SEMUA yang dilakukan oleh Zizan adalah demi kerjaya dan tidak pernah mengutamakan soal kewangan.
Melihat kepada nama Zizan Razak, memang benar, tapaknya bermula daripada sebuah program realiti lawak tetapi itu tidak menghalangnya untuk pergi lebih jauh.
Menggunakan kekuatannya dalam bidang lawak, Zizan kini bukan sahaja seorang pelawak, tetapi juga sebagai seorang penyanyi, pelakon dan pengacara.
Semuanya disapu bersih oleh Zizan sehingga ada yang beranggapan bahawa jejaka berasal dari Terengganu ini adalah seorang yang tamak.
Bagi Zizan, dia sendiri berasa takut jika ada yang mula berkata kepadanya yang dia kini tamak atau sebagainya.
Saya tidak tamak, tetapi saya lakukan kerana ada permintaan. Sama juga seperti menyanyi, saya akui saya memang tidak ada suara yang sedap untuk menyanyi.
Tetapi, apa yang saya lakukan menerusi lagu Infiniti Cinta dan Bawaku Pergi sebelum ini ternyata mendapat sambutan yang sangat baik," jelasnya ketika ditemui di majlis pelancaran single Oops Aku Dah Ter, di Royale Bintang, Kuala Lumpur.
Tambahnya lagi, memang tidak tidak pernah terfikir untuk berada di dalam tiga lapangan seni itu selain daripada melawak.
Saya menganggap diri saya sebagai seorang artis bila saya bekerja. Selain waktu bekerja, saya adalah orang biasa.
Jadi, setiap orang pasti mahu melakukan yang terbaik dalam kerjayanya dan sama juga seperti saya sebab itu saya cabar diri untuk lakukan sesuatu yang lebih bagus daripada apa yang ada sekarang," jelasnya.
Tetapi, jelas Zizan, dia tidak akan sesekali melakukan perkara yang dia tidak mampu lakukan.
Jika saya yakin dengan kemampuan saya, apa salahnya untuk saya lakukan. Sama juga seperti dalam industri muzik.
Saya yakin untuk mengeluarkan single kolaborasi bersama dengan artis dan ternyata, ia mendapat sambutan. Jadi saya usaha untuk lakukan yang lebih terbaik lagi," ujarnya.
Tambah Zizan, walau bagaimanapun, dia masih belum bersedia untuk menghasilkan sebuah album dengan kemampuannya sekarang.
Untuk album saya akui saya tidak ada keyakinan kerana saya bukanlah seorang penyanyi. Apatah lagi menghasilkan lagu yang banyak itu adalah sukar bagi saya.
Selain itu, faktor kos juga memain peranan kerana kos pembikinan album juga mahal. Sekiranya album itu tidak berjaya dijual, itu yang merisaukan saya," katanya yang belum bersedia untuk bergelar penyanyi sepenuhnya.
Wirefame masih syarikat saya
Akhirnya desas-desus yang mengatakan Zizan keluar daripada syarikat pengurusannya sendiri, Wirefame dan beralih ke pengurusan yang baharu (Astro) menjadi benar.
Tetapi, timbul pula khabar angin lain yang mengatakan jumlah kontrak lumayan yang diberikan Astro sebanyak RM2 juta menjadi sebab mengapa Zizan keluar daripada Wirefame.
Zizan ketika diajukan tentang khabar angin itu tidak mahu mengulas lanjut tentang dakwaan itu, sebaliknya mempunyai sebab kukuh mengapa dia beralih pengurusan.
Tentang nilai kontrak itu saya tidak boleh cerita lanjut kerana ia adalah perkara yang dirahsiakan.
Tetapi perpindahan pengurusan ini sebenarnya tidak memberi kesan pun kepada syarikat pengurusan saya, Wirefame yang masih lagi beroperasi seperti biasa," jelasnya.
Tambah Zizan, selepas meneliti kontrak pengurusan bersama Astro, dia yakin, pengurusan baharu itu mampu melebarkan lagi sayapnya dalam bidang seni.
Pasal duit saya tolak tepi, tetapi apa yang saya pentingkan ialah ke mana Astro boleh membawa saya dan setelah melihat produk Astro sebelum ini, saya yakin dengan pengurusan baharu ini," ujarnya.
Mengulas mengenai Wirefame pula, jelasnya, dia masih lagi menjadi penaung kepada syarikat pengurusannya itu dan perancangan untuk menambah baik Wirefame sedang dibincangkan.
Wirefame tidak terjejas sama sekali. Malah, ia masih beroperasi seperti biasa. Cuma, kini beberapa langkah sedang dibincangkan untuk menstabilkan Wirefame," ujarnya.
Tambah Zizan lagi mengenai pengurusan baharu itu, ia tidak
sama sekali mengganggu langkahnya
untuk terlibat dengan mana-mana stesen televisyen yang lain.
Saya tiada masalah untuk bekerja dengan stesen televisyen yang lain. Melihat kepada kelonggaran itu yang membuatkan saya tertarik untuk bersama dengan Astro," jelasnya.