NAMA Mikail Andre mungkin biasa didengar buat penggemar filem terbitan Metrowealth International Group (MIG), sementelah empunya diri merupakan adik kepada pengarah muda, Piere Andre.
Berbeza pula dengan Fadlan Hazim dan Pablo Amirul yang masih 'setahun jagung' dalam bidang lakonan. Namun ia bukanlah penghalang untuk ketiga-tiga jejaka ini bersatu dalam filem aksi, Sniper yang bakal menjengah pawagam 24 April depan.
Diarahkan Piere Andre, filem ini turut dibintangi Nina Iskandar (Harlina) dan juga Pablo Amirul (Jim).
Sedikit mengenai 'Sniper', filem ini mengisahkan Ahmad (Mikail Andre), Rafi (Fadhlan Hazim), Jim (Pablo Amirul) yang terpaksa bersaing memburu antara satu sama lain selepas dipaksa menyertai permainan menembak.
Berbekalkan senjata menembak jarak jauh 'Sniper', mereka perlu mencari jalan keluar dan dalang di sebalik permainan berbahaya itu.
Menariknya, lokasi penggambaran dilakukan di sebuah taman rekreasi yang terkenal pada era 80-an iaitu Malaysia In Miniature Land atau Mimaland.
Kawasan yang dibina di sebuah kawasan berbukit seluas 300 ekar di Ulu Gombak tidak jauh dari Kuala Lumpur, bagaimanapun ditutup pada 1994 atas faktor keselamatan.
Kini ia menjadi kawasan terbiar dan dikatakan agak 'keras' setelah sekian lama ditinggalkan tanpa penghuni.
Mikail tercedera
Dua minggu berada di Mimaland, nyata memberi pelbagai pengalaman buat pelakon Highland Tower ini.
Bercerita mengenai wataknya sebagai Ahmad, Mikail berkata, bukan mudah untuknya memenuhi watak itu memandangkan ia banyak melibatkan fizikal dan juga emosi.
"Permainan 'maut' ini diadakan dalam hutan yang membabitkan perang tiga penjuru antara saya, Fadlan dan Pablo.
"Ketika dalam hutan, kami hanya dibekalkan dengan 'walkie talkie' sebagai alat perhubungan antara pelakon dengan pengarah.
"Pengalaman pahit saya sepanjang 'shooting' ini pastinya akan diingati sampai bila-bila kerana terpaksa menahan sakit akibat terseliuh," katanya.
Selain tercedera, Mikail turut menceritakan 'kisah misteri' yang dialami pekerja audio yang mendengar suara perempuan menyanyi di tasik Mimaland.
"Memang seram, tapi saya buat tak tahu saja. Kalau di layan takut makin menjadi pula," katanya.
Warisi bakat keluarga
Dilahirkan dalam keluarga seni, bakat Mikail Andre dicungkil oleh ibu dan abangnya, Piere Andre untuk berkecimpung dalam bidang sama. Tidak pernah terfikir untuk bergelar pelakon, Mikail berkata dia ingin lebih fokus dalam lakonan sebelum mencuba bidang baharu seperti pengarahan.
"Bukan saya tidak berminat tetapi buat masa sekarang saya mahu mantapkan lagi mutu lakonan.
"Pengalaman saya kini masih tidak mencukupi buat saya untuk menerokai bidang lain," tegasnya.
Mikail berkata, dia juga risau tidak mampu menghasilkan karya yang mampu memuaskan hati penonton.
"Penonton harus mendapat karya yang bagus dan bermutu. Kita dianggap gagal jika tidak dapat beri apa yang mereka mahukan.
"Sebab itu, saya perlukan masa untuk berfikir dan menimbang tawaran jika diberi peluang duduk di kerusi pengarah," katanya.
Sedikit mengenai Mikail, dia memulakan kerjaya di belakang tabir ketika usia 18 tahun. Dia kemudiannya ditawar berlakon watak sampingan menerusi filem arahan abangnya iaitu Hijab.
Ketika berusia 20 tahun, dia mengikat kontrak bersama MiG (Metrowealth) atas sokongan abang dan ibunya, Khatijah Tan.
Sehingga kini, Mikail membintangi lebih 10 filem seperti Satu lawan Satu, Sniper, Highland Tower, Muka Surat Cinta, Dua Kalimah dan Kisah Paling Gangster.
Fadlan 'dirasuk'
Memegang watak sebagai Rafi iaitu atlet sukan menembak, Fadlan Hazim, 22, berkata Sniper merupakan filem aksi pertamanya.
