Cakra Khan Pernah Dibayar RM0.80 Sen Sahaja


Mula dikenali di Malaysia menerusi lagu ‘Harus Terpisah’, penyanyi dari seberang, Cakra Khan muncul dengan album sulungnya yang memuatkan sepuluh buah lagu seperti ‘Setelah Kau Tiada’, ‘Mudah Jatuh Cinta’, ‘Cintamu Bukan Untukku’ dan ‘Harus Terpisah’.

Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman, 22, gembira penat lelahnya dalam bidang seni membuahkan hasil sehingga album sulungnya itu terjual sehingga 500 ribu unit di Indonesia.

“Saya mula menyanyi semenjak berusia 7 tahun. Ketika itu saya dapat bayaran sebanyak Rp2000 atau lebih kurang 80 sen wang Malaysia. Saya juga pernah menyanyi di jalanan. Saya tak percaya saya sampai sejauh ini dan Alhamdulillah ini semua berkat doa orang tua saya,” ujarnya di majlis pelancaran albumnya di Kuala Lumpur.




Sementara itu, Cakra turut merasa sedih kerana tidak dapat membawa ibunya, Entih Trisuyatmi, 47, menyaksikan majlis pelancaran albumnya di sini. Jelas Cakra, ibunya tidak dapat hadir kerana tidak sempat membuat passport.

“Perjalanan saya sampai ke tahap ini pun atas semangat dan sokongan ibu saya. Pernah satu ketika teman-teman saya menganggap saya gila apabila saya berangan untuk menjadi orang yang berjaya. Tapi ibu saya yang selalu beri nasihat agar menjadikan perkara itu sebagai motivasi. Tapi hari ini, ibu saya tiada di sini melihat pencapaian saya,” luah Cakra berkongsi dia bernazar membawa keluarganya mengerjakan Umrah dan Haji apabila sudah berjaya.

“Saya pernah bernazar akan menghantar orang tua saya ke tanah suci Mekah. InsyaAllah keluarga saya akan mengerjakan Umrah pada awal tahun hadapan dan tahun berikutnya, saya akan menghantar mereka mengerjakan Haji pula,” kata Cakra.

Walaupun baru tiga tahun terlibat dalam bidang seni, namun pelajar di Sekolah Tinggi Muzik Bandung ini sudah meraih pelbagai anugerah termasuk Pendatang Baru Paling Ngetop SCTV Music Awards, Pendatang Baru Terbaik AMI Awards 2013 dan Penyanyi Solo Pria Terbaik 100% Ampuh Awards Golden TV 2013.

“Alhamdulillah ini semua berkat dari Allah SWT dan sokongan My Music Records dan Rusa Music serta doa ibu saya,” katanya.
Previous Post Next Post