DARI kiri, Alif Satar, Judika dan Sezairi teruja dapat berkolaborasi dengan Ricky Martin.
IBARAT pucuk dicita ulam mendatang, tiga penyanyi Asia iaitu Alif Satar (Malaysia), Judika (Indonesia) dan Sezairi (Singapura) berpeluang berkolaborasi dengan penyanyi antarabangsa, Ricky Martin untuk lagu versi Asia Piala Dunia FIFA 2014, Vida.
Vida merupakan lagu pemenang dari pertandingan Super Song, sebuah pertandingan cipta lagu global berprestij yang memberi kesempatan kepada seluruh rakyat dunia untuk terlibat dalam menghasilkan lagu rasmi untuk Piala Dunia FIFA 2014 itu.
Karya Elijah King itu terpilih berdasarkan kualiti muzik, lirik dan juga hubung kaitnya dengan tema serta semangat Piala Dunia FIFA 2014.
Lagu itu dipilih di antara 2000 buah lagu yang menyertai pertandingan Super Song. Pertandingan itu dianjurkan oleh Sony sendiri sebagai penaja rasmi Piala Dunia FIFA 2014.
Secara terpisah, Alif, Judika dan Sezairi telah merakamkan lagu tersebut.
Pelantun lagu Lelaki Seperti Aku, Alif Satar, mengakui sukar menyanyikan bait-bait bahasa Sepanyol dalam lagu Vida. Apatah lagi, penghayatan Ricky dalam menyanyikan lagu itu sangat luar biasa.
“Pertama kali saya dengar lagu nyanyian Ricky menerusi lagu Vida ini, penghayatannya sangat luar biasa. Seperti dia menyanyikannya secara langsung di pesta bola.
“Malah, lagu itu juga dinyanyikan dalam bahasa Sepanyol. Jadi, agak sukar untuk saya menyebut bait-bait lagu dalam bahasa tersebut.
“Saya juga perlu mendapatkan penghayatan Ricky terlebih dahulu dan kemudiannya baru mudah untuk saya menyanyikan lagu tersebut,” ungkap Alif.
SIDANG akhbar melalui Skype bersama Ricky Martin di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Penghayatan
Bersetuju dengan Alif, penyanyi lagu Setengah Mati Merindu, Judika pula memberitahu, sukar untuk menyambung emosi Ricky yang cukup bersemangat menyanyikan lagu Vida.
“Saya cukup bangga dalam ramai artis di Indonesia, saya terpilih untuk berkolaborasi bersama Ricky. Namun, saya juga gementar apabila mendengar Ricky menyanyi. Emosi dia cukup membakar dan ia kekal sehingga lagu itu habis. Lagu itu juga bagus dan memberi semangat buat siapa yang mendengarnya,” luah Judika.
Mengulas lanjut, Judika juga memberitahu, sukar untuk menyatukan suara dengan Ricky kerana rakaman lagu tersebut dilakukan secara terpisah.
“Merakamkan lagu ini gampang (sangat) susah. Saya terpaksa mendengar nyanyian Ricky dengan teliti untuk mendapatkan lenggok dan penghayatannya. Dengan tujuan, biarpun rakamannya dilakukan terpisah namun penhayatannya sama,” ulasnya lagi.
Sementara itu, menurut Sezairi pula, mereka tidak hanya menyanyikan lagu Vida dalam bahasa Sepanyol tetapi juga dalam bahasa Inggeris, Indonesia dan Melayu.
“Sejak kecil lagi saya menyukai muzik pop latin dan amat meminati Ricky. Ibarat mimpi menjadi kenyataan saya berpeluang bekerjasama dengannya (Ricky) dan juga penyanyi Asia seperti Judika dan Alif.
“Paling menarik apabila lagu Vida itu juga diberi sentuhan Asia melalui lirik yang diolah dalam bahasa Melayu dan Indonesia,” ujarnya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan lagu Vida versi Asia kepada media, baru-baru ini.
Vida versi Asia turut dimuatkan dalam album Piala Dunia 2014 yang berjudul One Love, One Rhythm.
Dalam album yang mengandungi 17 buah lagu itu juga terdapat lagu Vida versi Sepanyol nyanyian Ricky, lagu We Are One (Pitbull featuring Jennifer Lopez & Claudia Leitte) serta lagu nyanyian Aloe Blacc X David Correy berjudul The Worlds Is Ours.