Antara pentas teater dan konti radio


BERPINDAH dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur demi mengembangkan kerjaya.

APABILA bercakap tentang Fizie, namanya lebih popular sebagai penyampai radio swasta di stesen Hot FM. Ini kerana, dia bukannya orang baru dalam dunia penyiaran tempatan.

Buktinya, sebelum bertugas di konti Hot FM dia terlebih dahulu mencipta nama dalam bidang itu di Kelantan sejak lapan tahun lalu.

Malah, sewaktu bertugas di konti Hot FM, Kota Bharu, Fizie atau nama sebenarnya Mohamad Hafizie Roslan juga telah mencipta nama dalam bidang teater.

Mungkin ramai pendengar radio yang kurang mengenali penyampai berusia 26 tahun ini yang pada masa sama amat berbakat dalam dunia lakonan teater yang diceburinya itu.

Sayangnya, Fizie terpaksa melupakan seketika bakat dan minatnya dalam bidang teater setelah ditukarkan dari Hot FM Kelate ke Hot FM Lembah Klang pada 10 Februari lalu.




Menurut bapa kepada Ratna Adora Nayla yang berusia setahun lapan bulan ini, kesibukannya di konti Hot FM tidak bermakna minatnya dalam bidang teater juga turut pudar.

“Selain menjadi penyampai radio, minat saya juga sebenarnya ke arah lakonan teater. Ini kerana, semasa bertugas di Kelantan saya memang aktif berlakon teater kalau ada masa lapang.

“Antara teater lakonan saya yang telah dipentaskan di Kota Bharu bertajuk Segenggam Budi Setitik Darah, Matinya Seorang Pahlawan dan Menang Sorak Kampung Tergadai.

“Bagaimanapun selepas ditukarkan ke Kuala Lumpur saya dapati masa saya di sini lebih sibuk. Sebab itu saya tidak ada banyak masa untuk aktif berlakon teater macam dulu.

“Tetapi kalau ada peluang saya akan terus berlakon teater kerana ia juga adalah bidang yang saya minati," katanya kepada Hits pada pertemuan di Petaling Jaya baru-baru ini.

Namun, Fizie yang ditugaskan dalam segmen Hot FM AM Krew bersama Fara Fauzana dan AG setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 hingga 10 pagi akur dengan tugasannya itu.

Ini kerana, penyampai muda ini lebih mengutamakan kerjayanya dalam dunia penyiaran berbanding bidang lakonan yang merupakan kerjaya keduanya dalam bidang seni.

“Apa pun saya akan mengutamakan bidang penyiaran kerana ini adalah kerjaya tetap saya sejak habis peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dulu.

“Selepas itu saya jadi deejay di sebuah pusat membeli-belah dan kemudiannya menjadi penyampai Manis FM di Kota Bharu dari tahun 2006 hingga 2008.

“Sejak saat itu sampailah sekarang saya bertugas di Hot FM. Ini adalah peluang terbaik saya sebagai penyampai radio dan saya tidak sia-siakan kerjaya ini begitu sahaja," ujarnya.
Previous Post Next Post