Lara Konsert Stanza Cinta


KOLABORASI Adira (kiri) dan Jac menerusi lagu Cinta menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan audiens.

TERLALU awal untuk meletakkan standard terlalu tinggi untuk Konsert Stanza Cinta yang membuka tirai persembahan pada malam 3 April lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Bagaikan ada yang tidak kena dengan konsert yang bertujuan meraikan sambutan ulang tahun ke-30 Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Konsert Stanza Cinta menampilkan barisan artis berbakat besar antaranya Amy Search, Noh Salleh, Jaclyn Victor dan Adira untuk berkongsi pentas, namun aura sebuah persembahan yang gah tidak dapat dirasai sepanjang persembahan selama dua jam itu.

Memulakan persembahan sempena malam previu media pada hari Khamis lalu, Adira antara artis yang paling tidak konsisten sepanjang acara.




Untuk lagu Lara Lagi saja, tiga kali kesilapan besar dilakukan penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 8 itu. Paling ketara salah masuk rangkap nyanyian dalam lagu.

Itu belum lagi kolaborasi Adira bersama Jac menerusi lagu Cinta yang pernah dipopularkan oleh Melly Goes- low dan Kris Dayanti yang mana kesilapan sama berulang kali dilakukan oleh Adira.

Kenapa Adira?

Menjawab situasi yang mencacatkan persembahan itu, kata Adira yang ditemui usai persembahan pada malam pertama, tidak cukup latihan dan canggung dengan susunan lagu bersama orkestra adalah alasannya.

“Lagu Lara Lagi adalah lagu saya tapi persembahan kali ini merupakan susunan baharu, jadi saya tidak bersedia. Malam ini (Khamis) juga waktu terakhir untuk latihan dan menghafal bahagian mana perlu saya masuk.

“Saya akui kesilapan saya dan insya- Allah saya akan melakukan dengan lebih baik pada masa akan datang. Ketika menyanyikan lagu Cinta, saya gementar untuk berduet bersama Jac kerana ini baru pertama kali.

“Harus saya nyatakan, susunan baharu dalam format orkestra memang mengagumkan dan kena dengan jiwa saya,” jelasnya yang menyanyikan lagu Dewi Cinta, Aku Ada Kamu dan Ombak Rindu.

Konsert Stanza Cinta diiringi sepenuhnya oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah bimbingan konduktor muzik Mustafa Fuzer Nawi.

Sukar untuk mencari di manakah sebenarnya kekuatan konsert yang didedikasikan sebagai tribute kepada tragedi pesawat MH370 kerana banyak lompang yang perlu diperbaiki.

Begitu juga kelemahan iringan koir Nada Utama UUM yang dilihat tidak membantu meningkatkan kualiti persembahan pada malam itu.


NOH SALLEH

Persembahan tarian sepenuhnya berlatarkan lagu Mohabbatein yang menggunakan minus one langsung tidak kena dengan objektif konsert yang cuba disampaikan.

Adakalanya, audiens seperti disajikan dengan sebuah persembahan sketsa amatur dan kualiti persembahan yang disajikan ibarat menonton sebuah rehearsal penuh.

Penyelamat

Bagaimanapun, kelemahan konsert itu berjaya ditutup dengan persembahan bersahaja daripada Noh Salleh sambil bercanda dengan audiens yang hadir.

Noh menyanyikan empat buah lagu iaitu Kotak Hati, Bila Aku Sudah Tiada, Angin Kencang dan In Love With You.

Persembahan Jac juga wajar diberikan pujian kerana masih menepati kehendak tribute kepada tragedi pesawat MH370 terutama menerusi lagu Jagalah Diri yang dibantu montaj foto pesawat di monitor belakang pentas.

Jac turut menyanyikan lagu Bersama Kamu, I Will Always Love You dan Cinta Tiada Akhirnya.

Sementara itu, Amy Search sekadar biasa-biasa saja mempersembahkan tiga buah lagu Isabella, Gadis Ku dan Tiada Lagi.

Antara persembahan lain yang dimuatkan sepanjang konsert adalah nyanyian lagu Seraut Wajah, Juwita Ku Sayang (Haziq & Sukena), I Don’t Wanna Miss A Thing (Jack Dzull) dan Raikan Cinta (Fazli Awang)
Previous Post Next Post