Adam AF Bukan Untuk Fiza



Ikatan perkahwinan adam dan Fiza hanya bertahan selama tujuh bulan sahaja.

SEMUANYA secara kebetulan dan lagu Marmie Maafkan Ku bukan dituju khas untuk Fiza. Itulah penjelasan Adam apabila diaju soalan, adakah lagu tersebut dicipta khas untuk bekas isterinya.

“Untuk pengetahuan semua, lagu itu tidak ada kena mengena dengan saya atau Fiza. Malah lagu itu bukan saya yang cipta atau tulis lirik. Sebenarnya lagu itu adalah kisah cinta komposer Bajai yang berasal dari Indonesia.

“Kata Bajai, lagu itu dia cipta untuk memujuk kekasihnya dulu dan kini kekasihnya itu sudah sah menjadi isterinya. Lagu itu saya dengar beberapa hari selepas saya rakam lagu Penggodam Jiwa, iaitu kira setahun lalu," katanya menyangkal segala spekulasi.

Tambah Adam, sebaik sahaja mendengar lagu tersebut, dia tertarik dan mahu merakam lagu tersebut sebagai single baharu selepas Penggodam Jiwa.




“Untuk keluarkan single pun kita perlu strategi dan selepas enam bulan Penggodam Jiwa yang berentak catchy diperkenalkan dan lagu itu juga mendapat sambutan daripada peminat, tibalah masa untuk saya tampil dengan single baharu. Semuanya secara kebetulan, selepas lagu itu saya rakam dan bakal diperdengarkan tidak lama lagi, keadaan saya jadi begini.

“Lagu Marmie Maafkan Ku menjadi pilihan saya kerana lagu berentak balada itu menusuk hati saya tatkala saya mendengarnya untuk pertama kali dan ia akan diperdengarkan di corong radio dalam waktu terdekat ini. Selepas itu baru saya fikir soal untuk pembikinan klip videonya pula," jelasnya.

Adam juga berharap agar orang ramai tidak membuat andaian sendiri kerana lagu Marmie Maafkan Ku bukanlah kisah rumah tangganya dan sebagai penyanyi, dia cuba menghayati lirik tersebut dengan sebaik mungkin.

“Saya ingin menjelaskan sekali lagi bahawa lagu itu bukan kisah kami tetapi cerita

orang lain. Seboleh mungkin saya tidak mahu kisah rumah tangga menjadi bualan ramai kerana setiap daripada kita ada masalah tersendiri.

“Bagi saya apa yang berlaku adalah atas kehendak-NYa dan sebagai umat, saya perlu reda kerana mungkin ada hikmah yang kita tidak tahu. Apa pun saya tetap berdoa agar diberikan jalan penyelesaian yang terbaik dalam kehidupan ini," katanya.

Malah Adam juga tidak mahu memberi sebarang komen apabila ditanya, adakah dia berusaha untuk kembali berbaik dengan bekas isteri dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, buat masa sekarang dia tidak boleh memberi sebarang kenyataan berkaitan rumah tangga yang hanya sempat bertahan kira-kira tujuh bulan bersama Fiza itu.

Sebaliknya, dia tidak menolak jika Allah SWT telah menetapkan yang mereka bakal kembali bersatu di masa akan datang.

“Saya berserah kepada Allah SWT dan sekiranya ditakdirkan jodoh antara kami masih ada, saya terima dan jika sebaliknya, Allah SWT yang lebih mengetahui.

“Buat masa sekarang saya perlu meneruskan kehidupan seperti biasa dan kerjaya seni masih berterusan. Selain daripada menghasilkan single, saya juga berhasrat untuk mengadakan persembahan solo sempena 10 tahun pembabitan saya dalam bidang seni.

“Saya bercadang untuk mengadakan persembahan serta percutian bersama peminat di Port Dickson. Percutian itu sebagai tanda terima kasih saya kepada mereka yang tidak henti-henti menyokong saya selama ini. Besar kemungkinan persembahan itu akan diadakan Ogos ini, semuanya bergantung kepada keadaan," jelasnya.

Selain menyanyi, Adam yang sering ditemani oleh adiknya, Fatil berkata, dia masih lagi melakukan rawatan perubatan Islam jika ada rakan-rakan atau saudara mara yang meminta khidmatnya.

“Saya masih lagi melakukan rawatan perubatan tapi atas permintaan sahaja kerana selebihnya saya serahkan pada guru saya. Saya ini fokus utama saya adalah untuk single baharu itu dan melakukan sedikit bisnes yang tiada kaitan dengan dunia hiburan," katanya.

Adam dan Fiza yang bernikah pada 26 September 2013 di Pejabat Jabatan Agama Islam (JAIS), Shah Alam telah bercerai pada 28 April lalu.
Previous Post Next Post