbitan yang dibantu dalam MIPTV 2014 dengan kebanyakannya berminat terhadap dokumentari dan majalah serta animasi.

"Tahun lalu, jumlah jualan mencecah US$1 juta dan diharapkan tahun ini angka tersebut akan meningkat," katanya.

MIPTV 2014 yang diadakan pada musim bunga setiap tahun, berlangsung dari 7 hingga 10 April dan disertai 10,000 peserta dari 90 negara dan dari Malaysia 19 syarikat turut mengambil bahagian.

Penyertaan Finas pada MIPTV 2014 adalah hasil gabungan strategik kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Pertubuhan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM).
Previous Post Next Post