Marsha Dia Bukan Suami Orang


MARSHA mengakui, dia memerlukan seorang lelaki yang boleh dia curahkan rasa manja dirinya.

SEBELUM ini, penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh pernah mengakui bercinta dengan seorang ahli perniagaan bernama Mr. S.

Penyanyi berusia 29 tahun itu memberitahu, dia telah mengenali Mr. S sejak enam tahun lalu dan mula menjalinkan hubungan cinta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, setelah apa yang berlaku kepada pelakon Hanez Suraya, ada beberapa individu mula mencungkil status kekasih kepada bekas peserta Akademi Fantasia ke-3 itu pula.

Marsha yang ditemui pada majlis penyampaian hadiah Kosmo! di Ibu Pejabat Kumpulan Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini, mendedahkan tentang status lelaki yang bertakhta di hatinya itu.

Ikuti temu bual ARTISMELETOP! bersama Marsha selanjutnya.




ARTISMELETOP!: Ada yang cuba mencungkil status teman lelaki Marsha. Tak takut kejadian yang menimpa Hanez Suraya berlaku kepada diri Marsha pula?

MARSHA: Dia (teman lelaki) bukan duda atau suami orang. Dia solo (ketawa). Memang saya takut. Apa yang Hanez Suraya sedang lalui sekarang membuatkan saya agak takut sehingga saya membuat kaji selidik mengenai latar belakang kekasih. Memang sah dia bukan suami orang (ketawa). Kalau boleh, saya tidak mahu terlibat dengan suami orang. Sebab kalau saya dalam situasi wanita itu, saya juga tidak suka bermadu. Saya tidak mahu kacau mana-mana pasangan.

Ada juga yang mendakwa artis sering kali memilih teman lelaki yang mempunyai pangkat dan status. Komen Marsha?

Dia orang biasa sahaja.

Bagaimana Marsha boleh berkenalan dengannya?

Saya sudah kenal dia lama. Sejak enam tahun lalu. Kami berjumpa di sebuah majlis.

Apakah yang membuatkan Marsha tidak serik untuk terus menjalinkan hubungan cinta biarpun kerap kecundang?

Setiap orang memerlukan seseorang untuk menyayangi diri kita. Lebih-lebih lagi, saya ini seorang yang manja. Saya perlukan seorang lelaki yang boleh saya curahkan rasa manja saya. Dia buat kita rasa sentiasa positif dan membuatkan diri kita ada arah tuju serta ingin menjadi lagi bagus.

Apakah perkembangan terkini karier seni Marsha?

Saya baru merakamkan lagu baharu dengan Zarul Umbrella. Tajuk lagu tersebut Satu Rasa. Lagu itu mungkin akan dipasarkan pada bulan Mei nanti. Selain itu, saya juga baru lepas rakam lagu tribute untuk MH370 berjudul Langit Biru di samping penyanyi rap Caprice, Atilia dan juga penyanyi rap Cina serta India.

Saya juga akan ke Johor menjalani penggambaran drama untuk Hari Guru. Sementara itu, tiga filem lakonan saya akan menjengah pawagam iaitu Tujuh, Juanita dan Pak Pong.

Selain itu, saya juga bakal keluar dengan jenama pakaian sendiri iaitu Marsha Milan Style.

Kenapakah baru kini Marsha mencuba nasib dalam bidang perniagaan?

Memang sejak keluar AF lagi, saya sudah merancang untuk membuka perniagaan pakaian sendiri tetapi ketika itu saya terikat dengan pengurusan dan jadual yang padat.

Bilakah bisnes Marsha itu akan dimula- kan dan apakah jenis perniagaan itu?

Setakat ini saya bermula dulu dengan perniagaan dalam talian. Tengok dulu macam mana maklum balas daripada peminat. Saya sasar ingin membuka perniagaan itu pada bulan depan tetapi disebabkan sibuk dengan jemputan persembahan, kemungkinan dua atau tiga bulan lagi. Saya menjual beberapa koleksi pakaian dan aksesori. Saya ada pereka sendiri. Idea daripada saya dan apa yang saya pakai selalu. Bisnes ini diuar-uarkan menerusi Facebook saya.

Apakah perasaan Marsha selepas bergelar ahli bisnes? Siapa sumber inspirasi?

Rasa sangat gembira sebab sudah lama impikan. Sekarang pun tak ada masa tetapi saya cuba uruskan masa dengan baik. Saya akan cuba uruskan perniagaan ini sebaik mungkin. Saya memang sukakan fesyen. Lebih-lebih lagi ramai yang menegur di manakah saya membeli baju. Dari situ timbul idea untuk merealisasikan impian untuk membuka perniagaan pakaian sendiri.

Siapakah kawan baik anda dalam industri?

Saya baik dengan Sakinah. Hari itu saya ada ke Pulau Pinang untuk menyokong pusat fitness dia.

Adakah anda suka bersenam?

Saya suka tetapi tidaklah terlalu kuat bersenam seperti Sakinah. Yang penting saya bersenam untuk kekalkan stamina ketika menyanyi.

Ada yang mempertikaikan nyanyian Demi Lovato lagi bagus daripada anda untuk lagu tema filem animasi Frozen? Komen?

Saya sedar mengenai perkara itu sebab saya juga dengar versi Demi. Memang agak sukar kalau kita hendak bandingkan dengan dia. Masa saya rakam lagu itu juga agak susah sebab pihak jurutera muzik ingin saya ikut cara nyanyian Demi.

Padahal kekuatan vokalnya lebih menyerlah tetapi dari segi positifnya saya fikir mereka pilih saya dalam semua penyanyi. Memang agak sedih pada mulanya bila saya baca komen tersebut. Bagaimanapun, saya ambil komen itu sebagai positif untuk belajar meluaskan kekuatan vokal saya.
Previous Post Next Post