ASHEED DAN SHEEDA
BERDUET untuk menawan perhatian peminat baharu.
SHEEDA bukanlah penyanyi yang baru dalam bidang seni suara tanah air. Malah, namanya paling menonjol dalam genre muzik dangdut lebih 20 tahun yang lalu.
Ketika itu dangdut pernah mencetuskan fenomena apabila ramai penyanyi yang muncul dengan album berkonsepkan irama itu sekitar awal tahun 1990-an.
Dia antara penyanyi yang tampil dengan lagu-lagu dangdut bagi memenuhi trend muzik semasa yang menjadi kegilaan para peminat dalam persada muzik ketika itu.
Bagaimanapun selepas dua dekad berlalu, irama dangdut seakan-akan semakin kurang diminati sehinggakan ramai penyanyi dangdut termasuklah Sheeda seperti dilupakan.
Namun, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu berjudul Gadis Atau Janda ini tidak pernah mengalah, sebaliknya dia muncul semula dengan lagu terbaharunya bertajuk Rayuan Cinta.
Agak mengejutkan juga apabila Sheeda kini tidak lagi tampil dengan irama dangdut, sebaliknya lebih ke arah pop menerusi album single terbaharunya itu yang telahpun berada di pasaran.
Mengapakah penyanyi dengan nama sebenarnya Rashidah Hamid ini bukan sahaja muncul dengan irama pop, malah dia juga berduet lagu itu dengan penyanyi rock Def Gab C iaitu Asheed?
Sama macam penyanyi lain, saya juga kenalah ikut perkembangan muzik semasa. Kalau orang mahu dengar dangdut, maka saya nyanyilah lagu dangdut tetapi sekarang tidak macam dulu.
Saya memang sengaja memilih irama pop sebab jenis muzik ini relevan sampai bila-bila. Lagu-lagu macam ini tiada trend atau tempoh waktu tertentu macam irama lain termasuklah dangdut.
Sebab itulah saya memang pilih pop untuk kemunculan semula saya sebagai penyanyi selepas kali terakhir berduet dengan Iwan pada 1998 dalam lagu Gadis Atau Janda.
Saya harap kemunculan saya ini akan diterima para peminat walaupun lagu ini sudah tidak serancak dulu ataupun yang ada unsur gelek di dalamnya," katanya kepada Hits baru-baru ini.
Menurut Sheeda, dia juga sengaja memilih Asheed sebagai rakan duetnya bagi memperdengarkan kelainan dalam lagu dan lirik ciptaan komposer Eddie Hamid itu.
Jelas penyanyi yang pernah dilabel sebagai seksi dan pandai bergelek di atas pentas ini, lagu itu sekali gus membuang imej dangdut yang dicop para peminat ke atasnya selama ini.
Selama lebih 20 tahun menjadi penyanyi para peminat telah melabelkan saya sebagai penyanyi dangdut. Sedangkan kemunculan awal saya bukan mahu menjadi penyanyi dangdut.
Mungkin para komposer atau syarikat rakaman ketika itu melihat penampilan dan suara saya lebih sesuai untuk menyanyikan lagu-lagu dangdut pada ketika itu yang menjadi trend.
Saya anggap perkara itu tidak dirancang dan imej itu terus melekat kepada saya sampai sekarang. Sedangkan kalau boleh saya juga mahu menjadi seorang penyanyi yang lebih versatil.
Tidak mustahil selepas ini kalau ada peluang saya akan menyanyikan lagu-lagu nasyid pula. Sudah sampailah ada perubahan dalam lagu-lagu nyanyian saya selepas ini nanti," ujarnya.
Tambah penyanyi yang berstatus ibu tunggal ini ternyata percubaannya itu memberi impak yang positif kerana para peminat boleh menerima lagu terbaharu nyanyiannya itu.
Senario itu dapat dilihat berdasarkan sambutan para penonton sewaktu dia dan Asheed menyanyikan lagu itu pada persembahan-persembahan pentas.
Setakat ini saya belum pernah dengan para peminat yang kata tidak suka dengan lagu itu walaupun tidak ada unsur gelek dan ia tidak serancak seperti sebelum ini.
Sambutan para penonton itu dapat dilihat apabila klip video Rayuan Cinta telah ditonton lebih 5,000 kali di YouTube dalam masa lima hari ia dimuat turun di Internet baru-baru ini," jelasnya.
