TUJUH peserta lelaki ini antara yang terpilih daripada lebih 2,000 yang datang ujibakat.
Dalam usaha mencari pelapis dalam bidang penyiaran, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan sebuah rancangan realiti yang menguji kemampuan setiap peserta dalam bidang penyiaran.
Menurut penerbitnya, Ain Sabrina On, tujuan rancangan realiti Ikon Siarawan adalah untuk membentuk kerjaya generasi dan sebagai platform untuk pelapis wartawan di RTM. Tambahnya lagi, setiap peserta akan menjalani latihan profesional selama tiga bulan di bawah tenaga pengajar profesional.
Melalui latihan itu, peserta akan mempelajari aspek antaranya etika kewartawanan, teknik berhadapan dengan kamera, penyampaian berita, pengacaraan serta latihan dalam melaporkan berita dari lokasi," jelasnya.
Menariknya tentang Ikon Siarawan, selain diberi peluang untuk bertemu dengan tokoh terkemuka negara, peserta akan ditugaskan untuk melakukan tugasan bersama dengan enam agensi kerajaan.
Agensi kerajaan yang akan terlibat itu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Peserta akan terlibat untuk membuat liputan berita ketika operasi bersama dengan agensi kerajaan yang terlibat," katanya.
Selain itu, peserta juga perlu membuat laporan sebenar daripada acara yang berlangsung seperti perlumbaan udara ekstrem di Putrajaya pada Mei ini.
Peserta juga akan diberikan tugasan tidak dirancang dengan kerjasama bilik berita televisyen di mana laporan terbaik dan mempunyai nilai berita akan disiarkan dalam siaran berita sebagai pendedahan awal," ujarnya.
Terdahulu, seramai 2,043 peserta telah menghadiri uji bakat yang diadakan di seluruh negara bermula November lalu. Daripada 2,043 peserta seramai 12 calon terpilih untuk berentap di peringkat akhir yang terdiri daripada Mohd. Ismail Adnan, 24; Nurul Dalilah Abdul Kadir, 28; Raydwin Robin, 24; Nurul Hidayah Md. Nawai, 26; Zaira Sri Zakaria, 27.
Turut tersenarai antara 12 peserta ini ialah Mohd. Faris Izzat Shaharudin, 24; Khaviarsan Muniandy, 24; Puteri Nur Alia Mohd. Jasmin, 26; Mohd. Zalfie Abd. Jawad, 25; Sim Sui Yee, 25; Mohd. Shahreyzam Awang, 26 dan Nurul Syuhaida Ariffin, 21.
Menariknya, program ini tidak akan menggunakan medium undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sebaliknya markah diberi seratus peratus berdasarkan keputusan pihak penjurian profesional. Setiap minggu, peserta akan berhadapan dengan juri dan seorang akan disingkirkan bagi setiap kali siaran.
Finalis akan berpeluang untuk memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM 205,000 termasuk sebuah kereta.
Rancangan realiti Ikon Siarawan akan memulakan episod pertamanya bermula esok di TV2, setiap pukul sembilan malam.