Enot enggan terima bantuan



SEKIAN lama menyepi daripada dunia lakonan dek dipinggirkan oleh pihak-pihak tertentu atas alasan yang tidak diketahui puncanya, terbaharu, pelawak Enot Abdullah, 34, dikhabarkan pula menghidapi penyakit kanser usus tahap kedua.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, Enot yang juga ibu tunggal sedikit pun tidak merungut, malah terus gagah melangkah mencari rezeki untuk menyara dua anaknya, Andriana Balqis, 13 dan Ariana Qaseh Qistina, 7.

Sejak berita mengenai penderitaannya berhadapan dengan penyakit yang digeruni ramai itu tersebar di internet, terdapat banyak pihak yang cuba menghulurkan bantuan terutama dari aspek kewangan.

Pun begitu, Enot dikatakan enggan menerima bantuan tersebut, melainkan ia datang daripada ahli keluarganya sendiri ataupun rakan rapat.






Disebabkan tindakannya itu, Hits cuba menghubungi Enot untuk mendapatkan penjelasannya dan syukurlah, dia menjawab panggilan serta memberi penerangan sewajarnya agar tidak disalah tafsir.

Menurut wanita yang mula dikenali menerusi drama bersiri Mat Despatch itu, bantuan yang dihulurkan oleh mana-mana pihak terutama organisasi ditolaknya dengan penuh hemah.

“Bukan apa, saya rasa masih ramai lagi insan di luar sana yang memerlukan bantuan tersebut berbanding saya. Buat masa ini, Allah masih sayangkan saya kerana memberi ruang dan peluang untuk saya mencari rezeki sendiri. Alhamdulillah, ia mencukupi untuk saya menyuap anak-anak saya makan serta menampung perbelanjaan rawatan penyakit ini.

“Jika ada pihak yang teringin membantu saya, sokonglah perniagaan kek dan cookies yang saya usahakan. Dengan cara itu, barulah saya menerima bantuan tersebut. Itu sudah memadai," katanya menjelaskan kekeliruan yang timbul.

Dalam pada itu, timbul juga tanda tanya mengenai tindakan Enot yang memilih untuk bergantung dengan hanya memakan suplemen, berbanding mendapatkan rawatan moden di hospital atau klinik.

Menjawab persoalan tersebut, Enot memberitahu bahawa dia sebenarnya mencuba apa sahaja kaedah yang ada, bukannya menolak terus teknik perubatan moden.

“Saya bukannya bergantung dengan suplemen semata-mata. Ada juga rawatan moden yang saya lakukan sekiranya perlu. Pada masa yang sama, menerusi pembacaan di internet, saya juga mendapatkan petua tradisional yang diakui secara saintifiknya boleh menyembuhkan penyakit saya.

“Maksudnya, ada tiga kaedah yang saya amalkan serentak. Bukannya satu sahaja," ceritanya menjelaskan keadaan sebenar.

Di samping perubatan moden dan tradisional, Enot turut mengamalkan bacaan surah-surah al-Quran yang mampu memberi ketenangan buatnya.

“Penyakit ini datangnya daripada-Nya. Maka penawarnya juga ada pada-Nya. Jadi, sentiasalah beringat untuk terus berdoa kepada-Nya," ujarnya ringkas.
Previous Post Next Post