Dari rock ke pop
Sama seperti Sheeda, Asheed juga bukanlah penyanyi baharu dalam bidang seni suara tanah air. Pembabitannya sebagai vokalis kumpulan rock Def Gab C juga bermula lebih 20 tahun lalu.
Bagaimanapun, dia juga sekali seperti Sheeda terpaksa mengetepikan imej rock yang telah dilabelkan ke atasnya selama menjadi penyanyi lebih dua dekad yang lepas.
Dia juga mahu kelihatan versatil dan sentiasa peka dalam menongkah arus demi memastikan kerjayanya sebagai penyanyi tidak statik, sebaliknya terus berkembang.
Sebab itu, tidak hairanlah penyanyi berusia 43 tahun ini sanggup berkolaborasi dengan Sheeda bukan dalam genre rock ataupun dangdut tetapi dalam irama pop yang meliuk lentuk.
Sama macam Sheeda, ini juga adalah lagu pop pertama yang saya rakamkan. Saya juga beranggapan macam Sheeda bahawa lagu-lagu pop lebih stabil dan kekal lama dalam bidang ini.
Apatah lagi, saya dan Sheeda pula sudah kenal lama yang mana kami selalu mengadakan persembahan-persembahan pentas. Ketika itu saya nyanyi lagu rock, dia nyanyi dangdut.
Apabila Sheeda dan saya mahu mencuba sesuatu yang baharu dalam bidang ini, saya kata mengapa tidak kita cuba lakukannya bersama-sama. Tengoklah hasilnya nanti macam mana.
Saya dapati idea yang kami bincangkan sejak kira-kira tiga tahun lepas itu akhirnya terlaksana dan ia akhirnya membuahkan hasil. Saya dapati ramai pendengar suka lagu itu," katanya.
Jelas penyanyi berasal dari Alor Setar, Kedah ini, dia berfikiran positif apabila berani menongkah arus dalam mempelbagaikan lagi konsep lagu-lagu nyanyiannya di dalam album.
Malah, Asheed juga tidak takut akan kehilangan para peminat kerana baginya para pendengar hari ini semakin terbuka kerana apa yang penting sesebuah lagu itu mesti sedap melodinya.
Ini bukan kali pertama saya rakam lagu yang bukan rock tetapi saya telah melakukan banyak kelainan yang mana kesemuanya mendapat reaksi positif daripada para peminat saya.
Contohnya, saya sebelum ini pernah merakamkan lagu duet bertajuk Roman Arogan bersama Radhi OAG dan CD Naz yang mana ia telah mendapat sambutan ramai.
Selain itu, saya juga pernah menyanyikan lagu patriotik berjudul Boleh Tera Tu yang mana liriknya dalam dialek Kedah dan berduet bersama Hafizul Wild dalam lengguk irama rap pula.
Bagi saya, soal genre muzik tidak menjadi masalah dalam dunia muzik sekarang. Apa yang penting adalah
kelainan agar para pendengar tidak bosan dengan gaya muzik yang sama," ujarnya.
Tambah membanggakan apabila lagu itu bukan sahaja menjadi popular, tetapi ia turut dijadikan sebagai lagu tema dalam kempen Tahun Melawat Kedah 2014 yang akan dilancarkan Mei ini.
Ekoran rasa keyakinan atas penerimaan serta keterbukaan para peminat itu, Asheed juga kini semakin berani untuk mengembangkan lagi konsep muzik dan gaya nyanyiannya.
Asheed antaranya kini sedang mempromosikan lagu solo terbaharunya bertajuk Gadis Rahsia yang mana kali ini dia mempertaruhkan pula irama jazz menerusi lagu tersebut.
Sungguhpun mula dilihat lebih terbuka dengan pelbagai genre muzik, tetapi penyanyi yang popular dengan lagu Ibu Kota Cinta bersama Def Gab C masih lagi bersama kumpulannya itu.
Kalau sebagai penyanyi saya akan mencuba menyanyikan apa juga jenis lagu tetapi dalam Def Gab C saya akan tetap tumpukan kepada irama rock kerana itu adalah konsep mereka," ujarnya.
Rayuan Cinta nyanyian Asheed dan Sheeda itu juga seakan-akan percubaan pertama buat mereka yang mana tidak mustahil lagu-lagu duet seumpama itu akan dihasilkan lagi nanti.
Lagu itu yang diterbitkan oleh syarikat rakaman MVM Production Sdn. Bhd. dan telah berada di pasaran sejak beberapa bulan lalu diterbitkan juga dalam bentuk video untuk siaran televisyen.