Sering kali muncul sebagai 'cameo' sebelum ini, peranan kali ini nyata sangat mencabar di mana dia terpaksa belajar menembak dan seni mempertahankan diri selama dua minggu.
Namun paling tidak dapat dilupakan apabila dia 'dirasuk' ketika menjalani penggambaran di waktu senja.
"Sebelum berlakon, kami telah diberi amaran supaya menjaga kelakuan masing-masing ketika berada di Mimaland.
"Tetapi apa yang berlaku di luar kawalan saya. Mungkin kerana saya kurang sihat dan mudah dipengaruhi anasir luar," jelasnya.
Fadlan akui bernasib baik kerana pihak produksi telah menyediakan pengamal perubatan tradisional untuk keselamatan pelakon dan kru yang terlibat.
"Selepas sedar, rakan-rakan memberitahu bahawa saya 'dirasuk' namun tidaklah sampai bertindak ganas," katanya.
SH : Bantu keluarga sejak usia 16 tahun
Bermula dalam bidang muzik, sesungguhnya ia tidak menghalang anak jati Kuala Lumpur ini meluaskan bidang kerjaya dalam usia yang masih muda.
Berpegang kepada prinsip hidup 'bukan mengejar populariti semata-mata', sebenarnya Fadlan memikul tanggungjawab besar sebagai anak sulung kepada empat beradik.
Menurutnya, selepas ketiadaan (bercerai) ayahnya, dialah menjadi ketua keluarga ketika usianya menginjak 16 tahun.
"Dari situ saya nekad untuk membantu keluarga, terutamanya beri sokongan dan semangat untuk ibu," jelasnya.
Menceritakan sedikit mengenai kerjaya seninya, Fadlan bermula sebagai penyanyi dalam kumpulan VIP di bawah produksi KRU Studios dan pernah popular dengan lagu Sedih yang dinyanyikan bersama Adam AF.
"Selepas hampir dua bersama VIP, saya mengambil keputusan untuk menukar angin dan fokus kepada dunia lakonan.
"Lagipun kontrak dengan sudah KRU berakhir menyebabkan saya mencari peluang lain dalam industri seni kita," katanya.
Jadi psiko?
Menceritakan wataknya sebagai Jim, seorang anggota penembak tepat dalam pasukan keselamatan negara, Pablo berkata dia perlu bermain ekspresi muka, satu cabaran baginya.
Sebagai seorang yang sangat pendendam, Pablo berkata, dia kurang dialog berbanding pelakon lain.
"Walaupun watak saya kurang dialog, lebih kepada ekspresi muka yang garang dan menggerunkan sebenarnya lebih sukar untuk dihayati.
"Demi watak ini saya terpaksa merujuk banyak sumber agar ekspresi muka sesuai dengan watak Jim," katanya.
Apa yang menarik, Pablo berkata dia dan dua pelakon lain perlu berlatih menggunakan 'sniper' setiap masa dan membawa senjata tersebut ke mana sahaja atas arahan jurulatih mereka.
Tak kisah jadi 'mat pacak'
Pemilik nama Amirul Hisyam Mohd Syakri, 29, atau Pablo Amirul sebenarnya telah lama berada dalam industri seni, sejak empat tahun lalu.
Demi mengubah kehidupannya, dia nekad untuk berjaya seperti orang lain walaupun sukar untuk menapak dalam bidang seni.
Katanya, dia bermula tanpa pengalaman dalam lakonan dan menerima sebarang tawaran biarpun watak hanya sekecil zarah.
"Saya tak kisah atau peduli apa orang lain kata. Tetapi saya ingin berjaya dalam hidup dan saya akan lakukan sebaik mungkin walau pegang watak 'mat pacak' sekalipun," kata anak kelahiran Kelantan ini.
Mengakui begitu susah untuk mendaki tangga kejayaan, Pablo tetap positif dan yakin rezeki mungkin menyebelahinya suatu hari nanti.
Malah keputusannya menyertai keluarga MIG sejak Mei tahun lalu, diharap dapat merealisasikan impiannya itu.
Setelah mencuba nasib dalam filem Anak Jantan yang dibintangi Farid Kamil, Bront Palarae dan Nora Danish, Pablo kemudiannya ditawarkan membintangi filem Abang Long Fadil, Gudang Kubur, Hantu Bungkus Ikat Tepi dan Kasut Ku Kusut.