Di sebalik konsert mini Encik Mimpi yang hambar



BERBEKALKAN sebuah lagu popular Rindukanlah yang menjadi lagu runut bunyi untuk drama bersiri Playboy Itu Suamiku, penyanyi Encik Mimpi telah ditawarkan mengadakan konsert mini oleh Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Melihat pada sambutan yang diberikan peminat di laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram kepada penyanyi yang menggunakan topeng sebagai imejnya itu cukup memberangsangkan.

Mempunyai seramai 18,678 pengikut di Instagram bagaimanapun tidak lebih daripada 20 orang peminat yang hadir pada konsert mininya itu.






Rata-rata media yang datang membuat liputan agak terkejut dengan jumlah peminat yang hadir. Di manakah silapnya, sehingga begitu sedikit sekali peminat yang memberi sokongan.

Selain jumlah peminat yang sedikit, mutu vokal dan persediaannya juga dipersoalkan memandangkan dia kelihatan seperti ‘semput’ ketika menyanyikan tujuh buah lagu pada mini konsert tersebut.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Encik Mimpi usai konsert mininya berakhir.


TETAP teruja melayan peminat yang hadir pada konsert mininya di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo!: Adakah anda terkejut dan kecewa melihat jumlah peminat yang hadir terlalu sedikit?

ENCIK MIMPI: Saya tidak terkejut dan kecewa kerana sudah dapat mengagak jumlah peminat yang hadir tidak ramai. Peminat saya terdiri daripada pelajar pusat pengajian tinggi dan pelajar sekolah. Tiket untuk konsert mini ini berharga RM50, mungkin harga tiket menyebabkan ramai yang tidak mampu untuk menghadiri konsert mini saya.

Bagaimanakah kerja promosi konsert mini ini dijalankan?

Selain promosi yang dibuat oleh pihak Hard Rock Cafe, saya juga memberitahu peminat di blog dan laman sosial. Rasanya memang ramai yang tahu tentang konsert mini ini.

Anda dilihat seperti tidak bersedia ketika melakukan persembahan. Selain terlupa susunan lagu, vokal anda juga kedengaran agak ‘semput’.

Saya akui vokal saya tidak sehebat penyanyi yang lain. Ingin saya tegaskan, menyanyi adalah hobi sahaja, bukanlah mata pencarian utama kerana saya mempunyai kerja tetap sebagai eksekutif teknologi maklumat. Kesibukan membataskan saya untuk menjalani latihan dengan konsisten. Mungkin sebab itu ada beberapa kesilapan yang berlaku.

Jika anda tahu tidak mempunyai masa untuk membuat persediaan yang lengkap, mengapa masih menerima tawaran daripada pihak Hard Rock Cafe?

Sebagai penyanyi baharu, apabila tawaran diberikan Hard Rock Cafe, bagi saya itu rezeki yang tidak harus ditolak. Saya juga tidak mempunyai sebarang alasan untuk menolak. Saya mempunyai waktu yang terluang dan hanya datang untuk menyanyi sahaja, tidak perlu mengeluarkan wang langsung, semuanya disiapkan oleh pihak Hard Rock Cafe.

Jika saya tidak mengambil peluang dan mencuba perkara yang tidak pernah saya lakukan, sampai bila saya akan belajar menjadi penyanyi yang baik.

Apakah langkah yang anda ambil untuk memperbaiki mutu vokal dan persembahan?

Memang terlalu banyak perkara yang harus saya pelajari terutama selepas membuat konsert mini. Apa yang saya tahu, pihak pengurusan telah mengaturkan kelas vokal untuk saya memantapkan vokal. Soal persembahan, saya belajar hari demi hari daripada komen yang diberikan peminat.

Sampai bilakah anda akan kekal dengan imej bertopeng?

Saya bermula sebagai penyanyi di laman YouTube dan blog. Peminat yang meminta saya kekalkan imej bertopeng dan saya sendiri selesa begini. Sebelum dilamar oleh syarikat pengurusan untuk diambil menjadi penyanyi, saya telah meletakkan syarat untuk tidak mendedahkan soal peribadi.

Bagi saya, lebih bagus begini kerana peminat hanya tertumpu pada karya muzik yang saya bawakan, bukannya penampilan diri atau soal peribadi. Mungkin sampai bila-bila selagi bergelar penyanyi saya akan memakai topeng.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Selepas lagu Rindukanlah, saya telah muncul dengan lagu Menu Cintaku, Ayuh Tinggalkan Dia dan lagu khas untuk mengenang tragedi pesawat MH370 yang berjudul Hikmah Atas Segalanya. Lagu itu merupakan kolaborasi bersama Nomad, Aepul Drama Band dan Ronnie HyperAct.

Bukan mengambil kesempatan atas tragedi tersebut tetapi lagu yang saya tulis seminggu selepas tragedi itu berlaku merupakan satu doa dan berharap ada hikmah atas apa yang berlaku.
Previous Post Next Post