Bakal dibesarkan oleh ibu bapa yang bukan sahaja cantik bergaya dan popular, malah berharta, ramai yang berkata cahaya mata pasangan SchAwal nanti akan hidup dalam keadaan mewah. Begitupun, Scha menyangkal dakwaan itu dan memberikan pendapat berbeza.
“Saya dibesarkan dalam keadaan berdikari, di mana kalau mahukan sesuatu, saya kena berusaha keras untuk mendapatkannya. Jadi, inilah disiplin yang akan saya amalkan pada anak saya nanti. Saya tidak mahu terlalu memanjakan anak” ujarnya tegas. Katanya lagi, Awal juga bersetuju yang dia akan jadi lebih tegas dalam hal-hal penjagaan anak berbanding dirinya.
Begitu pun menurut Scha, suaminya ketika ke London ada membelikan bantal kanak-kanak daripada jenama mewah Dior.
“Saya kata tak mengapalah, sekali ini sahaja. Scha tidaklah menentang sekiranya anak Scha nanti suka bergaya, cuma tidak semestinya dia perlu dimewahkan dengan barangan yang mahal” katanya yang adakala dimanjakan Awal dengan masakan yang dimasak sendiri oleh suaminya itu.
“Setakat ini, saya belum beli apa-apa lagi barangan kelengkapan bayi, kecuali sebuah stroller warna hitam. Bilik pun belum tersedia”, ujarnya saat ditanyakan persiapan untuk menyambut kehadiran cahaya mata pertama.
Saat ditanya tentang pilihan nama untuk anak pula, Scha berkata dia sukakan nama-nama klasik, umpamanya Aminah untuk anak perempuan dan Ibrahim untuk anak lelaki.
“Awal pula sukakan nama-nama moden, jadi nama anak kami nanti akan jadi gabungan antara nama-nama tersebut”, ujar Scha.
Bercerita tentang perkembangan terbaru kerjayanya, Scha berkata memang ada beberapa pengarah yang mula mendekatinya untuk projek-projek selepas habis tempoh pantang, malah ada juga yang mengajaknya untuk membintangi iklan jenama susu. Tetapi buat masa ini, sukar untuk Scha memberikan kata putus.
“Scha menyasarkan untuk kembali bekerja sekurang-kurang enam bulan selepas tempoh pantang, demi memastikan semuanya stabil. Tapi tempoh tersebut mungkin bertambah, bergantung kepada keadaan bayi. Scha tengok ramai rakan-rakan selebriti yang lain, seperti Fasha Shanda, Dynas Mokhtar, Yasmin Hani dan Sazzy Falak, semuanya all-out selepas tempoh pantang.
Begitupun, Scha anggap penting juga untuk menyeimbangkan antara kerja dan kehidupan peribadi, lebih-lebih lagi apabila sudah bergelar ibu. Sekarang ini, saya menghabiskan masa dengan menghadiri sesi fotografi, selain menjadi artis jemputan dan pengacara untuk rancangan- rancangan TV”, ujarnya lagi.
Sebelum mengakhiri perbualan, Scha sempat meminta doa daripada peminat agar proses kelahiran kandungannya nanti mudah dan berjalan lancar, selain dianugerahkan cahaya mata yang sihat dan sempurna sifatnya.